|
TUN RAZAK : BERANI MERANCANG BERANI MELAKSANA , BERANI BERTINDAK |
|
|
|
 |
| Allahyarham Tun Abdul Razak |
Mukaddimah: Saya ingin bawakan satu rencana tulisan Mej Zulkifli Dato’ Hj Tahir mengenai riwayat ringkas Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein Perdaana Menteri Kedua Malaysia ,kerana kepimpinannya boleh dijadikan contoh dalam menegakkan sebuah bangsa ketika melalui jalan berliku dan diselekoh berbahaya yang mula goyah di tentang oleh badai dan taufan yang kencang, namun beliau berjaya laluinya dengan selamat-Pengarang.
Oleh Mej Zulkifli Dato’ Hj Tahir
Nama Allahyarham Tun Abdul Razak Datuk Hussein akan tetap tersemat di dalam sejarah Negara kita sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua, sebagai Bapa Kemerdekaan Negara dan sebagai seorang negarawan ulung. Riwayat hidupnya yang gemilang memperlihatkan kepada semua bahawa Allahyarham adalah tokoh dan pemimpin bangsa,seorang anak watan yang peka terhadap bangsanya sendiri. Ketokohan Allahyarham sebagai pemimpin yang berwibawa dan berwawasan, Khususnya yang berkaitan dengan masa hadapan anak-anak Melayu perlu disoroti kembali oleh semua.
`BUDAK KAMPUNG’ YANG CERDAS
Allahyarham Tun Abdul Razak adalah anak watan Pahang yang dilahirkan di Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang, dalam kalangan keluarga bagsawan tradisional Melayu pada 11Mac 1922. Sebagai anak sulung kepada Orang Kaya Indera Shahbandar Datuk Hussein Mohd Taib dan Hajah The Daud,Allahyarham telah dibesarkan dalam suasana kampong yang serba serdahana di semantan.Allahyarham memulakan zaman persekolahannya dalam sebuah sekolah Melayu Kampung Jambul Langgar sehingga beliau menjejak kaki ke Kolej Melayu Kuala Kangsar dan lulus peperiksaan Junior Cambridge dalam tahun 1937.
Dengan kelulusan yang dicapai di kolej Melayu, Tun yang dikenali sebagai `budak kampung yang gemarkan lumpur dan air sungai’ telah diserapkan kedalam skim Perkhidmatan Pentadbiran Melayu (Malaysia Administrative Service) dalam tahun 1939. Pada awal Jun 1940, Tun Abdul Razak telah memulakan pengajiannya di Raffles College, Singapura, dan di sinilah timbulnya bibit-bibit nasionalisme.
Pembelajaran Tun bagaimanapun terbantut kerana penaklukan tentera Jepun pada tahun 1942 . Beliau kemudiannya menyertai gerakan bawah tanah jajahan dengan membantu Force 136, sebuah unit elit tentera bersekutu yang menyusup masuk ke Malaya menentang tentera Jepun. Tun berpangkat kapten ketika tentera Jepun menyerah kalah. Atas jasa-jasanya, Tun Abdul Razak dihadiahkan biasiswa oleh kerajaan Kolonial untuk menuntut di Lincon`s Inn Of Court, England dalam bidang undang-undang di England pada tahun 1947
Tun sememangnya seorang yang cerdas. Dalam masa 18 bulan sahaja beliau menamatkan pengajiannya, dan dalam masa yang sama, beliau aktif sebagai pemimpin pelajar dan pernah menyertai Parti Buruh British (British Labour Party) . Tun telah menubuhkan `Forum Tanah Melayu` yang merupakan sebuah persatuan yang menyemaikan semangat kemerdekaan Tanah Melayu. Tun Razak mengambil kesempatan mengikuti Kursus Perkhidmatan Awam Dan Ekonomi di University of Cambridge sebelum kembali ke Tanah Melayu pada bulan Mei 1950.
