|
| Penulis dan Tun Musa di UM |
Alhamdulillah, terima kasih kepada teman-teman serta kenalan lama saya yang memberikan reaksi positif terhadap artikel saya semalam dengan tajuk ‘ Nurul Izzah: Dari Manakah Namamu Datang?’ . Mereka telah menghubungi saya melalui email, telefon, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) , faks dan dari mulut ke mulut bagi menyampaikannya kepada saya tentang ada lagi budibaik Dato’ Sri Anwar Ibrahim yang saya tidak sebutkan dalam tulisan di laman saya semalam.
“Adalah tidak adil kepada Dato’ Sri Anwar Ibrahim kala Dato’ tidak menyebut jasanya bagaimana beliau melepaskan Dato’ dari dikenakan tahanan ISA oleh Tun Dr.Mahathir dan beliau berusaha mengekalkan Dato’ untuk terus berkerja di Utusan Malaysia milik UMNO, walaupun Dato’ menentang Perdana Menteri pada masa itu, dan berikutan itu bila Dato’ dipecat oleh Utusan, beliau memberikan derma sebanyak RM2000, ” kata seorang teman lama yang pernah bertugas dengan Anwar.
“ Dato’ perlu sebutkan juga Anwar memberi pinjam kereta Honda Accordnya untuk Dato’ pakai apabila kereta Ford Cortina Sport Dato’ terbakar enjin kerana kekeringan air, ” kata beliau lagi.
“ Dato’ lupakah bagaimana kami pimpinan UMNO Bahagian Selayang diminta oleh Dato’ Sri Anwar memberi laluan kepada Dato’ untuk menang tanpa bertanding bagi Jawatan Naib Ketua Bahagian , untuk membolehkan Dato’ bertanding sebagai calon bagi Parlimen Selayang, tetapi Dato’ menolak ? ” , kata bekas aktivis UMNO Selayang.
Untuk kesemua teman dan kenalan lama yang mengirimkan reaksi positif itu, inginlah saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas mengingatkan kembali semua peristiwa lama itu. Dan tak dinafikan , sebagai manusia biasa, ada juga antara peristiwa penting mengenai hal tersebut telah lenyap dari ingatan saya dan ada juga lagi yang saya masih ingat, tetapi teman-teman saya itu sudah lupa.
Sebenarnya saya bukanlah lupa semua peristiwa penting itu, tetapi saya malu nak menyebutkannya tentang hal-hal itu , takut nanti dilihat oleh para pembaca laman saya sebagai ‘Masuk Bakul Angkat Sendiri” kerana dibantu serta diberikan peluang begitu rupa oleh seorang yang satu ketika dulu sangat besar pengaruhnya .
Memang saya masih ingat, Anwar berjaya membantah cadangan Dr.Mahathir untuk menangkap saya dibawah ISA kerana menentangnya waktu itu.
Sebenarnya masa itu saya mengetuai kempen menentang cadangan pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1951, yang dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Dr.Mahathir Mohamad pada 12 Mac 1986 untuk bacaan kali pertama dan telah ditetap untuk diluluskannya setelah bacaan kali kedua pada 18 April 1986. (Bacaan kali kedua tertangguh hingga ke 6 Disember 1986 , selepas berlaku penentangan dari massa) .
Pada keesokan harinya iaitu 13 Mac 1986 , saya atas nama Presiden NUJ mengumumkan penentangan kami terhadap cadangan itu dalam Sidang Akhbar kepada pihak media di Ibu Pejabat NUJ di Jalan Kandang Kerbau Brickfields. Ekoran dari itu hampir keseluruhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Parti Pembangkang membuat reaksi menyokong kempen kami itu, samada melalui kenyataan media ataupun ceramah-ceramah umum.
Antara pemimpin organisasi yang kuat menyokong kami dengan mengadakan forum dan ceramah bersama kepada khalayak ramai ialah Ust Fadzil Nor (PAS) Lim Kit Seang (DAP), Param Kumaraswami (Majlis Peguam), Gurmit Singh (Sahabat Alam), Dr.Jomo Sundram (Persatuan Akademik Universiti Malaya), Pairin Kitingan (PBS) dan ramai lagi.
Sebab utama saya dan seluruh barisan pimpinan NUJ menentang pindaan OSA ialah, atas rasa tanggungjawab melindungi hak-hak kaum wartawan di negara ini agar lebih bebas melapor dan menulis berita yang ada kaitannya dengan bahan berita dalam Kerajaan .
