 |
| JOHARI ABDUL |
Sejarah baru dilakar sebentar tadi, apabila seorang Menteri Kabinet begitu berani tampil ke depan menyahut cabaran Pembangkang untuk berdebat mengenai isu semasa. Dato’ Ahmad Shabery Cheek yang baru dilantik sebagai Menteri Penerangan kira-kira 120 hari yang lalu, telah membuktikan bahawa beliau begitu berani berhadapan dengan sesiapa saja dari pihak Pembangkang , hatta orang itu adalah seorang yang bernama Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat PKR , seorang pemimpin yang dipuja oleh pihak pembangkang negara ini.
‘Hari ini bentuk Kerajaan Esok Turun Harga Minyak’ adalah tajuk debat berkenaan, manakala Ahmad Shabery Cheek dan Anwar Ibrahim adalah Ahli Penalnya. AgendaDaily.com yang dipimpin oleh Saudara Hanafiah Man dan Rosli Ismail merupakan penganjur debat tersebut jam 8 malam, 15 Julai 2008, bertempat di Dewan Syed Nasir , Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur.
 |
| ROSLI ISMAIL |
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar Utusan Melayu Dato’ Johan Jaafar menjadi moderator malam ini .
Tuan Rumah, yang merupakan teman lama saya (Sewaktu di Kumpulan Utusan dulu) Rosli Ismail dari AgendaDaily.com, telah menjemput saya melalui telefon untuk menjadi salah seorang dari 100 tetamu yang diundang (tetapi yang hadir di dewan itu saya agak tak kurang dari 200 orang), bagi menghadiri debat bersejarah tersebut manakala Dato’ Suhaimi Yaacob, (Cicit Tok Janggut) yang membawa kad untuk saya, tetapi beliau sendiri datang lambat, mengakibatkan saya cemas .
Saya sampai sebelum jam 8 malam, bagi mengelak kesesakan di pintu masuk. Jangkaan saya betul, walaupun sampai agak awal tetapi orang ramai sudah memenuhi ruang di hadapan DBP. Bila saya cuba menghampiri pagar DBP yang dijaga rapi oleh pasukan Polis Pencegah Rusuhan, saya disoal “mana kad, tak ada kad jemputan tak boleh masuk” kata beberapa orang polis serentak.
Syukurlah, sebelum saya buka mulut untuk menjawab, terdengar laungan dari dalam pagar DBP “ Datuk Yazid Othman ada dalam senarai jemputan !!! ” , saya tak dapat pastikan suara siapakah itu, tetapi anggota polis yang berkawal segera membuka pintu pagar untuk saya masuk.
Dalam Dewan Syed Nasir, saya disambut oleh teman lama tenaga pimpinan ‘ Islamic Group’ di Universiti Malaya dulu, Johari Abdul, (kami memanggilnya dulu Jo) yang kini menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani, iaitu orang yang mengalahkan Menteri Penerangan sebelum ini Dato’ Seri Zainudin Maidin, dalam pilihanraya umum ke 12 pada 8 Mac lalu.
Sebenarnya saya tidak tahu pembahagian tempat duduk telah dibuat lebih awal, iaitu disebelah kiri adalah untuk para penyokong kerajaan dan disebelah kanan dewan pula adalah untuk penyokong pembangkang. Saya, lalu duduk di sebelah Johari di barisan hadapan sekali di kanan dewan. Teman-teman sebelah kiri dewan memberikan senyum sinis.
Selepas kawan lama saya (juga sewaktu di Utusan) Saudara Hanafiah Man memberikan kata-kata sanjungan bagi pihak AgendaDaily kepada hadirin, Anwar Ibrahim memulakan hujah dengan gaya seperti Anwar Ibrahim yang dulu itu juga , d mana mata dan keningnya diangkat dan mulutnya fasih mengkritik kerajaan , dan muka serta matanya sekali-sekali merenung sambil senyum kepada lawan di sebelahnya, dan itulah caranya bila beliau ingin menarik perhatian sewaktu berucap di hadapan orangramai.
“sekiranya kita memerintah hari ini pagi esok kita turunkan harga minyak 50 sen”,
kata Anwar menutup hujahnya, setelah menyerang kerajaan dengan tuduhan mengamalkan rasuah dan kroni serta tidak pedulikan kesusahan rakyat, padahal wang keuntungan Petronas banyak.
Manakala Shabery pula dengan suara tenang dan bersahaja menyatakan , kenaikan harga minyak ini bukanlah di Malaysia sahaja, tetapi seluruh dunia naik akibat apa yang berlaku di Iraq, Iran serta kesannya terhadap perkembangan yang berlaku di India dan China.
Pada satu ketika hujah-hujah Menteri Penerangan itu menimbulkan kemarahan para penyokong Anwar dalam dewan itu, apabila Shabery menyebut tentang peribadi Anwar ini memang juara dalam membantah bermula dari zaman Tun Abdul Razak lagi, sampailah sekarang. Ertinya, apa yang dinyatakan oleh Shabery itu, Anwar tidak membantah apa-apa pun bila dia berada dalam UMNO dan Kerajaan, dan bila beliau berada semula di luar kerajaan, bantahan dan kritikan itu disambung semula.
Selain itu para penyokong Anwar kelihatan tidak senang dengan cara Shabery mengemukakan hujah , di mana terdapat beberapa negara yang menurunkan harga minyak dengan banyak, di mana harga minyak menjadi sangat murah, tetapi ekonomi negara berkenaan tidak berkembang juga.
