A free template from Joomlashack

A free template from Joomlashack


Langgan Info

Masukkan e-mail anda :

edisi baru !
Delivered by FeedBurner

Pengguna Online

Kami ada 16 tetamu online

Perkataan Rawak

Info Tamu

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini58
mod_vvisit_counterBulan Ini2976
mod_vvisit_counterJumlah495434
Jumlah helaian laman dilihat :free web stats
Laman Utama
ROSLI LETAK JAWATAN: TEMPELAK BUAT NIK AZIZ PDF Cetak Emel

images_copy_copy_copy.jpg

BERITA DAN ULASAN

KOTA BHARU 23 Dis. - Pergerakan Pemuda UMNO negeri menyifatkan langkah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Dr. Rosli Allani Abd. Kadir meletakkan jawatan sebagai suatu tempelak kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ketuanya, Anuar Sapian berkata, beliau percaya Rosli bertindak demikian kerana masalah peribadi yang tercetus ekoran kes poligami beliau dan mungkin ia tidak memberi banyak kesan kepada parti itu.
Namun, katanya, tindakan Rosli itu telah memperlihatkan bahawa beliau mempunyai prinsip dan tanggungjawab untuk menjaga integriti parti.

"Secara tidak langsung ia menempelak Nik Abdul Aziz yang masih mempertahankan menantunya, Ir. Abdul Ariffahmi Abd. Rahman walaupun banyak pihak dalam Pas sendiri mahu beliau segera berundur," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu sepatutnya meletakkan kepentingan kerajaan dan imej bapa mertuanya lebih tinggi dalam pelan peletakan jawatan yang hanya ditetapkannya pada Mac depan.
Bagaimanapun beliau yakin Abdul Ariffahmi yang juga anggota dewan Pemuda Pas tidak akan berganjak.
"Peletakan jawatan Rosli mungkin dianggap 'balasan' pendedahan dalam media Ahad lalu mengenai cadangan gesaan Dewan Pemuda Pas negeri agar Abdul Ariffahmi segera berundur," katanya.
Abdul Ariffahmi terseret dalam kemelut politik negeri ekoran isu menunaikan haji bersama Nik Abdul Aziz melalui tajaan, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di PMBK dan masalah dalaman pentadbiran syarikat milik kerajaan negeri itu.
Rosli mengumumkan peletakan jawatannya semalam ekoran Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu kelmarin mengarahkan beliau tinggal berasingan dengan isteri keduanya, Ilyani Mohd. Noor, 30, kerana status perkahwinan mereka pada Disember tahun lalu diragui.
Bekas Pegawai Khas kepada seorang Exco kerajaan negeri tersebut mengakui menjadi mangsa sindiket perkahwinan dan menegaskan, dalam kes yang dibawa ke mahkamah oleh mertuanya itu, beliau berada di pihak yang benar.
Menurut Anuar, Pemuda UMNO membuat gesaan lebih awal agar Abdul Ariffahmi segera melepaskan jawatan dengan harapan tidak menjejaskan tumpuan sebenar kerajaan negeri.
"Kita tidak mencari kesempatan politik dalam soal itu tetapi bagi memastikan tumpuan terhadap kepentingan rakyat tidak terjejas dengan kemelut berlarutan," ujarnya- Ehsan dari Utusan Malaysia

ULASAN :

KETUA  PENERANGAN PEMUDA PAS  LEBIH  BERWIBAWA
Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan Dr.Rosli Allani Abd. Kadir sebenarnya lebih berwibawa dan lebih bermaruah, kerana walaupun beliau dilihat telah berkahwin tidak mengikut peraturan biasa , namun peraturan asas pernikahan itu telah berlaku dan menjadikannya suami isteri  yang sah.

