|
| Mohamed Ezam Mohd Noor |
Keputusan bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Ezam Mohd Noor memohon untuk menjadi ahli UMNO merupakan satu tamparan hebat kepada pucuk pimpinan PKR itu sendiri.
Ezam, orang kanan dan orang kepercayaan Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Beliaulah antara tulang belakang kepada Parti Keadilan peringkat awal penubuhannya dan kuat melaungkan ‘reformasi’ ketika Anwar didakwa dan dipenjarakan atas kes penyalahangunaan kuasa . Tentulah hubungan rapat antara Ezam dan Anwar ini tidak sepatutnya terungkai, apa lagi ketika PKR sedang meraih kemenangan dalam banyak kerusi di 5 buah negeri yang dimenangi oleh pembangkang dalam PRU 12 baru-baru ini.
Ezam tentu mempunyai rahsia besar dan mengambil keputusan drastik meninggalkan PKR sehinggakan Wan Azizah terkejut dan tidak percaya yang Ezam masuk UMNO kembali. Orang lain boleh membuat apa sahaja andaian dan spekulasi akan tindakan Ezam bagaikan ‘sirih pulang kegagang’ itu, namun tuan punya diri lebih arif untuk memberi jawapan yang paling tepat.
Apa yang jelas, Ezam sudah tidak percaya dengan prinsip perjuangan PKR lagi. Ezam mengiakan pandangan ramai pemerhati dan penggiat politik bahawa PKR sentiasa berubah wajah mengikut keadaan semasa atau kehendak pasaran yang ditentukan oleh Anwar Ibrahim. PKR (nama baru jelmaan dari Parti Keadilan yang bergabung dengan Parti Rakyat pimpinan Syed Husain Ali yang kini diketepikan oleh Anwar Ibrahim) sebenarnya tidak konsisten dalam perjuangannya. Peringkat awal sudah jelas, perjuangannya adalah untuk membela Anwar Ibrahim. Kemudian melaungkan reformasi dan keadilan dengan mendapat sokongan kuat daripada kakitangan kerajaan dan pertubuhan Melayu seperti ABIM kerana ia parti berbilang kaum yang asasnya Melayu.
Keadaan ini awal-awal lagi disedari oleh Timbalan Presidennya Dr.Chandra Muzaffar. Mengapa tidak, setiap keputusan yang hendak dibuat oleh PKR, Wan Azizah terpaksa bergegas ke Sungai Buluh , memohon perkenan atau persetujuan daripada Anwar Ibrahim. Andaikata Anwar tak berpuashati , perkara itu dibincang semula di kalangan anggota pimpinan parti tersebut. Orang yang berprinsip seperti Chandra tidak boleh terima keadaan ini. Maka itulah kita terdengar kisah pertengkaran antara Azizah dan Chandra hingga berlaku kisah membaling fail oleh Chandra kepada Azizah dalam satu mesyuarat Exco parti tersebut , diikuti oleh perletakan jawatan oleh Chandra Muzaffar.
Anwar yang menentukan segala, haluan dan isu yang hendak diketengahkan oleh parti tersebut sepanjang masa. Di peringkat awal penubuhannya, ia jelas untuk menjadi parti alternatif UMNO iaitu untuk membela orang Melayu, memberi tempat kepada pemimpin Melayu yang tak dapat tempat dalam UMNO, dan sebagainya.
Tetapi apabila Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara, para pemimpin pembangkang memberi rangsangan baru kepada Anwar . Anwar memang tak tahan dengan segala macam rangsangan baru, kerana dia amat berani, dia pun mahu mencuba, terutama yang luar biasa! . Rangsangan terbaru bagi Anwar kali ini ialah tawaran menjadi Perdana Menteri oleh Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Maka, mulai saat itu, perjuangan PKR tidak lagi berteraskan Melayu tetapi menyebut berbilang kaum dan memberi tumpuan kepada masalah ekonomi dan perhatian kepada kaum Cina dan India bagi tujuan menarik kaum itu.
Anwar memeberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada perjuangan membela kaum Hindu atas nama Hindraf bagi menarik sokongan kaum India dan memberi sokongan penuh secara terbuka kepada Parti DAP bagi menarik sokongan kaum Cina.