Apa yang jelas, tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah sesuatu tindakan yang bijak kerana tanpa kita sedari selama ini Petronas hanya menguasai 40% pasaran runcit petrol dan diesel negara ini, sementara 60% lagi dikuasai oleh syarikat minyak negara asing seperti Shell, Esso dan Mobil. Adalah bodoh tindakan kerajaan sekiranya memberi subsidi minyak kepada rakyat tetapi yang menguat keuntungan adalah syarikat minyak milik asing. Mengapa parti pembangkang tidak melihat ini sebagai sesuatu pembaziran wang rakyat?
Saya tidak nampak tindakan bagaimana Anwar memperuntukan RM5 billion untuk subsidi minyak kalau pakatan pembangkang memerintah. Bayangkan daripada RM5 billion subsidi itu, 60% akan terus ke poket syarikat milik asing. Apakah Anwar bangga tindakannya itu hanya akan membuat pengaliran wang rakyat ke luar negara? Bayangkan kalau harga minyak global semakin meningkat, maka semakin banyak subsidi yang diperlukan dan semakin kayalah syarikat minyak milik asing di negara ini.
Kewajaran kerajaan mengalihkan subsidi minyak dalam bentuk rebat tunai kepada lebih dilihat berkesan. Wang rebat tunai itu boleh digunakan terus oleh rakyat untuk membeli barangan keperluan lain dan bukan mengisi minyak di stesyen petrol milik Shell, Esso dan Mobil. Kecuali pengguna di negara ini begitu semangat patriotik dengan produk tempatan Petronas, maka subsidi itu tidaklah mengalir ke luar negara. Tetapi kita mengamalkan perniagaan bebas dan tidak ada paksaan dalam membeli dan memilih produk dan jenama.
Dengan debat mengenai isu kenaikan minyak ini, maka diharap rakyat yang menonton debat malam tadi akan lebih memahami kewajaran kerajaan mengambil tindakan tidak popular itu. Masalah dunia kini bukan sekadar harga minyak melambung tinggi dan inflasi meningkat, tetapi juga sumber makanan menjadi kurang dan mahal. Alhamdulillah, subsidi minyak yang dikurangkan oleh kerajaan telah dipindahkan ke sektor pertanian yang menghasilkan makanan. Kini, beras yang kita makan setiap hari jauh lebih murah daripada beras dari negara pengeluar besar Thailand.
Saya berikan lima bintang kepada Johan Jaafar yang begitu ‘profesional’ menjalankan tugas moderatornya, yang tidak menampakkan berat sebelah, padahal beliau pernah menjadi orang kuat Anwar semasa Anwar menjadi TPM dulu , di mana beliau dilantik menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, oleh Anwar, bagi menjaga kepentingan politik beliau.
Suatu ketika para penyokong Anwar menjerit dengan kata-kata “ Johan tidur ka..” apabila Shabery menyerang Anwar menggunakan hujah-hujah yang dianggap terkeluar dari tajuk debat, dan mereka juga kurang senang dengan satu soalan Johan kepada Anwar berbunyi; “ Mengapakah Dato’ Seri tunggu untuk dibentuk kerajaan dulu baru nak turunkan harga minyak, mengapa Dato’ Seri tak bagi saja cadangan-cadangan kepada kerajaan yang ada sekarang ..? ”
Anwar banyak menjurus kepada kesimpulan hujahnya dengan menekankan tujuan utamanya membuat cadangan seperti itu adalah untuk meringankan ‘beban rakyat’ dan Shabery pula membalas dengan mengatakan bahawa rakyat Malaysia masih boleh makan seperti biasa ertinya tiada kebuluran berlaku walaupun berlaku kenaikan harga minyak .
Sampai disini, salah seorang dari tiga orang wanita PAS yang ada di belakang saya bersama-sama dengan Dr. Lo’Lo’, Ahli Parlimen Titiwangsa, melaungkan kepada Shabery dengan kata “ Ya… makan Siput Babi …” tetapi Johari Abdul yang ada di sebelah saya memberi isyarat tangan agar jangan ulangi perkataan itu.
Suatu ketika Anwar dan Shabery begitu tegang, apabila Anwar kata bila harga minyak naik inflasi pun berlaku, manakala Shabery menjawab, mana ada inflasi ketara sangat , kalau ada pun dengan kadar yang sangat rendah berbanding dengan nrgara lain. Mendengar itu Anwar menjadi marah , dan dengan suara yang agak tinggi berkata, “teori ekonomi mana saudara belajar harga minyak naik tidak ada inflasi..”
Setiap jawapan yang diberikan oleh Shabery dengan caranya yang tenang dan banyak tersenyum ,itu menjadikan hujahnya meyakinkan pendengar. Bagaimanapun setiap hujah Anwar, samada betul atau tidak para penyokong pembangkang yang kelihatan lebih agresif, tetap memberikan tepukan yang gemuruh . Tetapi berikutan itu, para penyokong kerajaan pula memberikan tepukan gemuruh buat Shabery , bila beliau membalas balik hujah tersebut .
Tahniah AgerndaDaily, tahniah Johan Jaafar , tahniah Shabery Cheek, tahniah Anwar Ibrahim, tahniah Saluran 9,TV3, Astro Awani dan Astro Bernama, ini adalah permulaan suburnya demokrasi di negara kita. Ahli politik Kerajaan mahu pun Pembangkang perlu mendokong kebebasan bersuara ini mengikut saluran yang betul.
Tidak ada gunanya menyerang satu sama lain di belakang, tampillah di hadapan khalayak ramai kemukakan hujah anda dalam semua hal, biar rakyat umum menilai sendiri. Asalkan jangan diambil kesempatan untuk menonjolkan agenda peribadi,program ini mempunyai banyak manfaatnya.
|