Berikut ini disiarkan semula pandangan Awang Selamat dari
Utusan Malaysia atas permintaan pelawat laman ini kerana ia mempunyaiulasan yang menarik mereka membacanya dalam menilai calon-calon yang bertanding di Hulu Selangor-Pengarang.
ZAID IBRAHIM
Anwar Ibrahim mendakwa BN khususnya
UMNO gelabah sebaik sahaja beliau mengumumkan Zaid Ibrahim sebagai calon PKR
bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor. Menurut beliau, Zaid adalah nama besar,
popular dan sudah teruji dalam politik.
Awang hanya senyum. Reaksi di
peringkat akar umbi terutama penduduk Hulu Selangor cukup berlainan. Malah yang
gelabah ialah ahli-ahli PKR dan Pas. Mereka terkejut kerana Zaid dijadikan
sandaran pada ketika beliau diwarnai kontroversi. Mencalonkan mantan menteri
dan bekas pemimpin UMNO itu seperti sengaja menempah kekalahan.
Zaid sendiri adalah liabiliti
politik jika dinilai daripada kehidupan sisinya. Maka terpacullah reaksi
spontan yang melabelkan beliau sebagai kaki itu dan kaki ini. Sehinggakan Naib
Presiden PKR, Azmin Ali terpaksa tampil meminta sesiapa sahaja yang mendakwa
Zaid kaki botol, agar membuktikannya.
Walaupun PKR meletakkan calon Melayu
di kawasan majoriti Melayu itu tetapi pemilihan Zaid, dipersoalkan. Beliau
dilihat sebagai Melayu liberal dan lebih Barat dari Barat.
Lebih buruk daripada itu, beliau
bersama-sama Anwar telah melakukan banyak tindakan yang menggugat kepentingan
Melayu dan mempertaruhkan agama demi kuasa politik. Dosa beliau terhadap orang
Melayu cukup besar. Imej elit dan kekayaannya menjadikan beliau tidak sedar
diri terhadap tuntutan mempertahankan kepentingan bangsa. Dalam ruangan ini dua
minggu lalu, Awang mencabar Zaid agar berikrar untuk menjunjung dan
mempertahankan sepenuhnya Perlembagaan negara tetapi sampai sekarang, beliau
tidak menyahut cabaran itu.
Lalu Awang boleh faham mengapa
beliau sukar mendapat sokongan akar umbi ketika berada dalam UMNO. Beliau
pernah ditolak bertanding kerana tidak cukup pencalonan. Ramai masih ingat isu
rasuah politik yang menyebabkan beliau digantung keahlian dan kontroversi lain.
Kini dalam tempoh berkempen, Zaid
dahagakan sokongan Melayu termasuk penyokong Pas. Tetapi tidak lama dulu
beliaulah orang paling kuat menentang pelaksanaan Hudud dan Qisas di Terengganu
ketika di bawah pemerintahan Pas. Beliau juga kerap menghentam parti itu.
Awang percaya para penyokong Pas
tidak mudah menerima Zaid. Walaupun ada pemimpin Pas memaafkan beliau untuk
tujuan politik, itu tidak mencerminkan sentimen keseluruhan. Di hati kecil
majoriti penyokong Pas, Zaid tidak boleh dipercayai. Sebenarnya hanya DAP yang
gembira dengan pemilihan beliau. Ini kerana Zaid dilihat sentiasa membawa
aspirasi parti rasis itu. Bagi Anwar, semua itu tidak penting, yang lebih
penting Zaid mampu meraih sokongan pengundi Cina.
Pada firasat Awang, ada sebab
tersembunyi mengapa Zaid dicalonkan. Beliau adalah calon yang mempunyai masalah
moral. Anwar sememangnya memerlukan calon seperti itu yang dapat mengurangkan
tumpuan terhadap isu-isu yang beliau hadapi sekarang.
Anwar melangkah ke pentas pilihan
raya kecil kali ini dengan semakin banyak isu yang tidak memihak kepada beliau.
Lebih-lebih lagi dengan tindakan keluar parti ramai pemimpin PKR. Pendedahan
demi pendedahan ramai sahabatnya terhadap pembohongan Anwar, telah menyebabkan
ketua pembangkang itu makin tertekan.
(Hasil lawatan Perdana Menteri,
Mohd. Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat memberikan tamparan hebat kepada
Anwar. Presiden Barrack Obama dan pemimpin lain tidak membangkitkan langsung
soal Anwar sebaliknya mengiktiraf peranan Malaysia kepada dunia di bawah
kepimpinan Najib. Dakwaan Anwar bahawa banyak negara terutama AS menyokong kuat
beliau dalam kes liwat ternyata meleset.)
Sebab itu, Awang tidak terkejut
mengapa calon berwibawa dan bersih seperti Dr. Halili Rahmat tidak dipilih.
Seandainya beliau dipilih, beban dan sasaran kempen adalah kepada isu moral
Anwar semata-mata. Secara tidak langsung, Zaid diperlukan untuk mengalihkan
perhatian daripada isu Anwar.
Timbul pula persoalan apakah
pemilihan Zaid menyebabkan Anwar sudah kurang memberikan perhatian kepada Naib
Presiden, Azmin Ali?
