A free template from Joomlashack

A free template from Joomlashack


Langgan Info

Masukkan e-mail anda :

edisi baru !
Delivered by FeedBurner

Pengguna Online

Kami ada 30 tetamu online

Perkataan Rawak

Info Tamu

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini173
mod_vvisit_counterBulan Ini3091
mod_vvisit_counterJumlah495548
Jumlah helaian laman dilihat :free web stats
Laman Utama
MERDEKAKAH KITA? PDF Cetak Emel
merdeka-1.jpg

 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyerahkan bendera Union Jack kepada wakil British

dan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kali selepas laungan 

Merdeka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957

Esok Negara dan rakyat Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan untuk ke 52 tahun, satu tempoh yang dikira begitu matang dan dewasa sekali. Negara Malaysia sudah mereka 52 tahun dan bukan 25 tahun, iaitu usia remaja, masih mencari arah tuju, darah muda dan kalau ibarat orang baru kahwin, masih banyak  wang yang diperlukan untuk hidup dalam keadaan senang lenang.
Tetapi hakikatnya, Malaysia merdeka  hari ini masih ibarat orang baru bernikah. Tidak stabil dari segi kedudukan ekonomi bangsa teras negara ini, masih mencari kesesuaian hubungan suami isteri iaitu hubungan kaum hingga menyebabkan salahfaham kedudukan bangsa pendatang yang mengugat ketuanan Melayu di negara ini.
Selaku Pengerusi Yayasan Patriotik Bangsa (YPB) saya terpanggil dan sering terkesan di hati setiap kali memperkatakan tentang betapa tidak merdekanya bangsa Melayu di bumnegara ini yang sesuatu ketika dinamakan Tanah Melayu.


