 |
Shabery Cheek
|
Semasa Menteri Penerangan yang lama Dato’ Sri Zainudin Maidin (ZAM) digugurkan dari senarai Menteri Kabinet, kerana kekalahannya dalam pilihanraya umum ke 12 bagi kawasan Parlimen Sungai Petani, rakyat Malaysia tertanya-tanya siapakah bakal Menteri Penerangan yang baru . Kerana menteri yang baru ini diharap boleh memenuhi citarasa rakyat Malaysia khasnya, dan yang boleh melaksanakan tugas dan fungsi sebagai ‘Menteri Penerangan’ yang sewajarnya, dan bukan hanya sebagai Menteri RTM semata-mata.
“ Rakyat begitu muak dan bosan dengan telatah bekas Menteri Penerangan itu yang menyerang dan memusuhi Bloggers dan media di luar arus perdana, tambah memualkan ialah pelbagai pelancaran program baru RTM itu sepanjang masa kerana di RTM itu
 |
| Zainudin Maidin |
sendiri mempunyai puluhan saluran fm, stereo dan radio serta saluran-saluran tv, bayangkanlah diubahkan semuanya dan dilancarkan semula, seolah-olah apa yang dibuat oleh menteri sebelumnya tak elok dan tak berfaedah ! .
“ Pelancaran yang dibuat itu banyak juga yang dibuat secara langsung melalui saluran-saluran TV1 dan TV2 yang memakan kos yang bukan sedikit. Ertinya perbelanjaan begitu banyak habis kerana pelbagai pelancaran itu, semata - mata dibuat, tidak ada lain tujuannya yang kita nampak, selain dari untuk mempopularkan dirinya sendiri sahaja. Kerana yang melancarkan itu bukanlah Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, bahkan beliau sendiri , itulah orang kata dia buat untuk syok sendiri, dan memang dia tidak buat kerja lain dah , selain dari menjaga RTM itu sahaja..” kata seorang bekas personaliti terkenal di Angkasapuri.
“ Barangkali nak buktikan kepada Paklah yang dia begitu gigih buat kerja. Tapi kerja gigihnya itu hanya di sini saja, bukan buat kerja sebagai Menteri Penerangan seperti yang sewajarnya , yang meliputi seluruh Dasar Penerangan Negara, menerangkan kepada rakyat jelata apa yang sedang dibuat oleh kerajaan dan apakah tumpuan yang dibuat oleh kementerian itu dalam pelbagai isu yang timbul ditengah-tengah masyarakat, yang perlu diberikan penjelasan..” sambungnya lagi.
“ Itu tak termasuk isu tempatan di negeri-negeri yang memerlukan peranan secara langsung RTM untuk menerangkan kepada rakyat dengan sejelas-jelasnya bahawa memang Kerajaan Persekutuan mempunyai cara penyelesaian yang boleh menyenangkan hati rakyat..hal ini telah tidak diindahkan langsung!.. inilah yang menyumbang kepada kekalahan BN di banyak kawasan pada pilihanraya lalu ” tambah beliau lagi.
Seorang penulis buku-buku politik di ibu negara, semasa menghadiri satu majlis perkahwinan anak seorang VIP di Kuala Lumpur, bulan lepas, menyatakan kepada saya dan rakan semeja di majlis itu seperti berikut;
“ Kali pertama kita merasa amat malu bila seorang menteri Malaysia bercakap dalam siaran tv media asing seperti Al Jazirah baru-baru ini menggunakan bahasa Inggeris yang lintang pukang dari segi penggunaan perkataan, istilah dan nahunya. Yang amat memalukan itu kerana dia adalah Menteri Penerangan yang seharusnya bercakap dengan lancar, tidak gugup dan tergagap...mengapakah beliau tidak bercakap dalam Bahasa Malaysia yang boleh menggambarkan menteri kita bersemangat patriotik sepertimana yang sering dibuat oleh Presiden Iran, Russia, China , Pemimpin-pemimpin Arab, Cuba, Maxico , Colombia, Indonesia, pemimpin-pemimpin Amerika Latin dan lain-lain , kerana semua stesyen tv asing berkeupayaan mencari penterjemahnya. ! ”
Sampai di sini, seorang bekas pegawai tinggi di Jabatan Sumber manusia kumpulan akhbar berbahasa Malaysia menyampuk : “ Kita tahu dia tak ada apa-apa kelulusan akademik, cuma hanya beberapa lawatan sambil belajar ke organisasi media di luar negara, tetapi bila balik dari lawatan itu beliau seolah-olah mempunyai ‘diploma’ dari negara yang dilawatinya seperti Jerman misalnya, dimana beliau dapat membuat olahan yang menarik kepada kawan-kawannya mengenai ilmu yang diperolehi dari tempat-tempat yang dilawati itu..” ulasnya.
Nah…sekarang kita mempunyai Menteri Penerangan baru Dato’ Ahmad Shabery Cheek yang pada awal-awal lagi berjaya menarik minat semua pihak kepada halatuju kementeriannya yang mempunyai sikap terbuka dalam penyebaran maklumat, tanpa membuat kongkongan dan memberi isyarat yang amat positif serta menghargai peranan Bloggers d inegara ini, yang mempunyai hikmah disebaliknya.
Saya sempat meninjau pendapat berliau semasa membuat kunjung hormat bersama-sama beberapa orang ahli Exco PWM di pejabat beliau di Angkasapuri baru-baru ini. Bila saya ajukan mengenai revolusi bloggers yang melanda hebat negara ini terutama semasa menjelang pilihanraya ke 12 lalu beliau berkata:
“ Saya berpendapat para bloggers d inegara ini mempunyai peranan mereka yang tersendiri, menyebar maklumat untuk meluaskan fikiran para pembaca mereka. Soal terdapat segala unsur fitnah , hasutan, salah fakta dan sebagainya itu tidak apa-apa, sebab para pembaca boleh berfikir sendiri dan boleh menilai sesuatu yang disebut itu, samada benar atau sebaliknya.
“ Yang benar tetap benar dan yang palsu tetap akan zahir palsu akhirnya. Apa yang diperlukan ialah orang yang mempunyai ilmu kewartawanan harus tampil kehadapan memberikan pandangan yang positif kepada semua pihak demi pembangunan dan kemajuan agama ,,bangsa dan negara ini .Saya yakin dengan dengan kebebasan bersuara dan kebebasan berakhbar “ tegasnya lagi.
Pernyataan Menteri Penerangan yang baru ini di parlimen mengenai sikap buruk ahli-ahli parlimen yang memalukan rumah yang mulia itu, jelas sekali beliau bersikap terbuka kepada semua ahli parlimen pembangkang dan tidak ada halangan menyiarkan pendapat mereka melalui saluran media kerajaan , asalkan mengikut tatasusila yang sewajarnya.
Malah, amaran yang diberikan oleh Shabery Cheek kepada ahli-ah;li parlimen supaya jaga kemuliaan parlimen disambut positif oleh semua pihak dan beliau ternyata disenangi oleh semua pihak. Selamat bertugas Tok’.
|