Takrif Rahsia Rasmi dalam pindaan baru itu begitu ketat sekali, dan yang amat menakutkan kaum kami masa itu ialah tentang Penjara Mandatori (Wajib Penjara) selama 12 tahun, bagi sesiapa yang didapati menulis berita apa saja mengenai Kerajaan , yang diklasifai sebagai ‘rahsia’ dan semua kakitangan awam berkuasa membuat klasifikasi sebagai ‘rahsia’ bagi setiap apa saja bahan berita mengenai Kerajaan.
Takrif baru itu, jika diluluskan, para pemberita tidak boleh melaporkan walaupun harga permaidani di bilik Menteri dan tidak boleh juga melaporkan berapakah jumlah belanja hidangan teh dan kopi kepada tetamu di pejabat Kerajaan dan penjara wajib selama 12 tahun akan dikenakan kepada pemberita yang melaporkannya ,jika dibuat tindakan mendakwanya dibawah undang-undang OSA tersebut.
Kami adakan `Road Show’ keseluruh negara melakukan kempen . Abdullah Tahir Haji Saleh, Norbaya Musa, Aliyah Sijari, Bob Teoh,Tan Ken Siang, Omar Sharif, Sidek Abdullah, dan Majinder Kour, adalah antara tokoh tenaga pimpinan dalam NUJ yang sungguh pro aktif dalam kempen ke seluruh negara menentang cadangan pindaan akta tersebut.
Kami sebarkan risalah, poster dan ceramah kepada orangramai agar mereka memahami duduk perkara sebenarnya. Kami juga mencetak poskad yang tertulis “ Don’t jail journalists” untuk orang ramai hantar kepada PM.
Hasilnya, dalam seminggu, tidak kurang dari 300,000 tandatangan orang ramai kami pungut diseluruh negara (dari orang ditepi jalan, pejabat dan pasar malam) di mana kesemuanya kami hantar terus dan kepada Perdana Menteri. Selaian itu para Menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri seluruhnya bersimpati dengan kami dan menyatakan persetujuan mereka memujuk PM agar ‘Memberi pertimbangan kepada rayuan NUJ’ itu. Hanya dua Menteri Kabinet yang tidak bersimpati dengan rayuan kami itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Rafidah Aziz.
Kami berhubung dengan semua badan wartawan antarabangsa untuk memberikan sokongan moral kepada kami. Mereka mengepung PM yang melawat luar negara dan bertanyakan soalan mengapa tidak pertimbangkan rayuan NUJ Malaysia untuk menggugurkan cadangan pindaan OSA itu. Dipendekkan cerita, cadangan bacaan kali kedua yang sepatutnya pada 22 April itu telah tertangguh ke bulan Disember.Selepas berlaku tolak ansur antara saya dan PM melalui orang tengah kategori rahsia dalam cadangan pindaan itu dikurangkan dari tujuh kepada tiga sahaja dan kami beri jaminan akan menghentikan penentangan. Berikutnya pada 6 Disember cadangan itu diluliskan.
Kami mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tinggi kepada Dr.Mahathir yang sungguh bertimbangrasa dan sedia membuka mindanya bertolakansur dengan kami. Bagaimanapun beliau begitu marah kepada saya, di mana tanpa Anwar, saya telah merengkok di Kemunting (Auzubillahiminzalik).
Kerana penentangan itulah Dr.Mahathir mencadangkan dalam Majlis Tertinggi UMNO untuk menahan saya dibawah ISA, tetapi dibantah oleh Anwar Ibrahim dan disokong oleh Datin Paduka Rahmah Othman, Timbalan Meneteri Penerangan (masa itu) . Anwar berhujah kalau Yazid ditahan, menjadikan ia tak semena-semena jadi popular dan akan membangkitkan kemarahan kaum wartawan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Dr.Mahathir akhirnya menerima cadangan Anwar itu. Terima kasih sekali lagi Brother, dan terima kasih juga kepada Kak Rahmah.
Peristiwa cadangan Dr.Mahathir dalam MT UMNO untuk meletakkan saya dibawah ISA ini diberitahu kepada saya secara lisan oleh Timbalan Perdana Menteri waktu itu , Dato’ Musa Hitam (Tun) dan kalau tak silap ingatan saya, senggang sejam kemudian , Dato’ Shahril Abdul Samad pula menceritakan perkara yang sama kepada saya , juga ditempat yang sama iaitu di Lobi Parlimen iaitu beberapa hari selepas MT UMNO itu bersidang.
