|
| T.S. A SAMAD ISMAIL |
Selaku bekas anak murid kepada Y.Bhg Tan Sri A.Samad Ismail yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, saya dan keluarga mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Pak Samad terutama Maria Samad, (teman setugas sewaktu di Johor Bharu di awal 80an di mana beliau di Bernama dan saya di Utusan) dan Puan Sri , kami turut merasa sedih dan kehilangan yang mendalam atas pemergiaan beliau pada petang khamis 4 September lalu. Saya dan isteri (juga salah seorang pelajar Allahyarham ketika Allahyarham menjadi Pensyarah Tamu di Universiti Malaysia dalam bidang kewartawanan dahulu ) bersama-sama dengan seluruh anggota keluarga Allahyarham serta sahabat handai dan kenalannya bersama-sama memberikan penghormatan terakhir serta mendoakan kerahmatannya di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Jumaat semalam.
KENANGAN DENGAN WAK SAMAD
Pada hari terakhir saya di Islah English School Kota Bharu Kelantan yang lebih dikenali dengan nama IES , setelah tamat Tingkatan Lima, (iaitu sebuah Sekolah Inggeris Swasta terkenal di Kelantan, terletak di Jalan Pengkalan Chepa, yang dikendalikan oleh seorang Pengetua berbangsa Inggeris dan diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar di mana antara muridnya ialah Dato’ Seri Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri sekarang, anak Pengasas itu sendiri) saya terbaca satu surat siaran daripada Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dilekatkan di Papan Kenyataan IES itu bertajuk “Wartawan A.Samad Ismail dari Kuala Lumpur akan memberikan kursus penulisan berita di Kota Bharu”, saya terus mendaftarkan diri petang itu melalui telefon.
Ekoran daripada itu, saya menjadi muridnya secara terus. Saya diminta menulis sekurang-kurangnya lima hingga sepuluh berita setiap hari dan hantarkan kepada Pak Samad (Pak Samad adalah nama mesra masyarakat wartawan Kuala Lumpur kepada Allahyarham Tan Sri A.Samad Ismail) melalui pos. Saya mendapat pembetulan dengan contengan dakwat merah Pak Samad setiap berita yang saya kirim. “Bandingkan berita asal kamu dengan pembetulan yang saya buat, jangan ulangi kesalahan kamu..” Saya anggap setiap pembetulan Pak Samad itu adalah ‘ketulan-ketulan emas’ yang saya hafal dan hayatinya sepenuh hati.
Ketiadaan Pak Samad kerana bercuti atau keluar stesyen , Hadzrami yang mencontengkan dakwat merah kepada semua penulisan berita saya, tetapi meletakkan nota “ jangan marah abang komen ye?-Hadzrami AR ” dan kalau Hadzrami juga tak ada Cheng Song Huat yang mengambil tempat. Manakala tulisan rencana saya pula sering dibaiki oleh A.Samad Said. Abang Samad ini juga sering mengajar saya dalam bidang penulisan rencana, serta mengajar saya gambar yang bagaimana sesuai dikirimkan bagi setiap rencana biasa dan rencana berita.
Bagi setiap berita yang saya tulis yang telah dibetulkan oleh Pak Samad Ismail, disiarkan dalam Berita Harian dengan meletakkan by line atau nama penulisnya, dengan meletakkan pengenalan diri saya YO diakhir sekali bagi berita lima para ke bawah dan meletakkan “ Oleh Yazid Othman” bagi setiap berita lima para ke atas. Bayaran diberikan sebanyak 35 sen bagi satu para yang tersiar di Berita Harian atau di mana-mana akhbar kumpulan The New Straits Times.
Hadzrami AR , Ketua Pemberita Berita Harian merupakan pengantara saya dengan Pak Samad. Bila Pak Samad sibuk, Hadzrami AR sering menghantar pembetulan segala tulisan saya dengan meneyebut, “ Wak Samad minta Abang beritahu Yazid, dia suka Yazid kerana rajin, cepat belajar dan berbakat…” Dimasukkan semua komen dan kata-kata semangat Wak Samad untuk saya terus berusaha.
