|
| MOHD ALI RUSTAN |
Berita terbaru dari Ibu Negara Kuala Lumpur pada 17 Mac kelmarin menyatakan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Saadun Basirun dan dua pemimpin UMNO Bahagian Bukit Katil digantung keahlian UMNO selama tiga tahun kerana didapati bersalah melanggar Tataetika Ahli UMNO. Saadun yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil serta dua lagi pemimpin UMNO bahagian tersebut didapati bersalah di bawah Perkara 5.1.2, 5.5.1, 5.5.2 dan 5.6.1 Tataetika Ahli UMNO yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik.
Manakala dua lagi pemimpin UMNO Bahagian Bukit Katil, yang terlibat ialah Ahli Jawatan kuasanya Rosli Hassan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian itu Zalina Ismail. Lembaga Disiplin UMNO mendapati ketiga-tiga mereka telah melanggar Tataetika Ahli UMNO ketika berkempen untuk Datuk Seri Mohd. Ali Rustam Ketua Menteri Melaka, yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.
Oleh kerana itu, Mohd. Ali Rustam juga didapati bersalah di bawah Tataetika Ahli UMNO mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO dan dilarang daripada bertanding atau dipilih ke jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.
Pada masa yang sama, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin
juga didapati bersalah melanggar Tatatertib UMNO dibawah Perkara 10.1
, yang berkait dengan rasuah atau sogokan politik , tetapi hukumannya
hanya ‘Diberi Amaran’ dan dibenarkan untuk terus bertanding dalam
pemilihan parti hujung bulan Mac ini.
Ekoran daripada keputusan di atas, saya dihujani banyak mesej SMS, E-mail, panggilan talifon dan tak kurang juga teman-teman yang datang ke rumah untuk menyatakan pandangan yang kurang selesa dengan keputusan Lembaga Disiplin berkenaan, seolah-olah berlaku pilih kasih atau Pilih Bulu.
Mereka tidak mempersoalkan bahawa lembaga tersebut mempunyai kuasa berbuat demikian, ibaratnya mereka akur dengan kuasa PENGADIL dalam permainan Bolasepak yang meniup wisil memberi tendangan sudut kepada pihak lawan apabila penjaga gawang menepis keluar dengan tangannya bola yang ditendang ke gawangnya.
Di sini, apabila pengadil bolasepak berkenaan meniup wisel tanda keputusan dibuat memberikan tendangan sudut, maka pihak pemain pasukan lawan tetap diberikan tendangan sudut , tanpa mengira samada penjaga gawang berkenaan penampan bola keluar gawang itu dengan kuat atau sekadar tersentuh jari sahaja ! .
Begitu juga contohnya, seseorang yang ditangkap kerana memiliki dadah dan didakwa dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya , dan apabila didapati bersalah, maka Hakim yang membicarakan kes berkenaan tidak ada pilihan lain tetap menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah berkenaan, tanpa melihat dadah yang dimiliki itu samada 250 gram ataupun 250 kilogram.
Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen membuat penjelasan kepada pihak media pada hari yang sama menyatakan, Ali Rustam dikenakan hukuman melarang bertanding dalam pemilihan parti pada hujung Mac ini kerana melakukan kesalahan rasuah berat , manakala Khairy Jamaluddin dibenarkan bertanding, kerana melakukan kesalahan rasuah yang lebih ringan.
Kata Tengku Rithauddeen, adalah tidak sama hukuman pembunuh yang menikam mati lawannya dengan sekali tikaman sahaja, berbanding dengan pembunuh yang melakukan tikaman banyak kali secara bertubi-tubi terhadap mangsanya .
Tetapi soalnya Tengku, kata teman-teman yang menghubungi saya menyatakan, kedua-duanya didakwa dibawah perkara atau seksyen yang sama iaitu 10.1 berkaitan dengan rasuah atau sogokan politik .
Ibarat pengadil bolasepak yang meniup wisel bila penjaga gawang menampan bola keluar gawang dan memberikan tendangan sudut percuma kepada pihak lawan , tanpa melihat samada Penjaga Gawang itu menampar bola dengan kuat menggunakan kedua-dua belah tangan atau hanya sekadar tersentuh hujung jarinya sahaja.
Pengadil berkenaan tidak memberikan tendangan sudut separuh tendangan sahaja atau tendangan dekat sahaja, bahkan diberikan tendangan penuh yang kencang walaupun penjaga gawang yang menampan bola keluar gawang itu hanya sekadar tersentuh hujung jari kelingkingnya sahaja !
