 |
Tun Dr. Mahathir
|
Tindakan keluar parti UMNO yang berjuang untuk kepentingan Melayu bukan jalan terbaik sepatutnya dipilih oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir. Tindakan tanpa berfikir sedalam-dalam itu ibarat ‘ marahkan nyamuk maka bakar kelambu’ . Beliau yang telah menjadi Presiden UMNO 22 tahun tidak patut mengambil tindakan ‘membabi buta’ terhadap parti UMNO yang menjulang namanya di persada politik dalam dan luar negara.. Jangan disebabkan dicabar, Tun lantas menjadi orang muda dan berdarah muda. Tun lantas menyahut cabaran itu tanpa memikirkan sedalam-dalamnya natijah daripada tindakan Tun itu.
Tun Mahathir patut belajar daripada kesilapan yang dibuatnya ketika mengharamkan UMNO lalu. Akibat tindakan mahkamah di mana sepatutnya Tun Mahathir boleh mengelakkan perkara itu daripada berlaku, maka UMNO diharamkan dan serentak dengan itu orang Melayu kehilangan parti. Akibat daripada itu juga, berlaku perpecahan dalam masyarakat Melayu, ahli parti UMNO berpecah dua. Serpihan daripada pecahan itu wujud parti Semangat 46.
Kini peristiwa sama dilihat akan berulang kembali. Tun Mahathir tidak sewajarnya bertindak memecah belahkan orang Melayu. Beliau sepatutnya menjadi Bapa di kalangan orang UMNO khasnya dan orang Melayu amnya. Orang yang sebijak Tun Mahathir tidak dijangka sama sekali boleh bertindak keluar parti UMNO kerana tidak bersetuju dengan pengganti yang dinamakan sendiri olehnya sebagai Perdana Menteri – Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.
Perdana Menteri dan Presiden UMNO Pak Lah tidak pernah melobi untuk diangkat menggantikan tempat Tun Mahathir. Dia dipilih kerana dia adalah yang terbaik di kalangan pemimpin yang ada. Patut Tun Mahathir kekal beranggapan begitu dan terus menyokong dan membantu Pak Lah dalam mentadbir negara ini. Mengapa Tun Mahathir menjadikan Pak Lah musuh ketat beliau sehingga sanggup memberi amaran untuk kekal berada di luar UMNO sehingga Pak Lah meletakkan jawatan baru dia ingin kembali ke UMNO. Mengapa harus jadi begini.
Zaman Tun Mahathir memerintah Malaysia sudah berlalu. 22 tahun berada di kemuncak dan mencipta nama sebagai Perdana Menteri Malaysia yang berjaya membawa negara ini ke mercu kegemilangan di mata dunia. Sepatutnya rekod gemilang itu disimpan baik-baik dan tetap kekal sebagai orang yang berjasa kepada negara untuk dijadikan rujukan oleh generasi akan datang.
Tun Mahathir gagal mengawal emosi sehingga menjejaskan kreadibiliti dan imej dirinya sendiri. Tun sepatut menjadi ‘orang tua’ yang boleh dijadikan rujukan, tempat orang mengadu hal dan meleraikan kekusutan. Tun tidak sepatutnya menjadi penyebab kepada permasalahan dan perpecahan. Tun sepatutnya mengelakkan menjadi `batu api’ dengan menghangatkan lagi keadaan yang ada sekarang. Tun sepatutnya menjadi lilin, membakar diri untuk menerangi orang lain. Biarkan diri Tun rasa sedikit sakit, tetapi Tun patut rasa bahagia apabila sedikit kesakitan Tun itu memberi berjuta nikmat kepada orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Saya cuma orang biasa dan amat mencintai bangsa dan agama saya. Saya menegur tindakan Tun kerana sayangkan Tun yang begitu banyak jasa kepada rakyat dan negara Malaysia. Saya tidak mahu tindakan Tun ini akan menghancurkan terus jasa yang bergunung itu akibat kemarahan orang UMNO khasnya dan orang Melayu umumnya.
Orang UMNO marah sebab tindakan Tun itu memecahbelahkan lagi orang-orang UMNO yang kini berdepan dengan kemelut kepercayaan di kalangan rakyat akibat keputusan PRU 12 lalu. Tindakan Tun itu juga dikhuatiri berlaku sepertimana tahun 1987 lalu di mana wujudnya parti Semangat 46. Kuasa orang Melayu akan menjadi semakin lemah dan perjuangan ketuanan Melayu semakin getir di masa hadapan.
Bagi orang Melayu lain ( bukan orang Melayu dari pembangkang) tindakan Tun itu akan menyebabkan pandangan dunia terhadap kepimpinan negara terjejas. Parti UMNO sebagai tunggak kepada Barisan Nasional, adalah peneraju kuasa Melayu di negara ini. Walaupun parti PAS dan PKR juga ada Melayunya, tetapi mereka tidak menguasai Persekutuan. Hakikat ini mesti diterima oleh PAS dan PKR yang ada orang Melayu itu. Jadi tindakan Tun mempertikaikan kreadibiliti Perdana Menteri seolah-olah memperlecehkan keupayaan orang Melayu sendiri. Berilah kepercayaan kepada Pak Lah untuk memerintah, bantulah dia sekiranya dia menyimpang dan tegurlah seperti seorang ayah kepada anak. Saya tidak percaya kalau Pak Lah marah kalau Tun menasihatkannya tentang sesuatu hal. Baik Pak Lah mahu pun Tun sendiri, lihat-lihatlah orang keliling yang menjadi ‘batu api’ kepada hubungan mereka itu . Ketepikan apa juga perbezaan yang wujud antara anda berdua, carilah persamaan demi bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini.
Itu sepatutnya peranan Tun Mahathir patut lakukan dan bukan keluar dari UMNO.
|