|
Untuk tidak ketinggalan laman ini mencatatkan sejarah pertama insan berkulit hitam menjadi Presiden Amerika Syarikat, Barak Hussein Obama yang mengangkat sumpah memegang jawatan pada 20 Januari 2009 lalu, maka kami petikkan susunan rencana Luar Negeri oleh Wartawan Mingguan Malaysia Hafizahril Hamid untuk tatapan para pembaca sekalian – Pengarang.
|
| OBAMA MENGANGKAT SUMPAH JAWATAN PRESIDEN AS KE 44 |
"Saya, Barack Hussein Obama, bersumpah bahawa saya akan melaksanakan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat secara jujur dan yang terbaik, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Amerika Syarikat, dengan nama Tuhan,". Itu merupakan lafaz sumpah keramat Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru, Barack Obama ketika majlis angkat sumpah jawatan pada Rabu lepas.
Upacara ini melengkapkan sejarah Obama sebagai Presiden kulit hitam pertama dalam sejarah AS dengan disaksikan oleh hampir dua juta orang di Bangunan Capitol, Washington.
Hari keramat ini turut menandakan kemuncak pendakian luar biasa bagi Obama, 47, yang melangkah ke Rumah Putih sebagai Presiden AS keempat paling muda. Beliau melafazkan ikrar di hadapan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, John Roberts sambil meletakkan tangan kirinya di atas kitab Bible yang dipegang oleh isterinya, Michelle. Berada di sisi ialah dua anaknya, Sasha, 7, dan Malia, 10.
Rakyat AS yang tidak menghiraukan cuaca sejuk membanjiri ibu negara AS itu manakala jutaan lagi penduduk di seluruh dunia turut teruja menyaksikan upacara tersebut sambil berharap sinar baru akan menerangi dunia yang sebelum ini kelam dan kusut.
Wajah-wajah di seluruh dunia benar-benar meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Obama untuk masa depan yang lebih baik sejajar dengan pengiktirafan dan sejarah yang dicatat beliau sebagai Presiden AS pertama dari golongan kulit hitam. Keceriaan yang disulami tangisan oleh mereka yang begitu mengharap akan perubahan yang dijanjikan Obama benar-benar menunjukkan harapan dan impian yang tinggi diletakkan terhadap beliau.
Obama melangkah ke White House dengan membawa mesej harapan kepada sebuah negara yang dilanda kemelesetan ekonomi, terlibat dengan dua perang yang berlarutan dan terlalu dahagakan perubahan berikutan keburukan yang dilakukan oleh bekas Presiden George W. Bush sepanjang lapan tahun pemerintahannya.
Majlis angkat sumpah Obama turut dibayangi sejarah yang tidak pernah diimpikan di AS sebelum ini iaitu kenaifan dan pergelutan dalam isu-isu perkauman. Hanya beberapa dekad lalu, dasar pengasingan kaum diamalkan di banyak negeri di selatan negara ini.
Di seluruh dunia, pemilihan Obama meniupkan harapan berjuta-juta penduduk bahawa AS akan bersikap lebih terbuka kepada perubahan dan lebih bersedia menerima pandangan negara lain.
Upacara ini turut diserikan lagi dengan pelbagai persembahan oleh penyanyi dan pemuzik terkenal AS malah Obama turut dilihat meraikan pelantikannya dengan menari bersama Michelle mengikut alunan muzik.
Namun apa yang pasti kegembiraan ini hanyalah untuk sementara kerana beban dan tugas yang perlu dipikulnya bukan sesuatu yang mudah. Masalah ekonomi yang semakin menjerut kebanyakan penduduk AS dan dunia pastinya antara perkara utama yang akan di ambil serius sepanjang tempoh empat tahun akan datang.
Dalam ucapannya, beliau telah berjanji akan mengubah banyak perkara dan polisi yang dilihat membebankan. Pandangan beliau yang paling menarik perhatian ialah tentang usaha membentuk semula AS untuk sekali lagi memimpin dunia.
Namun apa yang paling menarik perhatian bagi kita semua adalah janji beliau untuk memulakan hubungan baru yang lebih baik dengan negara-negara Islam.
Beliau berjanji akan membawa pulang tentera AS dari Iraq, melaksanakan kedamaian di bumi Afghanistan dan bekerjasama dengan lebih baik dalam isu nuklear.
Beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden , Obama mengarahkan pendakwa raya tentera dalam tribunal jenayah perang Guantanamo memohon supaya semua kes ditangguhkan selama 120 hari.
Ini dilihat sebagai langkah awal ke arah melaksanakan hubungan yang lebih baik dengan dunia Islam. Namun semua ini sekali lagi merungkai persoalan apakah Obama benar-benar mampu melakukan sesuatu yang lebih baik untuk dunia Islam.
Bukan untuk tidak berlaku adil terhadap beliau tetapi terlalu banyak pengalaman pahit yang terpaksa dilalui umat Islam berikutan janji palsu yang diberikan oleh Presiden AS sebelumnya. Trauma dan kekesalan yang dilalui kita sebelum ini pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dilenyapkan dalam sekelip mata. Pastinya umat Islam itu sendiri sudah mampu belajar dari kesilapan yang dilakukan berikutan terlalu mempercayai janji yang diluahkan sebelum ini. Penderitaan rakyat Palestin masih belum berubah, Israel masih terus mengganas menjarah bumi Palestin. Nasib kebanyakan umat Islam masih di takuk lama mundur, miskin dan melarat. Ini merupakan antara sebahagian dari masalah yang perlu dihalusi dan ditangani oleh Obama untuk mengembalikan kepercayaan umat Islam terhadap AS. Namun ini pastinya bukan satu tugas yang mudah kerana tindakan keterlaluan Bush sebelum ini benar-benar mencalarkan imej AS di mata dunia.
Mungkin dunia boleh berharap beberapa perubahan akan berlaku di bawah Obama antaranya penyelesaian krisis ekonomi, polisi yang yang lebih baik dalam hubungan antara negara dan penggunaan diplomasi berbanding tindakan ketenteraan. Bagaimanapun masa untuk bergembira bersama isterinya dan sahabat handai seperti yang dilihat kita semua pada hari upacara mengangkat sumpah kini telah berakhir. Semua mata kini tertumpu kepada Obama sama ada beliau mampu memenuhi janji yang telah ditaburkannya atau ia tidak lebih dari sekadar retorik dan janji manis seperti mana yang pernah dilakukan oleh pemimpin AS sebelum ini.
|