“Sekiranya seseorang perasuah politik itu didapati bersalah melakukan kesalahan rasuah kecil mengapakah dia didakwa dibawah seksyen yang berat, sedangkan hukumannya ringan ?” kata mereka lagi .
Ekoran dari itu ada berita yang tumbuh tanpa ditanam, iaitu umpatan atau gossip politik terbaru, mengenai Tengku Ahmad Rithauddeen sendiri, yang dikaitkan dengan Khairy dan Muhyiddin. Saya berharap para pengunjung laman ini dan orangramai umumnya, janganlah mudah terpengaruh dengan umpatan atau gossip liar tanpa bukti yang mula bertiup , antaranya, dikatakan bahawa “ Muhyiddin beri 100 AP kepada anak Tengku Ahmad Rithauddeen dan sebagai balasan, gugurkan Ali Rustam saingan terdekatnya ”… , dan dikatakan juga “Khairy dah pau Lembaga Disiplin..” dan lain-lain lagi.
Gosip-gosip tanpa bukti seperti ini tidak membantu memulihkan imej UMNO yang tercemar akibat politik wang. Dan sekiranya mana-mana pihak ada bukti bawalah kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan, tanpa memilih bulu sama ada ikan bilis atau ikan jerung, sama ada diperingkat Bahagian Majlis Tertinggi, Naib Presiden, Timbalan Presiden atau Presiden Parti sendiri dengan ikhlas. Tidak payahlah menyebarkan berita yang tak berbukti dan tak berasas . Janganlah kita lupa firman Allah bahawa “fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh”.
Selain dari itu, perbincangan di lobi-lobi hotel, di ruang rehat pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, di kedai-kedai kopi, warung-warung nasi lemak dan nasi belauk, tidak terhad terhadap orang yang tersenarai di atas sahaja, malahan, menjangkaui jawatan-jawatan lain, termasuk pemilihan di peringkat bahagian UMNO di negeri-negeri pada bulan Julai 2008 yang lalu . Dalam pemilihan Bahagian itulah pemilihan untuk penjawat di peringkat Bahagian berlaku dan pencalonan ke peringkat MT UMNO dicadang dan disokong.
 |
| KHAIRY JAMALUDDIN |
Sebenarnya di sinilah rasuah atau sogokan wang politik bermula dikebanyakan Bahagian UMNO. Untuk memenangi jawatan di peringkat Bahagian bermula dari Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua serta Jawatankuasa di empat peringkat, Bahagian sendiri, Pemuda, Wanita dan Puteri serta perwakilan ke Perhimpunan Agung atau disebut G 7, tidak sedikit wang digunakan untuk memancing undi dengan pelbagai cara dan bentuk.
Pihak Lembaga Disiplin UMNO tidak harus menunggu aduan untuk bertindak. Aduan dibuat biasanya bila ada motif tertentu pihak yang membuat aduan .Ringkasnya ada pihak yang bertanding itu membuat perangkap tertentu bagi menghilangkan kelayakan pihak lawannya . Ini difahami berlaku di semua peringkat.
Calon-calon yang tidak diperangkap dan tidak dibuat aduan kepada Lembaga Disiplin tidak bererti mereka itu bersih ! .
Lembaga Disiplin hendaklah mempunyai jumlah anggota yang cukup, yang terdiri dari mereka yang matang dalam parti, di setiap negeri bagi menyelidik, menyiasat dengan cara sulit atau ‘under cover’ bagi mengumpul bukti dan menghadapkan mereka kepada Lembaga Disiplin, tanpa pilih bulu atau tanpa pilih kasih.
Lembaga ini hendaklah, berbekalkan, berdasarkan kewibawaan dan pengalaman mereka hendaklah mendapatkan bukti yang kongkrit dan sahih tanpa diskriminasi, mencadangkan kepada Lembaga Disiplin Parti dari masa ke semasa cara terbaik mengatasi ‘Politik Wang’ dalam UMNO sebuah parti utama yang memerintah negara ini.
Semoga berlaku perubahan yang drastik dalam menangani politik wang dalam UMNO. Jika ini dapat dilakukan , seluruh orang Melayu terutamanya gjenerasi muda yang bakal menjelang dewasa dan boleh mengundi, akan memilih UMNO sebagai wadah untuk menegakkan agama, bangsa dan tanahair.
|