Mengapa hal ini terjadi?  Puncanya adalah sikap pemimpin dan orang yang bersekongkol dengan pemimpin untuk membolot habuan untuk diri sendiri  atas nama hak kerana mereka sudah berjasa sedikit sebanyak meraih sokongan rakyat terhadap parti dan telah membuat jasa sedikit sebanyak membuat kan segelintir rakyat  dibawah naungan kementeriannya,  atau d kawasan Parlimennya,  atau DUN nya, atau  dikeliling kelalang mereka senang seperti pembinaan jalan, kemajuan serta kemudahan bidang  pertanian , seperti  peruntukan baja, benih, pembajakan sawah dan sebagainya. Atau peluang perniagaan kepada para kontraktor besar atau kecil  dan sebagainya !
Selain para pemimpin , terdapat juga  kroni  dan suku sakat pemimpin yang telah mengambil peluang mengkayakan diri sendiri dan kumpulan pembuat kuasa kumpulannya , menggunakan pengaruh pemimpin tertentu membolot  banyak projek-projek pembangunan kerajaan . Hal ini kerap juga dibuat dengan cara yang sangat agresif mendesak pihak berkuasa tertentu menuka nama individu-individu dan syarikat-syarikat yang telah pun diberikan kelulusan untuk ditukar dengan nama-nama baru dan syarikat-syarikat baru yang kroni atau suku sakat pemimpin tadi kehendak.
Hal ini tidak terkecuali juga para pegawai tinggi kerajaan yang ada hubungan rapat dengan pemimpin atasan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memberi habuan kepada orang-orang yang rapat dengan mereka .Ia tidak terhad kepada pemberian kekayaan, tetapi terdapat pula pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang ada hubungan rapat dengan mana-mana “istana” untuk mencadangkan orang-orang yang pandai mengampunya (misalnya sering menemaninya bermain golf ke merata-rata termasuk ke Indonesia ) untuk mendapat gelaran Dato’, wallhal ada pegawai  lain yang lebih kanan dan lebih layak !
Ada pula pemimpin di peringkat negeri menggunakan kedudukan menawarkan gelaran Dato’ kepada mana-ana pemimpin dari  mana saja asalkan boleh berjanji membawa undi kepadanya dalam pemilihan kelak . Lebih malang lagi ada pemimpin pemuda yang ubun-ubun belum lagi keras sudah diberikan gelaran Dato’ ; betapa kah perasaan tersinggung dan malunya orang-orang yang berjasa kepada negara dan negeri , yang diberikan gelaran Dato’ atau Datuk dihujung  perkhidmatannya dengan penuh kehormatan  negara atau negeri, tiba berada sebaris dengan Dato’-Dato’ yang lembik ubun-ubunnya , yang pada hakikatnya tidak mempunyai jasa yang munasabah untuk diberikan gelaran seperti itu ! Ini tidak termasuk lagi gelaran-gelaran kebesaran yang didapati secara ‘pembelian’ yang kebanyakannya dilakukan oleh taukeh-taukeh kaya dari keturunan bangsa pendatang  dari Tanah Besar China !
Selain dari soal gelaran dan pingat kebesaran, fikirkan juga bagaimana sekumpulan ahli politik Islam yang sanggup bersekongkol  dengan kumpulan ahli politik yang menentang  Islam ,semata-mata tamakkan kuasa dan semata-mata nak balas dendam kerana kekalahan-kekalahan yang mereka dan parti mereka alami sebelum ini.
Fikirkan perkataan Islam yang dijadikan modal atau alat politik mereka ini telah ditelan dan diterima membabibuta  oleh orang-orang yang terpedaya disebalik serban,  dan gelaran Tok Guru yang mereka pakai,  padahal Tok Guru itu tidak pernah ada pondok pun  (Tok Guru di negara ini dikhaskan kepada ketua pondok yang ramai muridnya sacara tetap dan mengajar berpuluh tahun tanpa gaji dari pihak berkuasa , dan bukannya dengan cara berceramah agama  sahaja .Orang yang berceramah agama di gelar Ustaz, dan yang mendirikan sekolah agama juga digelar Ustaz ), yang kesemua ini melambangkan bahawa kita belum Merdeka Pemikiran  dalam ertikata yang hakikinya.
Allah memberikan kita akal marilah kita merdekakan pemikiran kita sempena ulangtahun Kemerdekaan Negara kita Yang ke 52 ini !
 Sempena ulangtahun Kemerdekaan negara ke 52 ini saya ingin bawa anda kepada satu tulisan teman kita Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Sdr Mior Kamarul Shahid dan Sdr Abdul  Halim Taib yang menulis tentang kemunduran kaum Bumiputera dalam bidang ekonomi, perjuangan kemerdekaan dan juga mengenai perpaduan ; yang pada saya tulisan-tulisan ini banyak sekali bahan yang boleh kita jadikan wacana diskusi dan berfikir serta dijadikan  iktibar -Pengarang
  
Bumiputera masih mundur, tercicir ekonomi
Oleh Abdul Aziz Abdul Rahman
Kerajaan perlu galak penyertaan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi secara tersusun

DASAR penjajah memberikan keutamaan kepada kaum lain dengan menggalakkan mereka tinggal di bandar demi kepentingan pihak British untuk memudahkan segala urusan jual beli. Pada masa sama industri bijih timah dan getah berkembang, maka secara perlahan-lahan orang Melayu terpaksa akur dengan keadaan hidup yang semakin terhimpit memaksa mereka berpindah ke luar bandar kerana taraf hidup semakin meningkat, sekali gus tidak lagi mampu bersaing dengan kaum lain kerana tiada modal, kemahiran dan pengalaman berniaga.

Maka tinggallah orang Melayu di kampung dengan mengamalkan cara hidup pertanian tradisional berbekalkan tulang empat kerat untuk 'survival'.

Peralihan cara hidup ini turut menjejaskan peluang pendidikan anak Melayu ke sekolah Inggeris. Pendidikan yang ada di luar bandar atau kampung pada masa itu hanya setakat Darjah Enam di sekolah Melayu. Sekali lagi orang Melayu jauh ketinggalan dari segi pendidikan.

Orang Melayu terus dipinggirkan, dipandang sepi dan hidup dalam penuh kedaifan. Jurang ekonomi kian melebar antara kaum. Begitu juga pendidikan anak Melayu tidak mendapat tempat di hati British.