AHLI POLITIK YANG BERWIBAWA
Pada tahun yang sama, Tun Razak mula melibatkan diri dalam politk tanah air apabila beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO setelah hanya empat bulan menyertainya. Pada tahun1951 Allahyarham di pilih sebagai Timbalan Yang Di Pertua UMNO dan betanggungjawab membawa Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi pemimpin tertinggi UMNO dengan mengenepikan dirinya sendiri. Karier perkhidmatan awamnya bermula pada tahun 1952 dengan perlantikannya sebagai setiusaha kerajaan Negeri Pahang, Kemudian sebagai Menteri Besar Pahang pada Febuari 1955. PADA Jun 1955 beliau mengorbankan jawatannya dalam kerajaan dan bertanding dalam pilihanraya Persekutuan atas tiket Perikatan.
Kemenangan Parti Perikatan menampilkan penglibatan Tun dalam Kabinet apabila dilantik sebagai Menteri Pelajaran, Persekutuan Tanah Melayu pada 9 Ogos 1955. Sumbangan Allahyarham yang terpenting sebagai menteri Pelajaran ialah memperkenalkan `Penyata Razak 1956’ : menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar utama dalam usaha mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu . Allahyarham Tun Abdul Razak mengukir namanya sebagai salah seorang anggota `pencipta’ kemerdekaan apabila Tun menyertai Rombongan Kemerdekaan Negara pada 31 Ogos 1957 menyaksikan Tun dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
SEMANGAT KEPERWIRAAN
Sebagai Menteri Pertahanan yang pernah menyertai Force 136, Tun yang mempunyai pengalaman dalam peperangan gerila dan mengenali taktik pengganas komunis (PGK), telah melancarkan Gerakan Anti-Komunis dengan jayanya sehingga ‘darurat’, iaitu satu tempoh 12 tahun (1948-1960) memerangi pengganas komunis dan berjaya ditamatkan. Setelah Berjaya menagani ‘masalah perang dengan komunis’ Tun Razak kemudiannya diberikan satu tugas yang lebih penting iaitu ‘mengisi keamanan dengan pembangunan’ apabila dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar. Tun telah merancang program pembangunan luar bandar dengan menangani masalah kemiskinan apabila menitikberatkan penambahan prasarana asas luar Bandar serta mempertingkatkan produktiviti pertanian.
Tun Razak juga adalah orangnya yang bertanggungjawab berunding dengan pihak Indonesia untuk menamatkan ‘konfrantasi’ yang dilancarkan oleh Negara itu ke atas Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI). Pada 13 Mei 1969, Negara dikejutkan dengan rusuhan kaum selama tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan Negara digantung dan Parlimen dibubarkan, demokrasi terkubur buat sementara dan darurat diisytiharkan seluruh Negara. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan dan Allahyarham dilantik Pengarah MAGERAN bagi memulihkan ketenteraman awam.
Tun Razak dengan jelas memperlihatkan beliau berani merancang, berani melaksanakannya dan berani pula bertindak terhadap petualang-petualang yang coba untuk menghancurkan keamanan dan ketenteraman dalam negara.
Tun sekali lagi Berjaya membawa Negara kearah yang lebih selamat. Beliau memulihkan semula sistem demokrasi dalam tempoh 21 bulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri dan menerajui MAGERAN. Antara usaha yang dilaksanakan ialah memperkenalkan prinsip penyatuan yang kemudiannya menjadi asas kepada Rukun Negara dan DEB. Sungguhpun tidak termasuk ke dalam Perlembagaan dan tidak bersifatt undang-undang, tetapi Rukun Negara telah diterima umum dan diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agung pada 31 Ogos 1970.
LEGASI SEORANG NEGARAWAN
Pada 22 September 1970, Tun Hj Abdul Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kedua setelah Tunku rela hati meletakkan jawatan. Iltizam dan tindakan utama Allahyarham sebagai Perdana Menteri ialah menangani ke peringkat akar umbi sebab-sebab yang menyumbang kepada rusuhan kaum (Tragedi 13 Mei) . Terdapat dua sebab utama yang dikenal pasti menjadi punca ketegangan kaum iaitu kemiskinan orang-orang Melayu serta rapuhnya perpaduan kaum. Menyedari hakikat ini, Tun telah melancarkan ‘Dasar Ekonomi Baru’ ( DEB ) yang dilancarkan pada 21 Jun 1970 adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi dengan menjadikan matlamat utamanya :
(1) Membasmi Kemiskinan tanpa mengira kaum .
