 |
Gambar Hiasan
|
Sudah sekian lama isu Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang pernah diperjuangkan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) sekitar tahun 1986 sunyi dari persada dunia kewartawanan yang kini banyak berubah wajah. Warawan tidak lagi dilihat bekerja di media cetak dan elektronik, tetapi kini sudah ada pemberita ‘on line’ sama ada melalui portal atau blog.
Bila isu OSA dibangkitkan akibat kebocoran maklumat lebih awal daripada kenyataan rasmi oleh kerajaan mengenai Suruhanjaya Siastan Diraja berhubung klip video V.K Lingam sama ada mahu mendedahkannya kepada umum atau tidak, maka saya melihat perjuangan hampir 22 tahun lalu masih relevan diteruskan oleh para pengamal media masa kini.
Dulu NUJ berjaya mengurangkan tujuh kategori `rahsia’ dalam OSA di mana tinggal kini 3 sahaja, tetapi Akta itu tidak pernah digunakan oleh kerajaan untuk menghalang kebebasan media di negara ini. Ini menunjukkan Malaysia adalah kerajaan yang baik dan perihatin dengan kebebasan maklumat dan penyaluran maklumat untuk rakyat. Akta yang ada sekadar satu peringatan dan peraturan yang mesti diwujudkan agar kita bertanggungjawab terhadap profesion dan maklumat yang hendak disalurkan.
NUJ ketika itu akur dengan permintaan kerajaan di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir agar mesti ada kategori `rahsia’ dikekal rahsia dalam kerajaan demi keselamatan negara. Hal-hal yang berkaitan dengan ketenteraan, sudah tentu menjadi tanggungjawab bukan sahaja kerajaan malah media sendiri untuk merahsiakan dan tidak didedahkan kepada khalayak pembaca.
Cuma kini OSA tidak patut dan tidak adil sama sekali diperketatkan kepada media cetak dan elektronik sahaja. Kerajaan mesti tidak berlaku pilih kasih (double standard) terhadap maklumat `rahsia’ yang difikirkan boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan negara yang sebebas-bebasnya disiarkan melalui portal dan blog di negara ini. Siapa pun juga mereka yang menjadikan portal dan blog sebagai wahana untuk menulis sebagai pandangan dan fikirannya, adalah kerja-kerja kewartawanan. Tujuannya mereka tidak lain ingin berkongsi bersama pembaca apa yang hendak mereka disampaikan mengenai perkembangan dalam negara.
Banyak sekali dokumen-dokumen kerajaan yang dikategorikan masih rahsia boleh dipaparkan di portal dan blog. Tujuannya untuk menghakiskan keyakinan rakyat terhadap ketelusan kerajaan dalam menangani sesuatu hal. Kalau sudah 500,000 blog yang ada di negara ini boleh melakukan hal yang sama, bagaimana untuk kerajaan untuk menepis segala tudahan itu?
Oleh itu, disarankan agar OSA turut digunapakai kepada semua sama ada di media cetak, elektronik mahu pun di siber. Bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan akhbar kerana itu bukan niat dan tujuan saya yang pernah menjadi Presiden NUJ dan memperjuangkan OSA di tahun 1986, tetapi demi mewujudkan persekitaran dunia kewartawanan yang lebih bertanggungjawab dan patriotik terhadap negara. Dalam dunia ini, tidak ada kebebasan yang tanpa had. Kalau kita menjadikan Barat itu sebagai contoh tetbaik terhadap kebebasan media, itu adalah anggapan salah sama sekali.
Media Barat tidak pernah mendedahkan kelemahan mereka di mata dunia. Lihat sahaja laporan yang dibuat oleh wartawan dan media CNN mengenai Perang Iraq. Apa peranaan mereka untuk menwujudkan keamanan dunia, selain daripada memperlihatkan kewajaranya Amerika dan sekutu-sekutunya menakluk Iraq demi untuk menamatkan kekejaman Saddam Hussein. Segala kejahatan dan kekejaman Saddam direka dan dipotretkan di media mereka agar dunia merestui penaklukan Amerika itu. Mereka bebas sekali untuk mempotret kerajaan Bush sebagai penyelamat dunia.
Tetapi adalah media Barat bebas untuk menonjolkan kelemahan Amerika menstabilkan Iraq? Bebaskan mereka memaparkan kezaliman dan kesangsaraan rakyat Iraq hasil daripada penaklukan itu? Bebaskan media Barat menunjukkan perangkaan tepat dan sahih mengenai jumlah anak-anak dan wanita yang mati setiap hari akibat kekurangan makan dan ubat di bumi Iraq itu?
Itu belum lagi kita melihat kebebasan media Barat untuk mendedahkan kewajaran srael untuk memerangi rakyat Palestine. Di manakah kebebasan media Barat untuk mempersoalkan kenapa Israel yang tidak pernah ada negara sendiri kini sudah mempunyai negaran Israel? Di manakah keadilan yang patut diperkatakan oleh media Barat terhadap rakyat Palestine yang dirampas negara dan tanhairnya oleh Israel?
Kesimpulannya, media Barat tidak akan mendedahkan maklumat yang boleh menghancurkan imej Amerika di mata dunia dan menjejaskan kepentingan ekonomi Amerika di seluruh dunia. Kalau dilihat dari segi patriotik, dilihat media Barat lebih patriotik berbanding setengah-setengah media kita di negara ini. Oleh itu, di mana juga baik di bumi yang kononnya mempunyai media bebas seperti di Barat itu , tidak wujud kebebasan yang mutlak. Maka media Barat tidak boleh sama sekali dijadikan model terbaik kepada pendokong idealisme kebebasan media di negara ini.
Jadi siapa dia wartawan dan media Malaysia yang kini melabelkan diri mereka memperjuangkan kebebasan media seperti di Barat? Cuma sebagai media dan pengamal media maka kepincangan jentera kerajaan akibat kecuaian dan sikap tidak peduli para pegawai, waimah menterinya yang menjejaskan kepentingan rakyat memang patut didedahkan. Tetapi pendedahkan itu mestilah diiringi dengan niat untuk memperbetulkan yang tidak baik demi kepentingan rakyat dan bukan sama sekali mempunyai niat untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.
Baik media cetak, media elektronik mahu pun media siber, jadilah media dan wartawanan yang bertanggungjawab. Bagi yang beragama Islam, kita akan ditanya di akhirat nanti tentang apa yang kita tulis dan kesannya kepada pembaca. Maka jadikanlah mata pena dan keyboard itu sesuatu yang membuahkan kebaikan untuk umat manusia di dunia ini.
|