Saya , apa lagi, menjadi begitu gila mencari berita, berbekalkan sebuah kamera dan buku catatan , turun naik di setiap Jabatan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri menemui sumber yang mempunyai autority boleh memberikan satu-satu berita itu. Pengetua-pengetua sekolah , Pegai Daerah , Penghulu, Penggawa , petani , nelayan , hospital, polis dan bomba jadi sasaran saya. Maklum waktu itu tak ramai wartawan sambilan di Kelantan, yang adapun yang dah tua-tua tidak rajin mencari seperti itu, kalau adapun , mereka telah ada kerja lain dan bergaji tetap.
Dalam masa beberapa bulan saja, saya disapa dan dipanggil oleh orang-orang di Pasir Puteh (tempat asal saya) dan Kota Bharu (tempat saya belajar) khasnya dengan panggilan ‘Reporter’ dan ada juga yang panggil ‘pemberita’. Pengarah Penerangan Negeri Encik Abdul Hamid Omar telah mengiktiraf saya sebagai Wakil Tetap Berita Harian , dan memberikan satu kunci untuk kotak khas yang ditulis diatasnya Berita Harian ,sebaris dengan kotak-kotak untuk media lain seperti Utusan, Strait Times, The Star, Nanyang Siang Pau, Bernama, RTM dan sebagainya lagi.
Berikutan itu juga saya menjadi begitu sibuk menerima undangan dan jemputan (yang dimasukkan kedalam kotak khas saya itu) bagi menghadiri pelbagai acara dan program, dengan harapan, saya akan menuliskan berita tentang mereka itu untuk keluar dalam Berita Harian , kalau boleh dengan gambar sekali, memandangkan begitu banyak berita tentang Kelantan yang saya jadikan berita dan mempunyai by line saya.
Berita pertama saya tersiar d imuka hadapan Berita Harian bersama by line ialah ucapan Sheikhul Azhar yang datang melawat Pusat Pengajian Tnggi Islam Nilam Puri Kota Bharu (PPTIK) yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara di luar dari Rantau Arab . Beliau diiringi oleh Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Asri Haji Muda, pengasas PPTIK itu dengan kerjasama DYMM Al Sultan Kelantan yang menghadiahkan Istana Nilam Puri bagi tujuan itu. Saya melaporkan terus ucapan Sheikhul Azhar dari Mesir itu melalui telefon awam di luar dewan itu. Sebenarnya majlis itu diadakan secara tertutup tidak ada wartawan dari media lain yang hadir. Tetapi kerana saya pelajar di situ, adalah satu kebetulan yang luar biasa, ibarat rezki yang datang menggolek untuk saya membuat laporan mengenai peristiwa bersejarah itu.
Saya tidak menghadapi masalah menterjemahkan ucapan Sheikh Al Azhar itu untuk dijadikan berita dalam Bahasa Malaysia , kerana beliau berucap dalam Bahasa Arab Klasik iaitu Bahasa Al Quran yang mudah difahami bagi pelajar Sekolah Arab (Tetapi kami yang tidak pernah tinggal di negeri Arab akan menghadapi kesulitan bila mana-mana Orang Arab berucap dalam Bahasa Arab mengikut Lahajah Makani iaitu loghat daerah yang tak ada dalam bahasa standard) .
Sheikhul Azhar itu mengumumkan pengiktirafan rasmi bahawa ke semua pelajar yang lulus di PPTIK Nilam Puri ini adalah setaraf dengan kelulusan dari Universiti Al Azhar sendiri, dan boleh terus membuat M.A dan Ph D. di Al Azhar . Mana-mana pelajar di tahun satu di sini boleh masuk tahun dua di Azhar dan seterusnya.
Katanya, PPTIK adalah ‘Anak Kandung’ Universiti Azhar , yang merupakan satu-satunya pusat pengajian Islam di luar Mesir yang mempunyai sukatan pelajaran 100 % sama dengan Universiti Al Azhar. Para pensyarahnya ramai didatangkan dari Mesir, Arab Saudi, Iraq dan Malaysia yang diiktiraf oleh Al Azhar. Bahasa Pengantarnya Bahasa Arab 100%.
