|
|
| Peminjam dipenjara Ah Long |
Cerita tiga peminjam yang dirantai leher bagaikan anjing ,dikurung tanpa makanan dipusat tahanan Ah Long di Kepong Selangor yang digembar gemburkan sebagai peminjam wang berlesen itu sebenarnya Ah Long yang berlesen untuk menyiksa pemangsanya yang gagal membayar hutang dalam tempoh yang ditetapkan. Lihatlah cerita dari Utusan Malaysia dan BERNAMA keluaran 28 Mei lalu, yang saya petik seperti dibawah ini :
3 DIKURANG SEPERTI BINATANG
KUALA LUMPUR 27 Mei – Zalim! Hanya kerana gagal membayar hutang, tiga lelaki diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ah long.
Lebih kejam, mangsa hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas itu.
Malah, mereka turut dijadikan seperti hamba apabila dirotan jika cuba merayu, membuat bising atau meninggikan suara.
Wang yang dipinjam pula bukanlah banyak mana, cuma di antara RM1,500 dan RM4,000 sahaja.
Kegiatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar apabila polis menahan dua lelaki dipercayai ah long hasil maklumat awam, di sebuah bank di Desa Jaya, Kepong, dekat sini kira-kira pukul 11 pagi ini.
Ketika ditahan suspek yang berusia 30 dan 33 tahun itu sedang membuat urusan pembayaran hutang.
Susulan daripada penahanan tersebut, polis menyerbu sebuah bangunan rumah kedai lima tingkat di Jalan PBS 14/2, Taman Perindustrian Bukit Serdang di sini, kira-kira pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, dalam serbuan di aras bawah itu, polis menyelamatkan tiga lelaki berusia 25 hingga 49 tahun yang dijadikan tahanan.
Katanya, ketiga-tiga mereka ditempatkan dalam dua bilik yang diubahsuai seolah-olah seperti lokap polis.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap mangsa turut menemui kesan-kesan lebam di seluruh badan, dipercayai menjadi mangsa dera ah long.
‘‘Berdasarkan keterangan mangsa, kita mendapati mereka dikurung antara 17 hari hingga dua bulan,’’ katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Tambah beliau, polis terpaksa meminta bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Seri Kembangan untuk memecahkan mangga pada ‘lokap’ berkenaan dan rantai yang dipasang pada mangsa.
Abdul Rahim menyifatkan tindakan ah long itu sebagai binatang dan tidak berperikemanusiaan kerana tergamak ‘memuatkan’ mangsa dalam bilik sempit seluas 1.2 meter X 1.2 meter tanpa aliran udara.
‘‘Kami yakin dengan penahanan kedua-dua lelaki pagi ini, kumpulan ah long itu yang juga terlibat dalam beberapa kes di Lembah Klang telah ditumpaskan,’’ ujarnya.
Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah dengan mengurung mangsa sekiranya gagal membayar hutang sehinggalah ahli keluarga mereka melunaskannya.
Ditanya sama ada ahli keluarga mangsa ada membuat laporan polis mengenai kejadian itu, beliau memberitahu, kesemua mangsa dilaporkan hilang oleh keluarga mereka di Gombak, Kajang dan Segamat.
‘‘Kami terima tiga laporan berhubung kehilangan mangsa-mangsa. Dalam laporan itu mereka mendakwa mangsa dilarikan ah long namun tiada sebarang maklumat mengenai mereka,’’ ujar beliau.
Kes itu katanya, kini disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan peras ugut dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.
Berdasarkan berita diatas, jelaslah perbuatan Peminjam Wang berlesen atau tidak berlesen, semuanya sama ,menjadikan peminjam mereka sebagai mangsa lintah darat itu. Oleh yang demikian pihak berkuasa tidak boleh pandang ringan tentang perkara yang kian meluas ini, apalagi dalam keadaan ekonomi yang merosot sekarang.
Kira-kira awal bulan lalu, seorang sahabat lama saya telah terpengaruh dengan satu iklan di sebuah akhbar harian negara ini tentang satu syarikat peminjam wang berlesen disekitan Bandar Kepong Selangor, menawarkan pinjaman wang dengan kadar segera walaupun dalam jumlah berjuta ringgit.