Anwar Ibrahim adalah manusia berjiwa seni dan ia memang mempunyai bakat seni lakon yang amat besar , setanding dengan bakat Seniman Agung P.Ramlee. Semasa generasi muda mula minat kepada kebangkitan Islam pada tahun 70an, Anwar menyiapkan diri dengan pelbagai skrip tentang perjuangan Islam, lalu dia dipilih menjadi Presiden ABIM, dan bila generasi muda mula tertarik dengan UMNO pada awal 80an, hasil dari kewibawaan Dr.Mahathir Muhammad, Anwar segera menyediakan pelbagai skrip kepimpinan UMNO dan dia dipilih menjadi pemimpin UMNO hingga ke jawatan TPM.
Hal ini disedari sepenuhnya oleh Ezam , dan saya memang menjangkakan Ezam akan sertai UMNO, apabila Ezam mula mengkritik Anwar dan Azizah serta Azmin Ali samada secara sulit atau terbuka mulai awal tahun lepas, khususnya di saat-saat pemilihan pucuk pimpinan parti tersebut tahun lalu. ‘We can read between the line ‘ demikian kata ungkapan Mat Saleh , terhadap pernyataan dan kenyataan Ezam kepada pihak media dengan cara yang halus, tentang rasa serbasalahnya berada dalam PKR kerana sifat mendewa-dewakan Anwar Ibrahim secara amat taksub itu, dan Anwar yang menentukan siapa yang layak memegang jawatan dalam parti dari atas sampai ke bawah, tanpa memberi kebebasan kepada ahli parti untuk memilih mana-mana pemimpin mengikut kaedah demokrasi
Ezam adalah orang yang paling layak untuk membongkar pembohongan PKR kepada rakyat kerana dia antara perancang utama kepada parti ini di peringkat awal lagi. Anak muda ini patut diberi tempat oleh UMNO untuk berarak ke seluruh negara bagi menelanjangi Anwar, PKR dan Pakatan Pembangkang di mata rakyat. Ezam mempunyai kemampuan itu kerana beliau pernah berkelana ke seluruh negara semasa beliau mabuk melaungkan reformasi bersama Anwar dahulu.
Inilah masanya Ezam untuk menebus kembali kesilapan yang dilukakannya dahulu bersama Anwar dan Wan Azizah sehingga memecah-belahkan orang Melayu kerana memenuhi cita-cita Anwar Ibrahim.
Ayuh Ezam! Tunjukkan bahawa anda mempunyai tugas besar menunggu di depan. Rapatkan kembali barisan pemuda Melayu, lakukanlah sebarang usaha bagi memelihara kepentingan Melayu dan berusahalah mengatasi ancaman akan ketuanan Melayu. Berjuanglah secara jujur sepertimana anda berjuang untuk mendedahkan penyelewengan dalam kerajaan melalui Gerak. 10 tahun di luar UMNO dan anda kembali ke UMNO, itu tanda anda sudah melihat kebaikan yang ada dalam parti UMNO berjuang untuk kepentingan Melayu berbanding dengan perjuangan PKR sentiasa berubah warna bak ‘Ketam Batu’ itu.
Kita mengharapkan kemasukan Ezam tidak menimbulkan kecurigaan kepada pemimpin UMNO terutama di peringkat Pemuda. Jangan dipedulikan apa yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri, mantan Presiden UMNO dan kini bukan ahli UMNO lagi, Tun Dr. Mahathir bahawa Ezam mempunyai agenda untuk masuk semula ke UMNO. Pintu UMNO mesti dibuka seluas-luasnya untuk orang Melayu dengan prangsangka baik. Kita dapat rasakan kengerian Mahathir terhadap Ezam itu tidak lain dari takut anaknya Mukhriz tidak dapat tempat dalam kepimpinan pemuda UMNO dengan kedatangan Ezam ini.
Kini PAS menjilat jari bila Ezam memilih UMNO kerana awal-awal lagi Dato’ Hussam Musa telah mempelawa Ezam untuk masuk PAS kalau UMNO menolak. Sikap UMNO yang terbuka dan berprasangka baik akan membawa masuk lebih ramai lagi orang-orang seperti Ezam yang ingin berjuang secara ikhlas tanpa mempunyai niat untuk menjawat apa-apa jawatan dalam parti mahu pun kerajaan.
Dr.Rais Yatim tidak perlu persoalkan keikhlasan Ezam, sekurang-kurangnya kita patut bersyukur Ezam memilih untuk kembali ke pangkuan UMNO. Sedangkan Rais yang telah membakar jambatannya semasa meninggalkan UMNO dulu boleh kembali ke pangkuan UMNO dengan berenang, inikan pula Ezam yang tak pernah bakar jambatan yang dilalui itu !!!
|