|
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih atas 'respond' tulisan saya
|
|
| PAS JANGAN LEPAS |
|
tentang ‘Bubar Umno dan Pas – Baik dan Buruk’. Encik Suhaimi Harun memberi pandangan dan ulasan panjang lebar mengenai tulisan saya itu dan saya ucapkan terima kasih.
|
| UMNO BUKA RUANG LUAS |
Banyak cadangan beliau yang saya setuju dan tulisan saya sebelum ini hanya satu lontaran fikiran untuk mendapat pandangan umum. Ia bukan cadangan yang telah diuli dan dimasak, sekadar buah fikiran untuk satu perbincangan lanjut.
Saya memang setuju bahawa UMNO dan PAS mesti kekal sebagai entiti parti Melayu dan Islam yang masing-masing mempunyai peranan untuk dimainkan bagi masyarakat Melayu dan Islam di negara ini. Membubarkan ke dua-dua parti yang telah menempuh satu perjalanan yang panjang dan melalui onak dan duri bagi dikenali sebagi parti politik yang mempunyai ideologinya masing-masing bukan satu cadangan yang baik.
Apa lagi UMNO yang sudah diwujudkan jauh awal dari Pas, tidak nampak kewajarannya untuk dibubarkan. Sedangkan Pas hanya parti serpihan daripada perpecahan yang wujud dalam UMNO dan juga telah menempuh pelbagai cabaran untuk ditegakkan. Jadi, biarlah UMNO dan Pas tetap wujud dalam kacah politik orang Melayu masa kini.
Cuma dalam soal kepentingan Melayu dan Islam, janganlah kedua-dua parti melihat kepentingan dari segi politik sahaja. Muqabalah mesti bertunjangkan kepentingan ummah. Apa juga ideologi dianuti oleh keduda-dua parti, kepentingan ummah mesti diletakkan keutamaan. Muqubalah sahaja tidak cukup kalau tidak wujud persefahaman dan kerjasama. Sepatutnya apa sahaja untuk kepentingan ummah, maka kerjasama dan tindakan yang membuahkan kepentingan itu tidak patut diketepikan semata-mata ‘terikat’ dengan sekutu dari pakatan sama ada Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat (PK).
Namun itulah yang telah berlaku apabila Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan pertemuan dengan UMNO hanya muqabalah biasa dan tidak akan ada wujud kerjasama bagi membentuk kerajaan baik di peringkat negeri mahu pun pusat. Nampak sangat ada perbezaan dari segi pandangan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Aziz Nik Mat beberapa hari lalu yang mahu mencadangkan agar parti UMNO dan Pas dibubarkan dan diwujudkan satu parti sahaja yang mewakili orang Melayu dan Islam. Jelas dari kenyataan Mursyidul Am Pas ini membayangkan bahawa kerjasama dari segi politik itu boleh dilakukan, hanya kaedahnya sahaja yang berbeza.
Tetapi berbeza dengan kenyataan Presiden Pas sendiri yang langsung tidak membuka ruang kepada kerjasama itu. Beliau dalam kenyataan akhbar memberitahu itu keputusan pemimpin tertinggi Pas. Bersoraklah DAP dan PKR yang bagaikan `cacing panas’ sebelum ini apabila Pas menyatakan persetujuan mengadakan pertemuan dengan UMNO. Ke dua-dua parti pembangkang dalam PR ini bukan parti Melayu dan Islam dan Pas tidak wajar merasa tergugat dengan ugutan Karpal Singh yang mengatakan akan menilai semula hubungan Pas dalam PR. Awal-awal lagi Pas telah dilihat tunduk dengan tekanan rakan-rakan dari parti bukan Melayu dan Islam dalam PR. Dan awal-awal lagi menyisihkan UMNO yang jelas sebuah parti Melayu dan Islam untuk menjalin kerjasama. Maka akan adakah harapan lagi kah orang Melayu dan Islam di negara ini untuk melihat satu jalinan kerajsama UMNO dan Pas bagi menyelesaikan kemelut nasib orang Melayu dan Islam selepas PRU 12 lalu?