Bagaimanapun lantaran perkahwinan itu telah  dipersoal  kerana tidak  mengikut saluran  undang-undang dan peraturan nikah kahwin biasa yang ditetapkan oleh pemerintah Negeri Kelantan,  maka beliau telah meletakkan jawatan dalam parti .  Mengapa ia dipersoalkan ?  Mudah jawabnya,  ialah kerana Dr.Rosli  sehari sebelum itu telah mengumumkan pendirian Dewan Pemuda PAS Kelantan agar menantu Menteri Besar Kelantan Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu  Abdul  Ariffahmi  meletakkan jawatan atau dipecat dari jawatannya sebagai  Ketua  Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). 

Sungguh wajar  komentar yang di berikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Sapian , sepertimana  berita di atas,  kerana perletakan jawatan Dr. Rosli itu lebih memperlihatkan bahawa beliau mempunyai prinsip dan tanggungjawab untuk menjaga intergriti  parti  PAS  sendiri. Sekurang-kurangnya Kerajaan PAS negeri Kelantan boleh tabik dan  ‘Angkat Kopiah’ kepada Dr.Rosli kerana beliau begitu jujur serta berani bertanggungjawab terhadap apa yang dibuatnya.  Ini selaras dengan ‘piawaian’  para pemimpin berwibawa di peringkat antarabangsa seperti di Jepun, Amerika, Britain dan lain-lain.

Berita perletakakan jawatan  Dr.Rosli ini sebenarnya membayangkan kekuatan peribadi seorang pemimpin pelapis PAS. Dr.Rosli ini seharusnya mendapat perlindungan ketuanya iaitu Nik Aziz sendiri, yang sepatutnya menjernihkan keadaan dan membuang ‘Arang Di muka’ Dr.Rosli ini ! .

Padahal Nik Aziz pernah mempertahankan seorang Wakil Rakyat PAS yang telah didapati  melakukan perbuatan sumbang dari segi agama Islam. ( Beliau ini tidak didakwa di Mahkamah, tidak dihadapkan ke Lembaga Disiplin Parti , bahkan beliau dipilih semula bertanding dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu, di mana Nik Aziz tetap menyeru agar pengundi di kawasan pemimpin yang ditangkap khalwat itu agar mengundi beliau, kerana kononnya , beliau adalah wakil kepada sebuah Kerajaan Islam dan wakil Nik Aziz sendiri. Beliau menang lagi dalam pilihanraya yang baru lalu itu dengan mengalahkan calon dari UMNO seorang pensyarah pusat pengajian tinggi)

Lebih dikesalkan oleh ramai pihak, ialah kerana  Menteri Besar Kelantan itu, telah  tidak   memecat   Wakil Rrakyat  PAS  yang telah mengaibkan nama parti  itu setelah ramai yang mengetahui  beliau  ditangkap khalwat dengan isteri  orang  ( bukan muhrimnya)  , dalam satu serbuan yang amat dramatik. Wanita berkenaan ialah  seorang Muslimat PAS, atau pejuang wanita  PAS ,  padahal  cukup empat orang saksi  !

“Tambah tidak bermaruah dan lebih tidak berwibawa lagi apabila si  Wakil Rakyat itu langsung tak peduli untuk menjaga maruah PAS dan Menteri Besarnya, di mana beliau patut meletakkan semua jawatan sebagai Wakil Rakyat dan apa juga jawatan dalam parti, tetapi  sebaliknya beliau hanya buat muka selamba saja…”, kata seorang peniaga di kawasan Wakil Rakyat tersebut.

“Kes ini kita tutup..jange geger malu kokre..”   demikian  antara  kata-kata Menteri Besar itu  kepada para saksi yang mengadapnya mengenai kes khalwat itu beberapa ketika lalu.  Seorang daripada para saksi itu memberitahu saya sendiri  (penulis) dalam satu pertemuan di rumah  seorang teman lama saya yang juga seorang wartawan.

“kalaupun tak mahu di hadapkan ke Makmahah Syariah , Tok Guru  sepatutnya  suruhlah Wakil Rakyat PAS itu letak jawatan..ataupun kalau tak mahu letak jawatan ..janganlah Wakil Rakyat itu dipilih lagi dalam pilihanraya ke 12 lalu…kan ini parti Islam namanya !!!..”  tambah teman saya itu dengan kesal.

