|
|
| NIK ABDUL AZIZ NIK MAT |
Saya bersetuju dengan pendapat Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam bahawa, pihak media terlampau ghairah sangat memberikan publisiti murah mengenai Anwar Ibrahim. Nak cari berita sensasi bagi melariskan jualan akhbar atau menarik penonton melihat dan mendengar stesen anda? .
“ Kalau dia jahat sekalipun biarlah, kenapa kita sibuk sangat…” kata Nik Aziz kesal, dalam laporan Utusan Malaysia dalam halaman 9 keluaran 19 Julai 2008.
Bagi saya pihak media kini menjadi terlupa bahawa perbuatan itu bertentangan dengan satu dari Sembilan Etika Kewartawanan, bahawa memberikan penonjolah kepada satu-satu tokoh tertentu pada hal ia tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada masyarakat .
Penonjolan publisiti murah terhadap Anwar itu bertambah jengkel dan remeh, apabila dinilai bahawa ia tidak ada kaitan dari segi kepentingan agama dan negara, kecuali semata-mata mungkin untuk faedah peribadi penulis atau penerbit berkenaan.
Dalam agama Islam kita yang maha suci, jelas sekali perintah Nabi Muhammad (SAW) untuk sampai menyampaikan berita yang baik, yang boleh membawa seseorang semakin kuat beriman dan bertaqwa kepada Allah, bukannya menyampaikan berita-berita yang boleh memecahbelahkan serta melemahkan agama dan bangsa kita.
Cuma sebagai bekas pengamal media yang bergelumang dalam dunia kewartawanan lebih 30 tahun, maka saya berpendapat bahawa media arus perdana kini terlalu memberi tumpuan kepada isu Anwar Ibrahim sehingga lupa bahawa banyak isu mengenai rakyat dan negara yang lebih penting untuk dipaparkan. Janganlah kita terlalu menyekat fikiran rakyat untuk melihat dunia luar selain daripada memperkatakan tentang isu Anwar. Masalah sosial, ekonomi dan politik antarabangsa patut didedahkan kepada khalayak pembaca dan penonton agar rakyat tidak merasakan mereka dijadikan seperti `katak bawah tempurung' akibat isu Anwar Ibrahim. Banyak berita luar negara begitu bermakna untuk dipaparkan agar rakyat negara ini merasakan betapa bertuahnya tinggal di bumi Malaysia ini.
Janganlah jadikan isu Anwar Ibrahim sebagai berita utama sehingga dimuatkan dari muka satu sehingga ke muka 2 dan 3. Media dan wartawan tidak boleh beranggapan kesemua khalayak pembaca dan penonton sudah mengikuti isu Anwar Ibrahim. Ramai yang muak, mual dan meluat. Biarlah isu Anwar Ibrahim ini diselesaikan seperti rakyat Malaysia yang lain sekiranya melakukan kesalahan. Negara kita mempunyai pasukan polis terbaik di dunia dan mempunyai mahkamah untuk mengadili siapa benar dan siapa salah
Kuasa luar amat gembira dengan keadaan kacau-bilau yang berlaku dalam negara kita. Kuasa besar dunia lebih-lebih lagi ,terutamanya Amerika, kerana Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu dilemahkan dan pengaruh Amerika mesti dimasukkan seberapa banyak yang boleh .
Itulah yang sedang berlaku di dunia Islam lain, khususnya Iraq, Lubnan, Palestin, Arab Saudi dan yang terbaru di Iran dan Sudan. Dunia Barat kini bimbang umat Islam bersatu, kerana mereka tahu jika umat Islam bersatu, mereka akan terketepi dengan sendirinya.
Untuk mengekalkan agar keadaan dalam negara –negara umat Islam itu sentiasa tidak tenteram, pihak Amerika dan sekutunya (terutama sekutu Amerika terdekat dengan kita) , akan berbuat apa saja dari masa kemasa melalui orang-orang yang dikenalpasti senang menjadi perkakasnya.
Orang-orang yang sehaluan dengan kuasa Barat yang bersekutu dengan Yahudi ini , menjadi lebih senang diperalatkan, bila mereka itu sendiri menghadapi masaalah peribadi yang rumit, kerana di sana (di luar sempadan Malaysia) menunggu segala bantuan yang diperlukan .
Alat utama kuasa luar itu ialah segala bentuk penerbiatan, samada stesyen tv, radio, majalah, akhbar harian, mingguan, bulanan dan sebagainya, termasuk dari kalangan bloggers. Bagaimanapun mereka itu semua adalah rakan-rakan saya dalam bidang yang sama iaitu dalam ruang lingkup dunia kewartawanan .
Saya yakin dan percaya, teman-teman saya yang berada dalam dunia kewartawanan ini segera kembali semula ke atas landasan etika kewartawanan, sekiranya tergelincir sekali sekala. Kerana tujuan kita menulis adalah demi bangsa kita, agama kita, negara kita. Cuma cara dan pendekatan yang berbeza.
.
Walau pun kebenaran yang wartawan cari dan menyatakan yang benar itu pahit untuk diterima dan ditelan, namun itulah darah daging kaum wartawan. Insan ini berbeza dari insan biasa yang lain, mereka puas dengan menyatakan kebenaran, walaupun ada pihak tidak menyukainya. Selamat menulis teman-teman wartawan.
|