Sejak kenyataan dari Pas mengenai wujud pertemuan dengan UMNO itu, jelas sekali tindakan Pas tidak merujuk langsung kepada Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Aziz. Sedangkan jawatan itu adalah tertinggi dalam hariki Pas kerana orang yang memegang jawatan akan diambil padangan dan rujukan. Malangnya apa yang dikatakan oleh Presiden Pas mengenai pertemuan itu dinafikan oleh Mursyidul Am. Nampak sangat Pas tidak mendapat pandangan dan buah fikiran Mursyidul Am sehingga Dato’ Nik Aziz hilang arah dan tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam parti Pas.
Tidak hairan kenyatan tidak mahu kerjasama dengan UMNO boleh dinyatakan oleh Presiden Pas kerana kerajsama dan persepakatan dalam Pas sendiri tidak wujud. Mursyidul Am kata lain Presiden Pas kata lain. Tidak kelihatan ada unsur-unsur kejituan fikiran dalam membentuk agenda orang Melayu dan Islam yang ingin diperjuangkan oleh Pas melalui muqabalah itu.
Adalah terlalu awal Presiden Pas menyatakan keyakinan bahawa tidak ada kerjasama dengan UMNO. Sepatutnya perkara – perkara yang baik demi kepentingan ummah itu janganlah terlalu awal untuk diketepikan. Berilah prasangka baik. Kalau hari ini tidak nama ciri-ciri untuk ke arah kerjasama itu, tidak bolehkah dikatakan kemungkinan di masa akan datang Insya-Allah perkara itu boleh direalisasikan. Susah sangatkah untuk memberi sebutir sinar harapan untuk orang Melayu dan Islam di negara ini?
Hairan juga dengan sikap pemimpin Pas. Sedangkan dengan DAP yang suatu ketika Pengerusinya Karpal Singh pernah memberitahu langkah mayat beliau dahulu ( over my dead body) untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini apabila Pas beria-ia mahu melaksanakan hukum hudud sekitar tahun 1990an, Pas boleh menjalinkan kerjasama dengan membentuk kerajaan negeri di Perak, Selangor dan Pulau Pinang, tetapi dengan UMNO yang terang-terang orang Melayu dan Islam dipandang sinis dan prasangka buruk oleh Pas. Kenapa begini sikap pemimpin yang dikenali sebagai ulama di kalangan orang-orang Pas?
Kita tidak nampak kerajaan negeri Selangor dan Perak dapat diselamatkan daripada di bawah cengkaman DAP meskipun Menteri Besarnya orang Melayu dan Islam. Tawaran yang dihulurkan oleh UMNO kepada Pas dianggap satu penghinaan pulak. Berdosa besar sangat ke Pas kalau bekerjasama dengan UMNO ? Betapa besarnya nikmat dan faedah yang diperolehi oleh orang Melayu dan Islam hasil kerjasama ini, tidak gembirkah Pas?
Dalam hal ini, benteng bagi merasionalkan dan merealisasikan cadangan untuk kerjasama antara Pas dan UMNO kini hanya tinggal di tangan Dewan Pemuda Pas Pusat yang diterajui oleh YB Salahuddin Ayub Dalam pertemuan antara saya dengan para pemimpin Dewan Pemuda Pas yang diketuai oleh Timbalannya di pejabat Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) beberapa bulan lalu, saya nampak keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk mengadakan kerjasama itu. Malah Dewan Pemuda ini lebih rasional dan tidak beremosi. Bagi mereka, apa sahaja untuk kepentingan ummah mesti diutamakan. Sudah sampai masanya rundingan dan UMNO disertai bersama secara aktif oleh Dewan Pemuda Pas. Tujuan agar tidak ada monopoli idea, kongkongan akibat terikat dengan PR dan pemikiran jumud di kalangan pemimpin terdahulu yang boleh menghalang dan menyekat keinginan untuk kerjasama dengan UMNO.
Kenyataan Haji Hadi yang mengatakan bahawa Pas tetap berpendirian untuk kekal berada di dalam pakatan pembangkang dengan memainkan peranan yang lebih akif dan positif selaras matlamat perjuangan untuk menukar kerajaan sedia ada merupakan satu kenyataan tidak melambangkan keikhlasan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam yang kini tertekan akibat PRU 12 dahulu. Adakah Pas tidak menanggap mereka kerajaan di negeri Kelantan, Perak,Kedah, Pulau Pinang dan Selangor? Dan apakah dengan kerjasama DAP dan PKR sahaja Pas begitu yakin dapat menerajui negara ini dengan lebih berkesan ? Apakah DAP dan PKR beri peluang Pas menjadi tunjang kepada pakatan itu kelak?
