|
RASUAH DALAM UMNO IALAH BERPUNCA DARI SYARAT KELAYAKAN BERTANDING. |
|
|
|
 |
| Tengku Razaleigh |
Seperti yang diketahui umum syarat-syarat kelayakkan untuk bertanding
dalam pemilihan UMNO yang bermula pada 1 hingga 12 Ogos 2008 daripada
peringkat Majlis Tertinggi (MT) sehinggalah dalam bahagian UMNO punca
berlakunya rasuah yang berleluasa dalam parti itu daripada mula
syarat-syarat itu diwujudkan sehinggalah sekarang.
Diperingkat Majlis Tertinggi (MT) bermula daripada Presiden, Timbalan
Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi Parti. Semuanya
memerlukan syarat-syarat dan kuota bilangan yang membolehkan mereka
bertanding.
Syarat-syarat lain tidak menimbulkan masalah kecuali syarat yang
menentukan jumlah bilangan tertentu yang disyaratkan. Untuk mendapatkan
syarat-syarat bagi memenuhi kuota yang ada dalam syarat tersebut
menjadikan semua yang bertanding itu menggunakan sedaya upaya kebijaksanaan mereka mempengaruhi
bahagian-bahagian UMNO seluruh negara dan sekirannya mereka menemui
kesulitan maka wang ringgit terpaksa dikeluarkan.
Lebih jelas lagi di peringkat bahagian-bahagian UMNO yang merupakan akar umbi pada parti seluruhnya menjadikan gejala rasuah ini berlaku.
Sebahagian besar ahli-ahli UMNO adalah berada di luar bandar, kedai-kedai kopi, warung-warung nasi berlauk/nasi dagang/nasi lemak, warung roti canai dan sebagainya merupakan tempat tumpuan utama mereka yang bertanding dalam bahagian-bahagian untuk melobi mendapatkan undi.
Jawatan-jawatan yang dipertandingkan ialah Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian serta Jawatankuasa Bahagian dan Perwakilan ke perhimpuan Agung UMNO Malaysia.
Selain itu, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri serta Jawatankuasa masing-masing turut dipertandingkan.
Syarat-syarat untuk melepasi seseorang calon agar layak bertanding bergantung kepada jawatan yang dipertandingkan di bahagian-bahagian berkenaan.
Manakala bilangan percalonan yang diperlukan pula bergantung kepada jumlah cawangan yang ada di bahagian-bahagian berkenaan. Ertinya semakin banyak cawangan di satu-satu bahagian itu semakin tinggi pula jumlah bilangan kuota untuk kelayakkan.
Inilah punca berlakunya rasuah dalam UMNO dan tidak boleh dikawal lagi sekarang. Oleh yang demikian untuk mengatasi hal ini pihak ibu pejabat UMNO dan pucuk pimpinan hendaklah serta merta membuang semua syarat dan kuota untuk melayakkan seseorang bertanding dalam bahagian-bahagian UMNO seluruh negara.
Pihak pimpinan UMNO hanya perlu mengikut syarat yang ditetapkan dalam pertubuhan NGO di mana syarat-syarat untuk seseorang bertanding bagi semua jawatan hanyalah seorang pencadang dan seorang penyokong. Sekiranya ini diamalkan sekarang maka tidak ada lagi perbuatan rasuah di peringkat akar umbi parti.
Sudah sampai masanya UMNO membuat pindaan kepada peraturan yang menyekat penyuburan demokrasi dalam parti politik tertua orang Melayu ini. Sepertimana yang pernah diluahkan oleh Tan Sri Muhyuddin Yassin dan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa kuota yang disyaratkan itu menyekat ahli-ahli untuk memilih pemimpin secara bebas.
Kalau mengikut kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah, jika tidak kerana kuota yang disyaratkan untuk bertanding jawatan Presiden UMNO maka beliau dikira sudah menang.
Namun begitu, belum tentu tidak ada kuota Tengku Razaleigh boleh menang kerana beliau telah lama tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana bahagian UMNO kecuali di Gua Musang. Beliau sudah hilang populariti. Tapi apa yang pasti, dengan tidak ada kuota itu akan merancakkan lagi pemilihan jawatan dan pemilihan pemimpin yang berkaliber di semua peringkat UMNO tanpa melibatkan rasuah.
Tinggalkan sahaja warisan Anwar Ibrahim yang ‘main duit’ semasa beliau menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri dahulu itu. Biarlah UMNO zaman Pak Lah ini bersih sebersihnya daripada gejala rasuah untuk merebut apa juga jawatan penting dalam UMNO.
|