(2) Menghapuskan Identifikasi kegiatan ekonomi berdasarkan kaum.
Di era Tun hj Abdul Razaklah bermulanya pelan pembangunan yang komprehensif dan sistematik yang dikenali dengan ‘Rancangan Pemabngunan Malaysia’ lima tahun yang bermula dengan Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua. Tradisi ini diteruskan sehingga ke hari ini. Allahyarham Tun Hj Abdul Razak juga Berjaya membentuk satu sistem muafakat antara parti politik dengan menggabungkan Sembilan parti di bawah satu gagasan Barisan Nasional (BN) dan berlambangkan sebuah Dacing.
Kerjasama ini wujud ketika pilihan raya umum 1974 dan hasil kerjasama itu BN memenangi 135 daripada 154 kerusi yang dipertandingkan. Dalam memupuk perpaduan antara kaum, Allahyarham telah melancarkan “Rukunegara’ pada 31 Ogos 1970, yang merupakan ideology kebangsaan yang mengandungi hasrat murni kearah membentuk sebuah masyarakat dan Negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif.
Perkahwinan Tun Razak dengan Hajah Rahah Hj Noah diatur oleh sahabat keluarganya . Hasil perkongsian itu mereka memperoleh lima anak lelaki, iaitu Mohd Najib (Menteri Pertahanan sekarang), Ahmad Johari, Mohd Nizam, Mohd Nazim dan Mohd Nazir. Ketiadaan anak perempuan menyebabkan keluarga ini mengambil tiga anak angkat, iaitu Saidah Abdullah, Rohayu Abu Bakar dan Rodziah Hassan.
Tun Hj Abdul Razak seorang negarawan ulung, kembali Keramatlluah pada Rabu, 14 Januari 1976, dengan diratapi oleh seluruh rakyat. Allahyarham meninggal dunia kerana mengidap penyakit ‘mononucleuosis’ sejenis barah dalam darah yang turut dikenali sebagai acute leukemia.
Allahyarham Tun Hj Abdul Razak adalh seorang pemimpin yang berjiwa rakyat yang gemar melawat ke kampung-kampung dan meninjau sendiri permasalahan yang rakyat alami. Allahyarham Berjaya menghidupkan semangat bergotong-royong dan mengurangkan budaya colonial dikalangan pentadbir Melayu.
Dibawah pentadbirannya, Malaysia melalui satu proses transformasi yang besar sehingga makna kemerdekaan benar-benar dapat dirasai. Gelaran ‘Bapa Pembangunan’ memang bertempattan buatnya kerana Allahyarham yang bertanggungjawab meletakkan batu asas kepada pembangunan yang kita nikmati hari ini.
Tun Hj Abdul Razak seorang pemimpin yang peka terhadap masalah yang dialami rakyat Negara ini, seorang anak bangsa yang mencintai keamanan dan pembangunan. Kepimpinan beliaulah yang mengasaskan perancangan yang sistematik dan teliti melalui sisitem ‘Bilik Gerakan’. Tun Hj Abdul Razak adalah seorang tokoh tanah air yang telah berbakti dalam bidang pendidikan, pembangunan, pertahanan dan sosio ekonomi.
Pelbagai kurnian dan darjah kebesaran dicurahkan kepada Allahyarham didalam dan luar Negara sebagai tanda aprisiasi perkhidmatan beliau kepada pembangunan bangsa dan Negara sehingga menyandang gelaran ‘ Bapa Pembangunan Malaysia ’ . Pemergian Allahyarham Tun Razak merupakan satu kehilangan besar kerpada seluruh rakyat Malaysia . Al-Fatihah. Ihsan BTDM 1180503.
|
|