Peluang yang dihulur oleh UMNO untuk bekerjsama membentuk kerajaan di beberapa negeri sebenarnya satu peluang yang Pas tidak patut lepaskan. Segala cadangan untuk menegakkan Islam mudah dilaksanakan kerana UMNO dan Pas merupakan dua parti terbesar orang Melayu yang membentuk kerajaan negeri dan pusat. Mengapa jalan mudah dan terbuka luas dipersia-siakan oleh Pas, adakah kerana cita-cita individu tertentu dalam Pas mengatasi kehendak umum?
UMNO merupakan tunjang dalam Barisan Nasional (BN) dan usaha bagi menyatupadukan orang-orang Melayu dan Islam melalui muzakarah atau muqabalah dengan Pas tidak pernah dicurigai oleh rakan-rakan dalam BN.
Persoalannya, adakah usaha Pas mengadakan pertemuan dengan UMNO itu disenangi oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR). Apa yang pasti Pengerusi DAP telah menyatakan ketidak senangan hatinya dan mengugut pula untuk mengkaji semula kedudukan Pas dalam PR. Bayangkan kalau mereka berjaya membentuk kerajaan nanti, ke mana Pas akan diletakkan?
Di sini saya ingin mencatat sedikit apa yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad dalam Utusan Malaysia mengenai perkembangan ini. “ Pas sebenarnya tidak gembira berada dalam pakatan pembangkang. Pas merasa demikian kerana walaupun sebagai parti yang senior, ia mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang tekecil di kalangan pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.
“ Apa yang lebih memeritkan untuk Pas ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebuah parti yang terlalu kecil pada asalnya dan memenangi terlalu sedikit kerusi pada beberapa pilihanraya sebelum ini, kini menjadi ketua pembangkang. Kedudukan kurang selesa Pas dalam pakatan pembangkang itu adalah antara punca mengapa ia bersedia untuk bertemu dengan UMNO.”
Jadi, apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir itu ada kebenarannya. Namun atas kepentingan Melayu, UMNO yang sudah mempunyai `track record’ yang begitu lama dalam perjuangan turun naik bagi memertabatkan bangsa dan agama di negara ini boleh merendahkan diri untuk mengadakan pertemuan dengan Pas. Sedangkan Pas yang hanya sebuah parti daripada serpihan UMNO patut menghormati keikhlasan dari parti yang diterjaui oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berasal dari keluarga keturunan ulama itu. Jangalah ada prasangka buruk akan niat yang murni itu.
Pas tidak akan mengetuai pimpinan negara jauh sekali untuk menjadi Perdana Menteri kalau masih taksub bersama rakan-rakan mereka dalam pakatan rakyat. Sekarang sahaja ketua pembangkang dipegang oleh PKR.. Sementara DAP pula menjadi dalang dalam apa juga keputusan kerajaan negeri di Selangor dan Perak. Pulau Pinang jauh sama sekali untuk melihat kepentingan orang Melayu dan Islam diambil berat oleh kerajaan negeri di bawah DAP.
Maka, fikirkan semasak-masaknya. Peluang tidak datang banyak kali. Menyesal dahulu pendapatan menyesal kemudian tidak berguna.
Apa yang diharapkan kini ialah usaha dan gerakan ke arakah perpaduan ummah melalui Dewan Pemuda Pas . Saya penuh yakin dengan kemampuan dan kegigihan YB Salahuddin Ayub selaku Ketuanya, Ustaz Nasarudin Hasan selaku Timbalan, Ahmad Sabki Yusof selaku Setiausaha Agung dan para Jawatankuasanya. Merekalah merupakan pelapis menerajui Pas dan mereka mesti menyediakan satu platform ke arah menyatupadukan ummah di negara ini. Maka kerjasama dengan UMNO adalah yang terbaik dan jangan sama sekali dilepaskan peluang yang ada di depan mata.
End/dnm
|