Rakan saya itu sebelumya telah membuat permohonan untuk membuat pinjaman di Bank Agro di Ibu Negara berjumlah kira-kira setengah juta ringgit sahaja bagi menampung perniagaannya yang ada kaitan dengan bidang pertnian dan perikanan, namun katanya bank berkenaan “langsung tak membantu” walaupun dirayu dan menawar kan untuk mencagarkan hartanahnya yang ada disekitar lembah kelang ini, lalu beliau terpaksa mencari Ah Long berlesen itu sebagai jalan terakhir.
Pegawai pinjaman Ah Long berbangsa Tionghua, diapit oleh dua orang bodyguard berbadan tegap menunggu kawaqn saya bersama isterinya, dibawa ketingkat atas bertemu peguam untuk menandatangani persetujuan memberi pinjaman dan menerima pinjaman serta cagaran hartanahnya bersama gerannya yang sah.
Sebelum ke Kepong itu , mereka telah berbincang menerusi talifon bimbit dengan syarikat peminjam wang berlesen itu yang bersetuju untuk memberikan wang setengah juta itu sertamerta pagi itu juga. Pegawai Ah Long menerangkan syarat pinjaman dengan terperinci, dimana cukup bulan ini peminjam hendaklah bayar interes RM 50,000. dan sekiranya gagal bunganya digandakan , dan seterusnya ganda berganda yang menyeramkan sesiapa juga yang dalam keadaan waras mendengarnya .
Pada mulanya rakan saya itu bersetuju kerana cukup terdesak atau desperado, lagipun beliau mengharapkan dalam sehari dua wang yang dijanjikan dari satu sumberlain lebih dari satu juta ringgit akan tiba dan boleh lah hayar hutang setengah juta kepada Ah Long itu sekali gus secara tunai ! isterinya juga bersetuju. Tetapi peguam yang juga berbangsa Tionghua itu barangkali begitu bersimpati dengan pasangan suami isteri yang kesempitan itu, lalu menggesa agar suami isteri itu teruskan dengan pinjaman bank, serta memujuk pasangan itu menghubungi mana-mana kenalan di bank dulu.
Atas cadangan itu pasangan berkenaan menghubungi kenalan sqng suami di Bank Alraji serta menceritakan mereka suami isteri kini berada di tempat Ah Long berlesen itu. Dengan segera pegawai kanan Bank Alraji itu memanggil pasangan itu ke banknya dan meluluskan pinjaman sebayak setengah juta tersebut dengan cagaran hartanahnya.Pasangan itu tidak mahu ke bank kenalannya itu kerana sudah serik dengan pihak Bank Agro yang menurutnya amat banyak kerenah birokrasinya sehingga menawarkan hati para peminjam.
Sebagai kesimpulan, pihak berkuasa tentulah ada cara (bahkan tolonglah bertindah serta merta) untuk mengatasi masaalah rakyat kita yang terdesak begini, sedangkan mereka ada harta tidak alih sebagai jaminan kepada bank pemberi pinjam itu, tetapi kerana bank yang melaungkan ‘nak tolong bangsa ’ itu begitu tidak berperikemanusiaan, maka ramai rakyat kita yang terdesak mengalami penghinaan seperti dirantai leher dan kaki tak ubah seperti anjing atau beruk !!!
BATAL LESEN PEMBERI PINJAMAN WANG BERLESEN ALA AH LONG
KUALA LUMPUR 28 Mei - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak akan teragak-agak menggantung atau membatalkan lesen pemberi pinjaman wang berlesen yang mengamalkan corak perniagaan ala ceti haram atau ah long.
Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, pasukan penguat kuasa kementeriannya sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan mengejut terhadap pemberi pinjaman wang berlesen supaya lesen yang dikeluarkan oleh pihaknya itu tidak disalahgunakan.
"Kami akan melakukan siasatan apabila menerima aduan orang awam dan tindakan sewajarnya akan diambil jika pemberi pinjaman wang berlesen itu didapati melanggar peraturan dan undang-undang negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 dan Perhimpunan Bulanan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan kes tiga lelaki dirantai di leher dan kaki mereka gara-gara berhutang dengan ah long.