Saya menjadi pelajar di PPTIK itu sebaik saja tamat pelajaran dari IES . (Semasa di IES itu saya belajar d isitu di sebelah pagi, manakala petangnya pula saya belajar di Maktab Pengajaian Islam Jalan Bayam Kota Bharu, dan sebelum itu di Amir Indra Putera Bachok yang juga memakai bahasa pengantarnya Bahasa Arab. Adalah menjadi kebiasaan orang yang agak berada sedikit, di Kelantan, menghantar anak mereka belajar di dua aliran ,Inggeris dan Arab pada pagi dan petang ).
Seperti `bulan jatuh ke riba’ perasaan saya bila satu hari saya menerima surat dari Wak Samad yang menyatakan antara lain berbunyi :
“ Mulai dari tarikh surat ini ditulis Sdr dilantik menjadi Stringer Berita Harian di Kawasan Kota Bharu dan kawasan-kawasan lain di Kelantan , dan mulai hari ini juga Sdr boleh menggunakan telefon untuk menghantar berita, tidak hantar melalui pos lagi, Cuma beritahu operator, ‘Reverse Charge’ ke Kuala Lumpur untuk bercakap dengan Berita Harian dengan menyebut nama sebagai Stringer Berita Harian di Kelantan”
Saya rasa semacam dunia ini saya yang empunya, dengan surat ringkas Wak Samad ini.
Hanya masyarakat Pemberita Sambilan yang memahami perasaan saya ini. Sanjungan dan pujian dari rakan-rakan Pemberita Sambilan di Kelantan waktu itu terhadap orang yang dilantik sebagai Stringer secara rasmi ini tak ubahnya seperti perlantikan dan pemasyhuran seorang Penghulu di desa-desa pingitan di luar bandar yang disambut gembira oleh semua penduduk .
Lebih menggembirakan , orang yang menyambut panggilan pertama penghantaran berita saya melalui talifon itu ialah Hadzrami AR , dan selepas mengambil berita dari saya beliau memberitahu “Wak Samad sedang menunggu nak bercakap dengan Yazid…kami disini panggil dia Wak Samad , kalau u nak panggil Wak boleh juga. . ..dan Wak Samad terus bercakap dengan saya. Saya semacam tak percaya Ketua Pengarang Kumpulan NST A.Samad Ismail yang masyhur itu sekarang sedang bercakap dengan saya.
“ Saya gembira Yazid rajin betul dan semakin pandai menulis . Intro kamu sudah bagus. ..setiap berita jaga intro..kalau intro out semua tak boleh pakai..ayat jangan panjang mesti pendek tepat dan ringkas. ..satu para tiga baris cukup..paling panjang pun lima baris. banyakkan scoop..kalu Dolah balik ikut dia ..pilih-pilihlah kalu bagus boleh buat news”
Dolah yang Wak Samad maksudkan itu ialah Tan Sri Abdullah Ahmad Kok Lanas yang waktu itu (1973) menjadi Setiausaha Politik Perdana Menteri Tun Haji Abd. Razak Bin Hussein.
Satu hari di musim banjir di Kelantan pada tahun yang sama, Wak Samad memberikan arahan terbaru, dengan katanya, “ sekeluarga penduduk ditepi Sungai Kuala Krai, kira-kira dua batu dari Tangga Bredly , sedang kebuluran dah dua tiga hari tak makan kerana terputus bekalan makanan akibat banjir..” dan Wak Samad meminta saya segera kesana.
Jam waktu itu hampir 2.30 petang, saya bertekad untuk sampai ke lokasi itu sebelum hari gelap. Selepas berjaya menahan sebuah lori untuk ditumpangi ke sana,saya tiba di Kuala Krai jam 5.15 petang dan terus berjalan kaki menyusur Sungai Krai itu. Kira-kira jam 7.00 malam saya tiba di lokasi. Memang ada sebuah keluarga di situ, tetapi saya tak pasti adakah rumah kayu usang itu kepunyaan orang Melayu atau Orang Asli.
Penghuninya tak ada, ada kesan pakaian dan periok belanga yang menunjukkan penghuninya baru saja meninggalkan rumah itu. Waktu begitu di hutan hujan yang tebal itu sudah mula gelap . Untuk berpatah balik berjalan melalui tepi sungai tadi saya fakir amat bahaya.