Selepas kemerdekaan pada era 60-an, kerajaan banyak menumpukan pelaksanaan dasar untuk mengurangkan jurang perbezaan ini, tetapi tidaklah begitu berjaya sehingga berlakunya Tragedi 13 Mei 1969.
Kerajaan darurat yang diketuai Tun Abdul Razak Hussein mewujud dan memperkenalkan pelbagai dasar dan program membaiki jurang perbezaan antara orang Melayu dan bukan Melayu atas asas untuk mewujudkan perpaduan.

Prinsip Rukun Negara diperkenalkan dan diisikan pula dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 selaras pelancaran Rancangan Pembangunan Ekonomi Kedua (1971-1975).

DEB bertujuan membasmi kemiskinan tidak kira bangsa dan agama, juga memperbaiki jurang perbezaan ekonomi dari segi pendapatan, pekerjaan dan harta.

Ia bererti mewujudkan tindakan menyusun semula ekonomi dan struktur masyarakat supaya pengagihan harta antara orang Melayu dan bukan Melayu lebih saksama.
Tindakan yang dirancang dan diambil termasuk, kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi kerajaan hendaklah memainkan peranan yang lebih aktif untuk campur tangan (interventionist role) bagi menentukan orang Melayu memperoleh peluang memasuki sektor moden dan institusi baru.

Jadi, institusi baru ditubuhkan seperti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) pada peringkat negeri, syarikat di bawah Mara, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Pernas, Lembaga Padi atau Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). Malangnya, pada 80-an dan 90-an sebahagian besar badan itu sama ada dihapuskan atau diswastakan, sekali gus ia tidak lagi boleh berfungsi mengikut tujuan asalnya.

Rangka dasar itu hendaklah bersesuaian dan mampu menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Keadaan ini boleh membantu membasmi kemiskinan dan pengagihan pendapatan dengan lebih saksama.

Tindakan perlu diambil untuk mewujudkan aktiviti ekonomi yang boleh menghasilkan banyak pekerjaan supaya mencapai keadaan guna tenaga penuh.

Selain itu, usaha membangunkan keupayaan orang Melayu, antaranya mengadakan program dalam bidang pendidikan dan latihan perlu dilaksanakan supaya mereka dapat mengambil bahagian dalam proses pembangunan.

Lebih daripada itu, semua orang Malaysia diberi pelajaran bagi maksud mewujudkan asas sistem nilai hidup sama bagi generasi muda dengan harapan dapat mencapai perpaduan negara dan integrasi kaum.

Pokoknya, DEB dibentuk bertujuan mengubahkan keadaan sosial dan ekonomi dengan harapan mewujudkan masyarakat Malaysia yang mampu melupakan jurang perbezaan antara kaum bagi negara melangkah ke depan.

Ketika DEB dilancarkan pada 1970, modal (ekuiti) Bumiputera cuma pada kadar 2.4 peratus, tetapi pada 1990 ia bertambah kepada 19.3 peratus. Dari segi nilai, modal Bumiputera bertambah dari RM47 juta kepada RM20.9 bilion pada 1990 dan 2002 ia bertambah kepada RM73.2 bilion.

Penambahan modal ini berikutan penubuhan syarikat pelaburan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Urusan dan Tabung Haji . Namun, pada 2002 iaitu 12 tahun selepas 1990, modal saham Bumiputera turun kepada 18.7 peratus.

DEB tamat pada 1990, tetapi disambung dengan Dasar Pembangunan Nasional (NDP) dengan disokong prinsip Wawasan 2020 bagi maksud mengeluarkan profesional, ahli sains dan ahli teknologi.

Hasrat NDP lebih kurang sama DEB. Jumlah profesional Bumiputera bertambah dari 21 peratus pada 1990 kepada 30 peratus pada 2002.

Sejak DEB dilancarkan kadar kemiskinan turun dari 52 peratus pada 1970 kepada lima peratus pada 2002. Kadar kemiskinan di luar bandar turun dari 59 peratus kepada 11 peratus pada tempoh sama.

Sungguhpun, taraf ekonomi Bumiputera dapat ditingkatkan, kita tidak mencapai kejayaan sepenuhnya. Jika dibandingkan dengan bangsa lain, Bumiputera masih jauh tertinggal di belakang.