Bandingkanlah kewibawaan  Dr.Rosli dengan Wakil Rakyat PAS itu  itu dan sikap Nik Aziz sendiri. Kini tiba pula soal menantu Meneteri Besar  yang banyak mengundang beban  kepada Kerajaan PAS Kelantan dan Menteri Besarnya.  Seperti  yang  saya tulis sebelum ini bahawa Nik Aziz memang baik orangnya, penuh dengan kasihanbelas dan bertimbangrasa kepada orang kelilingnya, lebih-lebih lagi rapat dengannya.

Soalnya orang berkenaan yang tidak kasihankan Bapa Mertuanya, dan orang berkenaan juga tidak kasihankan Menteri Besarnya; menjadikan diri mereka beban yang berat kepada parti dan kerajaan. Sampah sarap inilah yang dipikul Nik Aziz sekarang. Lebih jelas lagi kelemahan Nik Aziz, ialah beliau  tidak boleh tolak  kemahuan orang yang disayanginya.

Apa yang dibuat oleh orang-orang yang menyokong Nik Aziz ialah membuat demonstrasi mempertahankan Menteri Besar itu. Kepada siapa demonstrasi itu dituju? , pada pendapat saya ialah semacam ia ditujukan kepada PAS  Pusat , sedangkan PAS Pusat  akhir-akhir ini sudah tidak boleh menyembunyikan lagi perasaan tak puas hati mereka dengan tindak tanduk PAS Kelantan lebih-lebih lagi dalam isu yang sedang hangat diperkatakan  di Kelantan kini.

Contohnya Naib Presiden PAS sudah berulangkali membuat kenyataan kepada media, menggesa menantu Menteri Besar Kelantan Abdul Ariffahmi Bin Abdul Rahman meletakkan jawatan atau dipecat dari  jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, kerana hal yang dilihat tidak wajar.

 Hal ini dikeruhkan lagi  apabila PAS Kelantan mengeluarkan hasrat tidak akan membenarkan lagi PAS Pusat menghantar calon dari luar (dari PAS Pusat) untuk bertanding di Kelantan. Selama ini para pemimpin PAS di peringkat Pusat di letakkan bertanding di Kelantan, bagi menjaminkan kemenangan mereka untuk bersuara di Parlimen.

Persefahaman atau kontrak sosial  antara pemimpin PAS Pusat dengan PAS Kelantan ini berlaku sejak lama dulu , iaitu kira-kira 40 tahun yang lalu.  Hal ini bermula dengan Haji Ahmad Perang dari Pulau Pinang, Prof.Dato’ Zulkifli Mohammad dari Perak, Ustaz Abu Bakar Hamzah dari Perlis, Dr.  Daeng Sanusi Bin  Daeng Mariok dari Johor,  Mohamad Sabu dari Pulau Pinang, dan kini terdapat tiga orang tokoh PAS yang dihantar oleh PAS Pusat untuk bertanding di Kelantan, iaitu Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa  (Parlimen Bachok), Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (Parlimen Kubang Kerian), Bendahari PAS Pusat Dr. Mohammad Hatta Md Ramli (Parlimen Kuala Krai) dan seorang tokoh Parti Keadilan Pusat iaitu parti sekutu PAS, Saifuddin Nasution (Parlimen Machang)   .

Cadangan menghentikan pengambilan  calon-calon yang dihantar oleh PAS Pusat ke Kelantan ini dibuat sendiri oleh seorasng tokoh  PAS Kelantan yang juga kini memegang jawatan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Mohammad Daud , yang lebih dikenali dengan gelaran Mat Daud Iraq. Bagi orang PAS Kelantan, asalkan seseorang itu belajar di negeri Arab, bila masuk PAS dia akan dipanggil ulama. Oleh itu PAS Kelantan mencalonkan Mohammad Daud ini untuk memegang jawtan Ketua Dewan Ulama Pusat.