Walaupun Zaid makin menonjol, itu
tidak bermakna Azmin mula terpinggir. Awang dapat tahu, Azmin tetap istimewa
dan tiada mana-mana pemimpin dapat mengatasinya. Bukan sahaja kerana dia sudah
lama membantu Anwar malah banyak menyimpan rahsia. Azmin juga tidak mungkin
meninggalkan PKR kerana terlalu terhutang budi kepada Anwar. Dengan kata lain,
tidak mengapa jika Zaid terkorban tetapi bukan Azmin. Ia bagaikan ada misteri.
SUKARNYA PERTAHANKAN ZAID DALAM BN DULU
Saya tidak kenal rapat dengan Dato' Zaid Ibrahim, sebelum dia dipilih bertanding di Parlimen Kota Bharu. Sekali sekala ketika saya kerumah sanak saudara di Kota Bharu, saya tak bertemu dengannya. Ini ialah kerana rumahnya Pasir Hor itu agak jauh dari pusat bandar , kira-kira 5 atau enam km .
Setelah Zaid di ishtiharkan menjadi calon BN bagi parlimen Kota Bharu, PAS yang sepatutnya meletakkan calonnya, telah memberi laluan kepada PKR meletakkan calonnya menentang calon BN.
Dan atas
permintaan anggota keluarga saya di Jalan Bayam Kota Bharu, (kerana isteri Dato’
Zaid Ibrahim ada kena mengena dengan salah seorang anggota keluarga rapat saya
di sana) saya menerima perlantikan sebagai ‘Pengarah Perang Saraf Barisan
Nasional Kawasan Parlimen Kota Bharu Bagi Pilihanraya Umum 2003’.
Sebaik saja menerima tugas itu, saya melihat jentera kempen pilihanraya PKR dan PAS menampal poster macam-macam termasuk karikatur dan kartun, mengenai perkara yang negatif terhadap Zaid ..yang mengejutkan saya ialah gambar Zaid sedang 'minum' ...tetapi saya yakin dan percaya itu adalah fitnah semata-mata.
Tugas saya
yang amat berat ialah menangkis dan membasuh serangan dari pihak PKR dan PAS
yang telah menyebarkan gambar-gambar Zaid yang sedang ‘minum’ dan fakta-fakta
bertulis yang keji tentang peribadi Zaid, di ketiga-tiga kawasan DUN di bawah
Parlimen Kota Bharu, iaitu DUN Bunut Payung, DUN Kota Lama dan DUN Tanjung Mas .
Saya
terpaksa mengambil cuti dari Kumpulan Akhbar
Utusan Melayu (masa itu saya masih belum meletak jawatan dari kumpulan itu)
selama dua minggu untuk melaksanakan tugas yang amat berat ini.
Di sebuah
bilik yang agak selesa, lengkap dengan peralatan komunikasi, di Ibu Pejabat
UMNO Kota Bharu di Jalan Sultanah Zainab, saya bersama isteri dan adik ipar
saya yang terkenal dengan gelaran ‘Mat Dobi’ berkampung di pejabat tersebut 15
jam sehari. Kalau keluar pun hanyalah untuk berceramah pada waktu malam di tempat-tempat
yang diatur di ketiga-tiga dun tersebut.
Kami dibantu
oleh beberapa petugas Ibu Pejabat Umno Kota Bharu itu, khususnya bahagian
penerangan untuk mencetak dan mengedarkan setiap buletin berita, risalah , yang bertumpu sebahagian besarnya untuk
memulihkan imej Zai yang digambarkan oleh pihak PKR sebagai ‘kaki botol’ , ‘pemabuk’
, ‘alcoholic’ atau peminum tegar, dan macam-macam lagi perkara yang
bertentangan dengan Islam.
Bahagian
perang saraf yang saya ketuai ini telah melatih khusus kira-kira 500 pemuda dan puteri
dalam Parlimen Kota Bharu, sebagai bala tentera propaganda Umno , dengan diberi
penerangan secara intensif mempertahankan calon BN dan masa yang sama mendedahkan
fakta-fakta negatif calon pembangkang serta isu yang dihadapi oleh para
pengundi di kawasan Kota Bharu. Mereka dihantar untuk menemui pengundi dari
rumah ke rumah untuk melaksanakan tugas itu.
Alhamdulillah..berkata
kerja keras semua pihak serta bantuan dari seluruh tenaga UMNO dan BN, calon BN
itu menang dengan majoroti lebih dari 5000 undi.Zaid sendiri yang menghadapi
serangan yang hebat dari PKR itu memeluk dan mengucapkan terima kasih dan
mengakui jangkaan saya sebelum itu bahawa dia akan menang dengan majoriti 5000
ternyata betul.
Kesimpulannya,
agen-agen PKR termasuk Azmin Ali inilah yang membebankan kami dalam
mempertahankan Zaid sebagai calon BN waktu itu. Fitnah yang mereka sebarkan mengenai Zaid itu seperti mereka mempunyai bukti yang sah dan betul.
Saya hairan
bin ajaib mengapa semalam Naib Presiden PKR Azmin Ali mencabar pihak BN agar membuktikan
bahawa Zaid sebagai ‘kaki botol’…..? tidakkah kamu yang beria-ia benar
menggelarkan Zaid begitu semasa Zaid bertanding sebagai calon BN dulu…?
Kamulah Azmin…yang
memberikan masaalah besar kepada kami pada 2003 dulu untuk mengoyak
poster-poster berwarna-warni yang
menggambarkan Zaid sedang ‘minum’dan macam-macam lagi…alih-alih sekarang kamu
mencabar pihak BN pula membuktikan perkara yang kamu sendiri buat dulu..tidakkah kami yang mencabar kamu mengemukakan buktinya
dulu…!!!