|
| PRASANGKA BAIKLAH PADA PAKLAH |
Apa pun panggilan sama ada Muzakarah atau Muqabalah bagi menyatakan ada usaha ke arah mengadakan pertemuan dan perbincangan demi kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam negara ini tidak penting untuk dibahaskan. Istilah tidak penting, apa yang lebih utama niat dan usaha baik demi kepentingan Islam itu lebih ditekankan. UMNO dan PAS merupakan dua parti terbesar orang Islam di negara ini dan sudah sampai masa dan ketikanya ke dua-dua parti ini duduk semeja bagi membincangkan masa depan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini secara serius.
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang mempunyai ilmu dan pengetahuan dalam pengajian Islam ( lulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya ) membuat langkah yang tepat untuk memulakan pertemuan dan perbincangan itu dengan pihak PAS bagi pihak kerajaan dan pemimpin tertinggi UMNO. Bagilah masa dan peluang untuk Pak Lah berbuat sesuatu demi kepentingan bangsa Melayu dan umat Islam negara ini dalam tempoh pemerintahannya yang dikira muda sangat lagi. Pak lah menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada penghujung 2003 dan baru-baru ini mengumumkan peralihan kuasa pada pertengahan tahun 2010. Pak Lah mempunyai masa yang singkat untuk meninggalkan sesuatu yang penting dan berfaedah untuk bangsa Melayu dan Islam di negara ini. Niat Pak Lah itu sepatutnya disambut dengan prasangka baik oleh PAS tanpa dipolitikkan.
Sehubungan dengan itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr. Haron Din serta Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang mempunyai latar belakang pengajian agama yang tinggi dan antara mereka digelar tok guru dan ulama seharusnya mempunyai prasangka baik dalam usaha yang dimulakan oleh Pak Lah itu. Janganlah ada hendaknya halangan dan berbuat sesuatu yang menyusahkan ke arah itu. Demi kepentingan umat Islam di negara ini, orang Melayu amat menanti-nantikan agara pertemuan dan perbincangan itu dapat direalisasikan dan membuahkan hasil.
Sebagai parti yang mempunyai ramai ulama, maka PAS seharusnya tidak mempunyai apa-apa prasangka buruk usaha yang dilakukan oleh pemimpin UMNO seperti Pak Lah demi kepentingan umat Islam di negara ini. Sejauh pemerintahnya sebagai Perdana Menteri, belum lagi didengar Pak Lah mengeluarkan kenyataan yang menghiris hati pemimpin PAS. Begitu juga dengan bantuan kerajaan Pusat kepada negeri yang diperintah oleh pembangkang. Contohnya di Kelantan di mana ia dimasukkan dalam perancangan ECER. Maknya, kerajaan Pusat di bawah pemerintahan Pak Lah tidak pernah menganaktirikan negeri yang di bawah pemerintahan parti pembangkang. Oleh itu, Tok Guru Nik Aziz diharap tidak mempunyai prasangka buruk akan niat baik Perdana Menteri itu.
Dalam memperkatakan kepentingan orang Islam dan Melayu, ketepikanlah segala kepetingan politik. Umum memang mengetahui UMNO dan PAS mempunyai ideologi politik yang berbeza, tetapi orang Melayu di negara ini tidak mahu tahu itu semua. Apa yang penting, ke dua-dua parti besar orang Melayu duduk semeja demi perpaduan umat Islam negara ini.
Selepas PRU 12 lalu, ketuanan Melayu dan agama rasmi negara ini ( Islam ) sudah mula dicabar oleh golongan yang berkepentingan. Parti bukan Melayu yang menganggotai Pakatan Rakyat yang menguasai beberapa negeri telah mengeluarkan kenyataan dan peraturan yang amat menyinggung perasaan orang Melayu dan agama Islam. Oleh itu, PAS sebagai satu-satunya parti Melayu yang menganggotai Pakatan Rakyat ini mesti mempertahankan apa sahaja kepentingan orang Melayu dan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan.
Namun sejauh mana PAS mampu bertahan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat? Bila PAS lantang membantah dan memboikot acara yang menyeleweng daripada ajaran Islam, akhirnya hubungan dalam Pakatakan Rakyat akan menjadi tegang dan benang yang tegang akhirnya akan putus. Bila ini berlaku maka sewenang-wenangnya rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat untuk melakukan apa sahaja yang menyentuh sensitiviti orang Islam di negeri yang diperintah oleh mereka.
Oleh itu, selagi PAS berada dalam Pakatan Rakyat maka segala kepentingan orang Melayu dan Islam mesti dipertahankan. Bagi membolehkan usaha itu berterusan, maka PAS dan UMNO mestilah meningkatkan kerjasama antara kerajaan negeri pakatan pembangkang dan kerajaan Pusat. Dengan adanya muzakarah atau muqabalah, maka dapat meningkatkan persefahaman antara dua parti yang berbeza ideologi itu demi kepentingan orang Melayu dan Islam.
Rakyat negara ini ( bangsa Melayu dan Islam) sudah tentu tidak sabar untuk menanti saat dan ketika yang mencatat satu lagi sejarah negara apabila dua parti besar rakyat negara ini ( UMNO dan PAS ) boleh duduk semeja dan berbincang secara tenang dan rasional demi kepentingan umat Melayu dan Islam negara ini.
Adalah diharapkan semua pemimpin baik daripada UMNO mahu pun daripada PAS boleh menjadikan peribahasa Melayu “ harimau mati tinggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” dalam usaha mereka bekerjasama demi kepentingan orang Melayu dan Islam negara ini.
Ends/ dnm
|