Pendapatan keluarga Bumiputera lebih rendah daripada pendapatan keluarga orang Cina. Jumlah profesional Melayu banyak bertambah, tetapi masih tertinggal berbanding bangsa lain.

Malah, kadar pertumbuhan pelaksanaan ekonomi orang bukan Melayu lebih cepat daripada orang Melayu. Oleh itu, umpamanya apabila ekonomi negara tumbuh pada kadar 8 peratus pada awal 1990, orang bukan Melayu mendapat lebih banyak faedah kerana mereka lebih cekap dan mampu.

Orang Melayu masih perlu dibantu dan perlu ada agenda tertentu untuk membangunkan mereka dengan lebih teratur dan tersusun.

Segala kuasa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipakai dan dilaksanakan dengan saksama. Pada 2005, satu dasar baru diperkenalkan iaitu Misi Nasional, untuk meningkatkan ekonomi dan mempertahankan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 6 peratus

Justeru, sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 ini, banyak perkara yang perlu direnungkan. Isu pokok iaitu kemunduran dan ketinggalan ekonomi Bumiputera dalam negaranya sendiri, selain itu isu membasmi kemiskinan, meningkatkan penyertaan dan penguasaan Bumiputera dalam bidang ekonomi moden perlu difikirkan.

Secara keseluruhan, penyertaan masyarakat Bumiputera dalam bidang perniagaan, perdagangan dan perindustrian negara masih pada tahap rendah berbanding pembabitan masyarakat bukan Bumiputera.

Keadaan pada tahun mendatang memerlukan tahap daya saing tinggi daripada sesiapa saja yang menjalankan kegiatan perdagangan dan perindustrian.

Era globalisasi akan mengakibatkan negara menjadi lebih terbuka dan terpaksa bersaing di arena antarabangsa. Persediaan perlu dipertingkatkan.

Satu perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah masalah pembentukan masyarakat Bumiputera berbudaya niaga dan berbudaya usahawan.

Masyarakat Bumiputera di bandar tidak memperoleh tradisi perdagangan atau perindustrian masyarakat bandar yang dibolot masyarakat bukan Bumiputera, menunjukkan pergantungan mereka kepada bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan atau swasta. Orientasi sikap perlu ditekankan.

Paling penting ialah usaha membawa golongan miskin keluar daripada kemiskinan. Pelbagai strategi dan program yang ada untuk menambah pendapatan boleh diteruskan. Hakikat bahawa kadar kemiskinan yang dijangka dalam tempoh DEB dapat dicapai menunjukkan strategi lampau masih sesuai.

Justeru, strategi yang ada kini diteruskan tetapi perlu menekankan 'kesampaian' dan keberkesanan program kepada kumpulan sasaran yang tepat dan dikenal pasti.

Justeru, badan baru perlu ditubuhkan di bawah Akta Mara 1966 yang sudah lengkap dan tidak lagi perlu dibahaskan di mana-mana. Ini adalah untuk memastikan orang Melayu berupaya menceburkan diri dalam kegiatan perniagaan. Ini bermakna kerajaan perlu mempertingkatkan pentadbiran Mara secara radikal

Pembangunan tanah simpanan Melayu, tanah Baitulmal dan tanah kerajaan di bandar boleh diuruskan oleh mana-mana badan baru yang diwujudkan itu, dengan tujuan memperbaiki kedudukan orang Melayu di bandar.

Inflasi dalam bidang hartanah di bandar dalam tempoh 20 tahun lalu memberi impak kepada ketidakmampuan orang Melayu untuk terus menetap di bandar, jauh sekali menceburkan diri dalam urusan perniagaan. Mereka perlu diberi bantuan sewajarnya oleh kerajaan kerana tanpa campur tangan sukar bagi tanah berkenaan dibangunkan untuk tujuan komersial dan kawasan perumahan.

Kelemahan pemasaran hasil pertanian, perikanan dan ternakan boleh diatasi dengan memperkemaskan sistem pengurusan Fama dan melebarkan sayap operasinya.

Orang Melayu di luar bandar bukan malas bercucuk tanam, tetapi mereka tidak memiliki rangkaian pemasaran yang cekap dan berkesan untuk memasarkan hasil tanaman, perikanan dan ternakan mereka.