Yang pasti saya tidak akan sesat kerana menyusur sungai.Tetapi bila malam begitu terlintas di kepala saya, kumpulan babi hutan yang ganas, atau lagi bahaya kalau bertemu dengan Pak Lang atau Mak Jah . Kata orang tua-tua bila berada di hutan tak boleh sebut babi,harimau atau gajah, nanti mereka terus saja muncul.
Saya dilatih cepat berfikir jangan teragak-agak buat keputusan untuk buat intro. Sekarang saya kena cepat berfikir nak selamatkan diri, kerana hari makin gelap. Secepat kilat saya terjun ke sungai menangkap semacam perdu nipah yang agak besar sedang hanyut menuju hilir sungai itu. Nasib saya baik perdu pokok yang tumbang dan dihanyutkan air sungai itu agak besar dan bila saya memanjat ke atasnya, ia tidak tenggelam.
Selama kira-kira 40 minit di atas perdu pokok yang hanyut itu, kelihatan cahaya terang dihilir sungai , yang menunjukkan ia sudah dekat dengan Tangga Bredly di Kuala Krai dan 15 minit kemudian sudah kelihatan baaing-balang tiang Jambatan Kuala Krai dan mujurlah juga kayu hanyut itu menghampiri tebing kerana mengikut arus deras yang menuju kawasan tepi sungai, kerana ditengah-tengah sungai itu penuh dengan sampah sarap tersangkut dijambatan yang menghalang air dari menuju ke tengah sungai yang dalam itu.
Saya segera terjun menuju ke tepi sungai bila keadaan memungkinkan berbuat demikian dengan segera agar tidak dibawa arus yang laju ke bawah jambatan itu.
Dengan keadaan basah kuyup saya mencari telefon awam , malangnya tak berjumpa dan saya meminta seorang penduduk tempatan menghantar saya ke Balai Polis Kuala Krai. Di sana saya meminjam telefon di balai itu untuk buat panggilan ke Balai Berita BH di Kuala Lumpur. Alhamdulillah Wak Samad ada di pejabat. Saya segera memberitahunya apa yang terjadi. Beliau ketawa sambil mengucapkan tahniah kepada saya.
“ I dah tahu dah keluarga tu dah pindah ..Cuma I nak test u saja nak tengok u cekap ke tidak. Baguslah u memang bagus. Tahniah.. u berjaya lakukan tugas dengan baik” tambah Wak Samad.
Tak lama kemudian, semasa saya sedang menghantar berita ke KL melalui telefon awam di sebuah tempat di Kelantan, Ketua Pemberita, Hadzrami AR memberitau saya bahawa Wak Samad sudah tiga kali bertanyakan beliau “ dah dapat Yazid ke belum” . ( Memang sebagai Stringer , tidak ada pejabat diberikan , cuma dia bebas menghantar semua beritanya , yang dirangka terlebih dahulu, dan membacanya semula kepada petugas di Balai Berita menggunakan talifon awam atau dimana-mana pejabat atau rumah secara ‘reverse charge ’ d imana bilnya berapa banyak pun ditanggung oleh pihak Kumpulan NST ) .
Saya sudah gelabah, adakah Wak Samad nak marahkan saya kerana terlepas apa-apa berita penting di Kelantan atau apa-apa kesilapan berita yang saya hantar sebelun itu.
“ Yazid dengar sini…esok Tun Razak pergi ke Kelantan, biasanya saya hantar wartawan kanan ikut Perdana Menteri pergi ke negeri-negeri. Tetapi esok saya tak hantar wartawan dari KL. Saya percayakan Yazid.Belum pernah Stringer cover story PM tau..Yazid buktikan Yazid boleh buat ya? ..ok ” demikian ujar Wak Samad yang mengambil gagang telefon dari Hadzrami AR.
Saya menerima arahan Wak Samad itu bercampur baur antara gembira dan takut.
Gembira kerana tugas yang amat besar itu dan takut pula kalau-kalau saya gagal melaksanakannya. Malam itu saya sembahyang hajat memohon ketenangan dari Allah.
Keesokan saya daspat menatap wajah Tun Abd.Razak Perdana Menteri dari dekat.