Menurut Cho Ha, pihak penguat kuasa khususnya polis perlu melakukan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas untuk membanteras gejala ah long yang semakin berleluasa di negara ini.
"Gejala ah long merupakan masalah sosial yang sudah lama berlaku di negara ini sehingga mengakibatkan ramai orang awam tertipu dan menjadi mangsa kekejaman ah long," katanya.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika ingin membuat pinjaman bagi mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa ah long.
"Malaysia mempunyai banyak institusi kewangan yang menyediakan pelbagai jenis pinjaman kepada orang awam malah pihak kerajaan juga mempunyai dana pinjaman untuk membantu rakyat," katanya.
Terdahulu, beliau dalam ucapannya menyeru semua warga kementerian memandang serius tanggapan rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh kementerian itu.
"Kita perlu memahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat agar langkah-langkah penambahbaikan dapat diambil untuk meningkatkan lagi tanggapan baik mereka terhadap kementerian ini," jelasnya.
BUDAYA PINJAM WANG MEMBIMBANGKAN - SHAFIE
KUALA LUMPUR 28 Mei - Budaya meminjam wang melalui saluran tidak betul di kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
Beliau memberitahu, kebimbangan itu tercetus berikutan rakyat Malaysia didapati semakin cenderung meminjam melalui saluran yang salah.
Katanya, budaya itu bukan sekadar berlaku di kalangan penduduk bandar malah turut menular ke luar bandar.
Jelasnya, budaya berkenaan boleh mengundang masalah sehingga boleh mengancam kehidupan peminjam sekiranya tidak dapat melunaskan hutang masing-masing.
''Perlu ada tindakan tegas terhadap golongan yang memberi pinjaman dan mengambil kesempatan kepada golongan yang kesempitan wang.
''Seluruh rakyat tidak perlu terlalu mudah untuk meminjam wang dari saluran yang tidak betul sebaliknya memilih institusi perbankan tempatan yang dijamin,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara GSB Sentral Sdn. Bhd. dengan Shell People Services Asia Sdn. Bhd. (Shell) di sini hari ini.
Turut sama menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Shafie mengulas mengenai paparan muka depan akhbar hari ini mengenai tiga lelaki yang diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam 'lokap' buatan ah long di Taman Perindustrian Bukit Serdang, Selangor.
Shafie turut menggesa pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia supaya mengambil tindakan pantas terhadap golongan yang memberi pinjaman secara haram.
100,000 DICENGKAM AH LONG
KUALA LUMPUR 28 Mei - CUEPACS hari ini menggesa institusi kewangan menyediakan peruntukan khas bagi memberi pinjaman peribadi kepada petugas awam yang terperangkap dengan pinjaman wang ah long.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin memberitahu, 10 peratus atau kira-kira 100,000 petugas awam berada dalam cengkaman ah long dan petugas ini memerlukan bantuan.
Beliau berkata, kebanyakan mereka diganggu oleh ah long hampir setiap hari dan ini menjejas produktiviti mereka.
Beliau berkata, jika institusi kewangan boleh membantu, ini amat disambut baik oleh kerana adalah lebih murah dan selamat bagi petugas awam berurusan dengan institusi berkenaan daripada dengan al long.
Ahmad Shah memuji Malaysia Building Society Berhad (MBSB) kerana memperuntukkan RM100 juta bagi menyediakan pinjaman peribadi untuk guru-guru.
Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali, ketika mengumumkan demikian semalam berkata, pinjaman maksimum di bawah skim itu ialah RM150,000 bagi tempoh 15 tahun pada kadar faedah 5 peratus setahun. MBSB turut memperkenalkan skim serupa kepada polis Mac lepas.
Ahmad Shah berkata, bank dan institusi kewangan lain wajar mencontohi MBSB.
Beliau juga berharap MBSB akan memperluaskan kemudahan pinjaman kepada kategori petugas lain.
Katanya, adalah satu langkah yang berdaya maju jika bank dan institusi kewangan memberi pinjaman kepada petugas awam oleh kerana bayaran balik pinjaman boleh dipotong dari gaji bulanan menerusi ANGKASA - badan koperasi kebangsaan. Ahmad Shah menggesa pihak berkuasa memperhebat kempen menghapus aktiviti ah long yang mengganggu masyarakat. - BERNAMA
|