|
 |
| Najib bersalaman dengan SPB YDP Agung |
Pagi semalam 3 April 2009 Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Ab. Razak telah mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri Ke enam Malaysia di hadapan SPB YDP Agung dan Dato’ Seri Abdullah Badawi serta para pembesar lainnya di Istana Negara.
Selamat menjawat jawatan tertinggi negara yang amat berprestij tetapi amat panas pula . Semoga ia dapat bertahan mengikut masa yang secukupnya, tidak dipaksa turun oleh orang-orang di sekeliling yang mempunyai cita-cita tinggi , pada separuh jalan, dengan alasan yang wajar dan diterima umum.
Sebenarnya kalaupun Najib tidak tergesa-gesa mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pun taka apa. Sebab jawatan itu tetap menantinya . Masalah ekonomi global yang muram kini sebenarnya perlukan masa untuk sembuh sendiri beransur-ansur selari dengan perubahan yang berlaku di Amerika, Eropah dan China . Arus ekonomi global yang amat deras menjunam ke hilir mengambil masa yang begitu lambat untuk mudik semula ke hulu .
Bila ini berlaku tidak banyak yang boleh dibuat oleh mana-mana pemimpin dunia, kecuali tunggu dan lihat disamping menjaga dengan hati-hati semua perbelanjaan menggunakan dana dalaman , merangsang perlahan-lahan kegiatan ekonomi di kalangan rakyat, dan emempastikan perjalanan pentadbiran negara tidak tergelincir dari landasan.
Kalau tidak berawas langkah, pihak parti lawan akan menggunakan isu ini sebagai kelemahan pemimpin negara yang diterajui oleh BN yang kononnya tidak cekap menangani urusan perbelanjaan negara, menyebabkan ekonomi kita terjadi se teruk demikian, walaupun mereka tahu ia adalah rentetan masaalah ekonomi global.
Jangan lupa pihak lawan atau pembangkang pimpinan DAP yang meletakkan pemimpin PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai simbol mereka yang diperkuatkan oleh PAS, sentiasa mengintai peluang untuk menekan butang Bom Jangka bagi meledakkan segala maruah dan moral pihak komponan Barisan Nasional pimpinan UMNO .
Satu-satu isu penting kegagalan dan kesilapan pihak BN menjadi satu ledakan bom jangka yang amat menguntungkan mereka. Malah isu-isu inilah yang menjadi bekal dan modal untuk menjatuhkan mana-mana calon BN dan UMNO dalam setiap kali pilihanraya, samada pilihanraya kecil ataupun pilihanraya umum..
Najib perlu hati-hati melangkah ,sebab periuk api dan Jerangkap Samar dan Perangkap Kaki amat banyak sekali ditanam oleh pihak musuh atau pihak pembangkang. Sehingga kini begitu banyak sekali para pemimpin UMNO dan BN yang kudung kaki atau tangannya atau terus kecundang , akibat terpijak periuk api dan jerangkap samar yang terpasang di sekeliling mereka. Ibarat kata pepatah kita, Pelanduk sering lupakan jerat, tetapi jerat tak pernah lupakan pelandok.
Malah isu yang mula dimainkan perlahan-lahan sekarang oleh mereka ialah tentang ukuran tindakan disiplin yang tidak samarata dik alangan pemimpin UMNO yang melakukan rasuah politik wang semasa proses pemilihan pemimpin baru-baru ini. Kata mereka, hanya segelintir kecil sahaja yang dibawa kepengadilan Lembaga Disiplin UMNO , sedangkan orangramai tahu , lebih ramai pemimpin di semua peringkat yang melakukannya tetapi tidak dibawa ke lembaga itu.
Manakala di kalangan pemimpin UMNO yang kena bawa ke lembaga tersebut pula, berlaku perbuatan menjatuhkan hukuman yang tidak selari dengan peraturan mengikut seksyen kesalahan yang dilakukan . Malah, siapa yang didakwa yang menjadi ukuran , ada yang dikenakan hukuman, ada yang melakukan kesalahan yang sama tetapi dilepaskan tidak dihukum. Ada pesalah yang dibenarkan bertanding dalam perebutan jawatan dalam parti , dan ada pula pesalah yang dibawah seksyen yang sama tidak dibenarkan bertanding. Siapakah yang mempengaruhi Lembaga Disiplin Parti ini ?
Masalah ini merupakan intro atau mukaddimah dalam parti UMNO hari ini yang mesti ditangani terlebih dahulu oleh pucuk pimpinan baru UMNO yang diketuai Najib, sebelum memasuki urusan parti yang lain. Ini adalah maruah UMNO, kredibiliti dan kewibawaan UMNO . Kerana ini adalah merupakan faktor krisis keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap UMNO.
Andaiakata hal ini dapat ditangani oleh Najib, nescaya masalah dalaman dalam UMNO yang lain, menjadi begitu mudah untuk diselesaikan .
Jika persoalan ini dapat dironglai dan dijayakan oleh Najib, sudah tentulah ia menjadi daya tarikan yang kuat untuk memikat masyarakat kita menyertai UMNO atau menyokong UMNO , apalagi memberikan sokongan kepada Presiden UMNO yang baru merangkap Perdana Menteri yang baru.
Selamat bertugas To’ Seri.Banyak persoalan negara perlu dilerai, langkahlah ke hadapan dengan penuh berani dan tabah .Rumah di tepi pantai terdiri sudah hadapilah badai dan taufan dengan penuh keyakinan, Alah Bisa Tegal Biasa menyerah kalah jangan sekali !
|