Kerajaan juga perlu mewujudkan banyak aktiviti yang berupaya menggalakkan penyertaan orang Melayu dalam kegiatan ekonomi, termasuk dalam projek mega yang sedang dijalankan.

Banyak perkara, projek dan dasar sedang dan akan dilaksanakan perlu diperhalusi dan diurus dengan teliti dengan memastikan orang Melayu terus diberi peluang bukan saja untuk meraih sedikit keuntungan tetapi juga diberi pendedahan untuk menimba pengalaman.

Kerajaan perlu memfokuskan perhatian kepada peruntukan Perlembagaan Artikel 153 dan menetapkan kementerian tertentu bertanggungjawab mencari idea dan inisiatif bagi melaksanakannya dan memantau dengan lebih berkesan. Peruntukan undang-undang ini adalah satu-satunya usaha untuk memperbaiki keadaan ekonomi orang Melayu yang dipertahankan ketika mencapai kemerdekaan.

Kesimpulannya, tindakan memperbaiki ekonomi Bumiputera secara tegas perlu dilaksanakan segera, jika tidak, kedudukan ekonomi Bumiputera akan terus menjurus kepada tahap lebih teruk pada masa akan datang, apatah lagi pada era dan suasana persaingan akibat ekonomi globalisasi.

(Penulis ialah bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia (MAS) dan kini pengamal undang-undang) .

Sejauh mana kita merdeka
Oleh Mior Kamarul Shahid
Hari ini wujud perpecahan politik di hampir semua negara yang pernah dijajah

DALAM buku-buku politik antarabangsa mengenai negara membangun yang ditulis kira-kira 30 tahun lalu, biasanya mentafsirkan politik Malaysia sebagai: "Pada mulanya adalah negara sistem satu parti dominan berdasarkan kepada nilai demokrasi Barat; masih kekal di bawah penguasaan parti Perikanan (sekarang Barisan Nasional (BN) dengan peningkatan batasan-batasan terhadap parti pembangkang."

Hari ini, tafsiran seperti itu tidak sesuai lagi. Malaysia bukanlah negara satu parti dominan, berdasarkan persaingan parti-parti politik yang wujud sekarang. Suasana politik Malaysia sudah mengalami perubahan mendadak berikutan pelbagai proses yang sudah dilalui sejak merdeka. Sistem pendidikan banyak mengubah bentuk pemikiran rakyat, seterusnya pemikiran politik bangsa. Walaupun BN terus berkuasa, kebebasan sudah diberikan seluas-luasnya kepada parti pembangkang. Dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sekatan maklumat terhadap mana-mana pihak termasuk parti pembangkang adalah sesuatu yang mustahil.

Atas nama demokrasi, kebebasan tanpa batas boleh memakan diri. Dilema ini dirasai di kebanyakan negara membangun yang menghadapi ancaman politik hingga menyebabkan satu demi satu kerajaan mereka tumbang. Kerajaan baru yang memerintah pula sering tergugat akibat sokongan yang berbelah bagi. Dalam sistem demokrasi, kerajaan yang gagal mendapat sokongan padu rakyat, sekurang-kurangnya 2/3 perwakilan di Parlimen, terdedah kepada cubaan untuk diganggu-gugat.

Penentangan pembangkang di kebanyakan negara merdeka hari ini sudah melangkaui bentuk perjuangan parti kebangsaan ketika parti-parti politik negara itu menentang penjajah suatu ketika dulu. Di negara ini, pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berjuang membebaskan negara ini pada 1957, melakukannya dengan bijaksana, berunding dan memberi alasan kukuh mengapa Malaya ketika itu wajar dimerdekakan. Ketika gerakan menghalau penjajah British memuncak, rasa tidak ada kata-kata yang begitu kesat dilemparkan kepada Inggeris. Tetapi, hari ini kata-kata dan tuduhan pengikut parti-parti pembangkang ke atas parti pemerintah sangat jauh berbeza, terutama ketika berlaku perdebatan terbuka atau pilihan raya.

Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah berlandaskan kepada tuntutan hak untuk memerintah negara oleh rakyat negara ini. Akhirnya, British akur dengan jaminan pejuang kebangsaan dan nasionalis ketika itu berdasarkan tuntutan kemerdekaan menerusi satu bangsa yang bersatu padu. Dengan slogan 'Bersatu Teguh, Bercerai Roboh', pemimpin Melayu, Cina dan India berarak menunjukkan kepaduan dan kekuatan yang meyakinkan penjajah untuk membebaskan negara ini daripada cengkaman mereka.
Daripada banyak kejadian yang berlaku kebelakangan ini khasnya demonstrasi jalanan dan perhimpunan haram membabitkan ribuan manusia, jelas menunjukkan perjuangan parti politik hari ini adalah manifestasi daripada keghairahan untuk menggulingkan kerajaan yang diterajui parti-parti yang berjuang membebaskan negara daripada penjajah 52 tahun lalu. Mereka melakukannya sebagai satu proses untuk meyakinkan pengikut mereka bahawa mereka sedang membina kekuatan untuk menggugat kerajaan yang mereka uar-uarkan sebagai lemah. Jika kerajaan hari ini benar-benar lemah, ia sudah pun jatuh. Tetapi, disebabkan kerajaan BN masih mendapat sokongan sebahagian besar rakyat, walaupun kurang daripada 2/3 perwakilan di Parlimen, ia masih bertahan dan kini mengumpul kekuatan untuk memulihkan semula keadaan. Penentuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah penanda aras kerajaan BN untuk terus memerintah negara.

Seandainyalah, penjajah melihat semula apa yang berlaku di Malaysia hari ini, ia boleh mengatakan: Orang Melayu masih bercakaran sesama sendiri dan tidak layak memerintah. Orang Cina yang menguasai ekonomi Malaysia dan kaum India yang masih kaum minoriti, juga berpecah belah. Jika diibaratkan dalam suasana hari ini rakyat negara ini mahu menuntut kemerdekaan, ia akan ditolak mentah-mentah. Walaupun pada permukaannya rakyat dilihat bersatu, tetapi dari segi lahiriahnya, mereka bercakaran dalam soal tuntutan hak. Satu demi satu peristiwa dibangkitkan mencabar kesabaran rakyat. Melayu berpecah kepada beberapa buah parti, selain golongan atas pagar. Keadaan sama juga berlaku ke atas kaum Cina dan India. Di Sabah dan Sarawak, rakyatnya meletakkan harapan tinggi kepada BN.

Mungkinkah disebabkan negara ini tidak dapat lari daripada kesan kolonial dan tekanan imperialis, menyebabkan keadaan yang berlaku hari ini tidak dapat dielakkan. Ternyata, perubahan yang cuba diketengahkan oleh golongan tertentu adalah perjuangan imperialis yang kononnya mahukan pembaharuan, hakikatnya mereka menyemarak ideologi imperialisme. Di sesetengah negara, sudah menjadi lumrah berlaku keinginan golongan imperialis kapitalis untuk terus menguasai rakyat bekas koloni sebagai hamba ekonomi dan politik mereka. Tugas mereka bertambah mudah di bawah pemerintahan kerajaan yang lemah.

Apa pun, Malaysia terpaksa akur seperti permasalahan pokok yang dialami oleh negara-negara membangun � untuk mengekalkan kerajaan yang mantap dan mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu. Kajian pengalaman ke atas lebih 100 buah negara menunjukkan hampir dua pertiga daripadanya adalah menjadi mangsa, sama ada kepada rampasan kuasa yang berjaya atau pun kepada percubaan yang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan kerajaan yang ditubuhkan. Malaysia terselamat daripada ancaman seperti itu.
Umumnya, hari ini wujud perpecahan politik yang berlaku hampir di setiap negara merdeka. Apa pun, pimpinan negara masih tidak jemu meningkatkan usaha yang berterusan terhadap pemupukan perpaduan, kesetiaan kebangsaan dan kebanggaan terhadap simbol kemerdekaan dan negara.