Dalam sidang akhbarnya, Tun bercakap dengan begitu sopan dan hormat kepada wartawan, banyak senyum dan amat mesra sekali. Lawatan Tun ke Kelantan, besar faedahnya kepada rakyat Kelantan dengan mengumumkan beberapa projek kemajuan untuk negeri itu, tetapi yang terus dapat faedah serta mertanya ialah saya sendiri.
Keesokan harinya berita PM di Kelantan itu menjadi berita utama Berita Harian di muka hadapan dan by line atau nama penulisnya begitu besar sekali terpampang di bawah tajuk besar itu. Bagaimanapun saya sudah tidak hairan lagi, kerana semasa menghantar berita PM itu petang semalam lagi Wak Samad telah mengucapkan tahniah kerana intro dan isi berita yang saya tulis itu menepati kehendak beliau sendiri.
Teman-teman wartawan dan pemberita sambilan di Kelantan menuntut belanja makan tengahari pada hari berita besar itu keluar dan saya sudah pun menjangka apa yang akan berlaku dan saya meminta wang dari emak saya lebih sikit pagi itu untuk tujuan berkenaan.
Saya yakin dan percaya bukan seorang dua Wak Samad didik calon wartawan seperti saya, bahkan puluhan yang lain lagi berjaya dibimbing beliau dengan pupukan semangat yang luar biasa , ibarat cebis-cebisan besi kecil yang menuruti ketulan besi berani atau megnet yang begitu kuat kuasanya menarik mereka menuju ke satu matlamat yang ditujui., pembangunan negara serta rakyatnya , berbekalkan penguasaan tekhologi terkini.
Bagi saya, Wak Samad adalah pencetus semangat dan cita-cita saya. Berikutan itu saya berhijrah ke iu negara. Ibarat selama ini saya berada dalam sebuah lopak di dalam parit yang kecil , mula berpindah ke laut luas yang tak bertepi.
Bagaimanapun bekalan asas dari Wak Samad inilah saya memberanikan diri mengharungi dunia serbanika itu. Untuk itu jugalah saya berhijrah dari PPTIK Nilam Puri dan dari desa kecil Bukit Jawa Pasir Puteh, ke lautan dunia kewartawanan yang penuh dengan ombak dan badai dan tak ketinggalan juga menanti di hujung sana lambaian dedaun kelapa menggamit mesra ke pulau impian yang tenang dan nyaman.
Wak Samad bersama Pak Keris Mas dan Paklah berikutnya meminta saya mengambil dayausaha menubuhkan Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) dan akhirnya beliaulah yang memilih tarikh 12 Mei untuk dijadikan Hari Wartawan Malaysia yang kami mula rayakan pada 12 Mei 1997 dan dirasmikan oleh Menteri Penerangan Malaysia Dato’ Mohamad Rahmat tarikh keramat itu di Dewan Mesyuarat PWM .
Hari Wartawan ini dirayakan secara besar-besaran di PWTC pada 12 Mei 2000 dimana Perdana Menteri dan Isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali memotong Pulut Kuning setinggi lima kaki serta dibahagikan kepada orangramai dengan hidangan lauk rendang daging, diikuti oleh forum Hari Wartawan yang diambil bahagian oleh beberapa orang Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Timbalan Menteri serta ahli akademik, wartawan dan orang ramai.
Sebagai menghargai jasanya yang begitu banyak dalam dunia penulisan kewartawnan, tahun 1996 Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) menganugerahkan beliau dengan Anugerah Wartawanan Cemerlang Negara yang disampaikan oleh Perdana Menteri , YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad di Hotel Istana dalam satu majlis di Malam Perdana PWM. Penganugerahan Wartawan Cemerlang Negara (WCN) ini adalah dibuat oleh satu Jawatankuasa yang dianggotai oleh Wartawan dan tokoh-tokoh akademik dalam bidang kewartawanan, komunikasi dan penulisan, yang dipengerusikan oleh Professor Dato’ Abdul Latif Bakar dari Universiti Malaya.
Kami doakan semoga roh Tan Sri A. Samad Ismail dihimpunkan bersama-sama dengan roh para Nabi dan Rasul serta roh orang-orang yang soleh, amin ya Rabbal A-lamin. Alfatihah.
|