Mohammad Daud Iraq ini adalah  bekas guru saya, yang mengajar mata pelajaran Sastera Arab Klasik dengan pengantar Bahasa Arab  semasa saya belajar di Pusat Pengajian Tinggi  Islam Nilam Puri  Kelantan dulu . Beliau memang mahir dalam Sastera Arab kerana berkelulusan dalam bidang kesusasteraan Arab iairtu dari Kulliatul Adab di Universiti Baghdad Iraq, sebab itulah beliau mendapat jolokan Ustaz Mat Daud Iraq atau Iraqi.

“Jadi bila Ketua Dewan Ulama mencadangkan demikian , tentulah orang tahu idea itu dari siapa!. Bila Menteri Besar itu terus memberikan reaksi yang positif, sepertimana yang dilaporkan oleh media semalam (24 Disember 2009), maka sudah tentulah ia akan dilaksanakan. Idea ini pastilah tidak akan dikemukakan sekiranya Nik Aziz tidak bersetuju, kerana orang tahu bila Nik Aziz tidak setuju, belia akan melenting dan marah, orang semua takut , dia garang..”  kata seorang penyokong PAS di Pasir Puteh, bila dihubungi untuk meminta pandangannya   hari  ini.

Sinario ini menjelaskan , konfrantasi  antara  PAS  Kelantan  dengan  Pusat  semakin ketara . Kalau selama ini apa saja hal-hal yang negatif , yang berlaku dalam rumahtangga PAS baik di mana pun juga, mereka , para pemimpin dan ahli PAS mampu menyembunyikannya dibawah tikar. Tetapi tidak kali ini. Bangkai gajah tidak boleh disembunyikan lagi.  Ia bermula dengan kritikan terbuka yang sangat pedas  Nik Aziz terhadap Presidennya Dato’ Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasaruddin Mat Isa dan Bendahari Pusat Dato’  Mustafa Ali, terhadap ura-ura (pemimpin PAS Pusat ini) untuk berunding mengenai ‘Kerajaan Perpaduan’  yang merupakan suatu cadangan mengumpulkan pemimpin-pemimpin Melayu PAS dan UMNO bagi mencari  jalan menyelamatkan Bangsa Melayu yang sedang dipersendakan oleh pihak tertentu dari kaum pendatang di negara  ini .

Bantahan Nik Aziz itu merupakan  bantahan yang keras berbentuk peribadi , berdasarkan pengalaman pahit yang beliau lalui semasa PAS berada dalam Barisan Nasional pada tahun 70an dulu. Padahal, pada umumnya ,  kerana PAS bergabung dalam BN bersama UMNO lah banyak mengubah nasib orang Melayu di negara ini . Banyak pihak mengagumi  kepimpinan Allahyarham Tun Haji  Abdul  Razak  yang telah berjaya membawa  Presiden PAS Dato’ Mohd Asri Haji Muda yang telah berjaya membawa parti PAS masuk ke dalam BN,  dan  berjaya meletakkan Bangsa Melayu sebagai Tuan negara ini  di tempatnya yang asal, setelah dikoyakrabakkan oleh bangsa keturunan pendatang pimpinan  DAP  dalam peristiwa 13 Mei.

Saya berpendapat Tog Guru Nik Aziz kenalah izinkan menantunya pergi, pujuklah Dr.Rosli kembali ke dalam PAS, ketepikan cadangan mengenepikan kontrak sosial dengan PAS Pusat, restuilah rundingan antara pemimpin PAS dan UMNO untuk menyelesaikan urusan bangsa kita, kerana jika PAS tidak tenteram, rundingan antara kedua pihak (UMNO/PAS) tak boleh dijalankan, dan jika ini berlaku ditakuti musibah besar yang menanti untuk menghancurkan agama,bangsa dan Tanah Air yang kita cintai ini , tidak dapat kita atasi .
   



 

 
< Prev   Seterusnya >
 
Joomla Templates by Joomlashack