Pada masa sama, rakyat melabelkan anasir yang boleh memecahkan rakyat sebagai bahaya yang boleh menghancurkan negara. Ini termasuk parti politik yang menjadi pembangkang, parokialisme tempatan dan serantau, kebebasan akhbar dan perpecahan ikatan politik.

Setiap parti seharusnya kembali kepada asas penubuhannya yang mana parti politik adalah untuk membangunkan bangsa dan negara. Tapi, jika parti politik menjadi ancaman terhadap penyatuan negara, ia tergelincir daripada landasan. Malaysia, sebagai negara bertanggungjawab terhadap rakyatnya, bimbang kepada perpecahan. Itulah sebabnya pemimpin negara sering menegaskan bahaya fahaman berpuak-puak. Bagi pemimpin pembangkang, janganlah mengandaikan sudah mendapat mandat daripada rakyat kerana kuasa sebenar terletak pada rakyat menerusi sistem pemilihan yang sah mengikut demokrasi.
(Penulis adalah bekas Editor Kanan Kumpulan Berita Harian)

Menyemai perpaduan, cintakan negara
Oleh Abdul Halim Taib
1Malaysia wujud rakyat pelbagai etnik berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa

SEPERTI biasa setiap 31 Ogos seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Namun sambutan tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana ia disambut serentak pada Ramadan, bulan yang mulia di sisi Islam. Oleh itu rakyat khususnya umat Islam pada tahun ini di samping mengerjakan ibadat puasa mereka juga turut menyambut dan memperingati Hari Kemerdekaan yang menjadi lambang kebebasan negara daripada belenggu penjajahan Inggeris.

Pada tahun ini, di samping usaha mengembang dan menyemarakkan syiar Islam sepanjang Ramadan seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bertadarus al-Quran dan memberi sumbangan kepada fakir miskin, kerajaan juga menyusun beberapa program bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 .. Malah, tempat sambutannya juga berubah dari jadual asal iaitu Stadium Bukit Jalil ke perkarangan Bangunan Parlimen.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, selaras dengan hasrat dan wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia negara yang maju dan bersatu padu.

Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik saja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia keenam pada April 2009. Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan beliau yang tidak jemu-jemu berusaha menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Namun masih ramai lagi rakyat, terutama generasi muda termasuk golongan mahasiswa-mahasiswi, belia dan pelajar yang masih keliru dan belum benar-benar memahami mengenai konsep 1Malaysia. Mereka sering kaitkan dan samakan ia dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan pembangkang.
Konsep Malaysian Malaysia menggariskan hak kesamarataan versi total yang membuta tuli. Ia digariskan tanpa mengambil kira realiti negara Malaysia yang berbilang kaum dan faktor sejarah bagaimana wujudnya persepakatan bagi membentuk negara Malaysia.

1Malaysia pula berbeza dengan Malaysian Malaysia kerana ia adalah satu konsep bagi mewujudkan rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan atau etnik yang ada di dalam negara ini. Malah, ia mementingkan dan menganggap masyarakat majmuk sebagai aset negara, apatah lagi konsep Malaysian Malaysia juga tidak lari sama sekali dengan Perlembagaan negara.

Dalam apa keadaan atau suasana dan di mana jua tempat berlangsungnya sambutan kemerdekaan tidak menjadi persoalan, yang penting ialah semangat bersatu padu di kalangan rakyat dan juga semangat cintakan negara atau patriotisme perlu ditanam di jiwa setiap rakyat. Inilah yang sering ditekankan Perdana Menteri apabila bercakap mengenai kemerdekaan dan konsep 1Malaysia.

Malah ketika majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang pada 12 Ogos lalu bagi menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Najib mengajak rakyat memperkukuhkan semangat patriotisme dengan meningkatkan amalan nilai dan perangai terpuji demi menjaga keharmonian serta mematuhi undang-undang. Majlis itu menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan sambutan kemuncak pada 31 Ogos di pekarangan Parlimen. Penutup sambutan kemerdekaan ialah pada 10 Oktober di Kuching, Sarawak.
Bagi menyedarkan rakyat betapa pentingnya semangat patriotisme dan kemerdekaan ini jugalah Perdana Menteri hadir dan menyampaikan ucaptama pada 'Wacana Patriotisme: Ke Arah 1Malaysia dan Pelancaran 100 Wajah Wira Malaysia' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 Ogos lalu. Pada majlis anjuran bersama UIAM dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), 100 wajah wira negara diumumkan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai bidang kepada negara.

Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UIAM, berkata beliau memilih universiti berkenaan untuk program itu bukan saja kerana ia dekat di hati malah masyarakatnya yang pelbagai dan berbentuk antarabangsa perlu memahami konsep 1Malaysia yang baru diperkenalkan. Semangat patriotisme penting difahami dan dihayati semua pihak, khususnya generasi muda kerana dengan patriotisme yang tinggi mereka akan dapat menghadapi persaingan dalam era semakin mencabar sekarang.

Pada majlis itu, beliau menjelaskan semangat 1Malaysia sebenarnya sudah bermula pada awal pembentukan Malaysia dengan kerjasama padu semua kaum bagi membentuk negara yang berjaya. Semangat patriotisme yang unggul semua kaum menyebabkan negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain tanpa sebarang pertumpahan darah.

Perdana Menteri berkata: "Bukan senang penjajah hendak lepaskan negara yang dijajah� tetapi bila rakyat Malaysia datang dengan bersatu, pada masa itu tak ada 1Malaysia � mereka datang dengan satu komitmen ke arah satu Malaysia atau satu Malaya, maka kita telah mencapai kemerdekaan,"

Sementara itu, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid ketika melancarkan sambutan bulan kemerdekaan dan ketibaan Ramadan pada 19 Ogos lalu menggesa semua kakitangan dan pelajar bekerja kuat demi kejayaan selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

Menurutnya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri adalah kesinambungan kepada konsep pentadbiran yang dilakukan oleh semua Perdana Menteri sebelum ini dengan pendekatan berbeza tetapi matlamat yang sama iaitu ke arah mencapai perpaduan dan kemajuan negara.

Katanya, menurut satu kajian yang diadakan baru-baru ini lebih 90 peratus rakyat menyatakan mereka berbangga menjadi penduduk Malaysia kerana negara ini maju dalam pelbagai bidang, malah lebih baik berbanding dengan beberapa negara jiran.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia, Prof Chandra Muzaffar, berkata persepsi 1Malaysia tidak memanfaatkan kaum Melayu dan Bumiputera mungkin muncul kerana perubahan yang dibuat kepada peraturan mengenai kuota dalam sektor ekonomi tertentu dan keperluan mengenai saham dalam pasaran saham.

Ini adalah perubahan pendekatan; bukan pemansuhan dasar. Dasar mempertingkatkan ekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera yang lain secara adil, tetap dilaksanakan seperti terbukti dalam pembentukan syarikat Ekuinas untuk mengenal pasti usahawan Bumiputera yang berpotensi dan memperkukuhkan kedudukan mereka.

Chandra berkata, membetulkan persepsi yang salah mengenai 1Malaysia adalah antara misi Yayasan 1Malaysia yang baru ditubuhkan. Malah yayasan itu juga akan menyampaikan idea dan pandangannya dari semasa ke semasa kepada kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai matlamat dan hasil pencapaian konsep 1Malaysia.

Disebabkan konsep itu baru, masih ramai lagi rakyat yang samar-samar, keliru dan kurang jelas mengenai konsep, pendekatan, matlamat dan faedahnya kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

Demi kejayaan konsep 1Malaysia ini, semua pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan, Biro Tatanegara, pihak swasta dan NGO perlu memainkan peranan menerangkan kepada rakyat mengenai konsep berkenaan. Apabila sudah faham barulah rakyat termasuk generasi muda dapat menerimanya dengan hati yang lapang dan terbuka. Tidaklah salah atau keterlaluan sekiranya dalam bulan kemerdekaan dan Ramadan yang penuh berkat ini, penerangan mengenai konsep 1Malaysia ini dapat diselit dan diterapkan melalui majlis ilmu demi faedah semua.

(Penulis ialah bekas pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bekas wartawan Bernama) .



 
< Prev   Seterusnya >
 
Joomla Templates by Joomlashack