Mengenai pinjaman kereta itu , sebenarnya saya merupakan salah seorang tetamu yang dijemput hadiri Makan Malam dirumahnya di Kampung Tunku bagi bekas teman-teman lamanya. Saya masa itu tidak ada kenderaan dan saya terpaksa ambil teksi dan bila balik beliau serahkan kunci kereta peribadinya dengan kata “ pakailah seberapa lama sehingga kereta yang terbakar itu siap ” . Bagaimanapun saya serahkannya kembali keesokannya.
Mengenai tawaran Anwar untuk saya bertanding di Selayang masa itu , bukanlah bererti saya jual mahal, tetapi saya masa itu kebetulannya sedang berhadapan dengan isu yang amat berat iaitu memperjuangkan nasib wartawan berhadapan dengan cadangan pindaan OSA oleh PM serta urusan Perjanjian Bersama antara NUJ dan Utusan. Siapakah yang tak mahu bertanding, sedangkan bila menang saja (memang tentu menang waktu itu), ‘jawatan besar’ menanti dimana ia disahkan sendiri oleh PM kepada Anwar.
Mengenai derma semasa saya dibuang kerja itu memang saya bersyukur. Ramai juga pemimpin berderma kepada “Tabung Yazid Othman” (dilancarkan oleh ahli NUJ) itu yang dikutip oleh ahli kami di setiap kali Parlimen bersidang. Saya terhutang budi kepada semua penderma dan ahli saya yang gigih membantu saya.
Bagaimanapun tak lama kemudian, saya menang kes pembuangan kerja itu, dimana Utusan diarah oleh Mahkamah mengambil semula saya berkerja dan memberikan gantirugi kepada saya, kerana tuduhan terhadap sebab pembuangan saya itu berjaya dinafikan oleh pihak saya di mahkamah dan Tabung Yazid Othman diserahkan semula kepada ahli untuk sebagai tabung kebajikan ahli NUJ Utusan, dimana Tabung Yazid Othman dilancarkan dulu.
Tetapi, apapun yang telah berlaku itu tetap menjadi sejarah dan ia sudahpun berlalu. Lagipun keadaan atau situasi dan kondisi (sikon) Anwar masa itu amat jauh berbeza dengan sikon Anwar sekarang. Ketika itu dia masih lagi menjalani kehidupan seperti dia belum menyertai UMNO. Watak dan peribadinya masa itu sama seperti di dalam ABIM dulu. Malah masa itu beliau masih bercapal P. Ramlee, dan masih mahu mengekalkan identiti dirinya sebagai Anwar Ibrahim ketika dalam ABIM.
Namun watak seperti itu tidak lama. Masa mengubah segalanya. Saya sudah tidak mengenal diri Anwar Ibrahim seperti saya kenali di akhir tahun 1970an sehingga akhir 1980an. Sebagai kawan lama yang pernah mengenali beliau, maka saya ingin menasihatkan beliau untuk menoleh ke belakang. Lihat sejarah dan perjuangan saudara di peringkat awal dahulu. Letakkan kepentingan bangsa kita Melayu dan agama Islam kita sebagai keutamaan. Jangalah terlalu keghairah saudara untuk menjawat kerusi Perdana Menteri bersandarkan kekuatan Kuasa Luar, kerana Kuasa Luar yang besar itu memaksa anda agar bersekongkol dengan musuh Islam dan Bangsa Melayu yang boleh memusnahkan masa depan cucu cicit kita.
Bukan saya tidak mahu Saudara memegang kuasa, tetapi letaklah keutamaan kepada bangsa dan agama kita. Kembalilah Saudaraku ke pangkal jalan, kesihanilah bangsa kita yang semakin berceraluru akibat pelbagai kenyataan dan tuduhan yang saudara buat kebelakangan ini. Janganlah heret bangsa kita dalam isu peribadi saudara. Selesaikan soal peribadi saudara sebaik mungkin dan janganlah membuat sesuatu yang boleh merosakkan nama baik saudara serta kaum keluarga saudara.
Inilah nasihat ikhlas dari sahabat lama Saudara. Saya tidak mempunyai apa-apa agenda peribadi, sekadar satu pandangan dan nasihat dari seorang bekas sahabat lama yang 'low profile' kepada seorang bekas sahabat lama yang berprofile tinggi, yang berpuluh-puluh tahun tidak ketemu.
|