A free template from Joomlashack

A free template from Joomlashack


Langgan Info

Masukkan e-mail anda :

edisi baru !
Delivered by FeedBurner

Pengguna Online

Kami ada 30 tetamu online

Perkataan Rawak

Info Tamu

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini188
mod_vvisit_counterBulan Ini3106
mod_vvisit_counterJumlah495563
Jumlah helaian laman dilihat :free web stats
Laman Utama arrow Berita arrow SEKILAS MEMORI BERSAMA ALMARHUM TUANKU JAAFAR
SEKILAS MEMORI BERSAMA ALMARHUM TUANKU JAAFAR PDF Cetak Emel
tuanku_jaafar.jpg 
   Almarhum Tuanku Jaafar

Saya dan isteri merasa amat sedih di atas kepulangan ke rahmatullah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada jam 11.45 pagi semalam 27 Disember 2008 di Wad Diraja Hospital Tuanku Jaafar Seremban . Baginda meninggalkan dunia yang fana ini pada usia 86 tahun dan akan disemadikan di Makam Diraja Seri Menanti Negeri Sembilan selepas Solat Asar esok Isnin 29 Dis 2008. Marilah sama-sama kita menghadiahkan Surah Alfatihah sambil mendoakan semoga roh Almarhum dimasukkan ke dalam kumpulan Roh para Rasul dan Anbia serta para Shuhada’  Amin.

Bila membaca atau mendengar nama ‘Tuanku Jaafar’ (Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman) disebut, maka terbayang wajah baginda di benak kepala saya . Baginda mempunyai perawakan yang tenang, bersahaja, mudah mesra  dan senang menyapa .

Bibir baginda bersama misai tebalnya yang separuh warna keperakan itu, sentiasa tersenyum setiap kali memandang kepada sesiapa saja yang dilihat baginda, berada bersama dalam satu-satu majlis . Suara baginda sungguh lembut dan di akhir setiap patah perkataan yang terkeluar dari mulut baginda adalah bersama anggukan kecil seperti tunduk hormat kepada yang hadir di sekeliling baginda .

Selama enam  tahun bergaul dengan baginda dalam Persatuan Kriket Melayu Malaysia (PKMM) , membuatkan saya cukup memahami atau mengenali peribadi mulia baginda Almarhum Tuanku Jaafar itu.

Saya berkeyakinan, kerana pengalaman baginda yang amat luas dalam bidang diplomatik, khususnya semasa baginda memikul tugas mewakili negara kita ini di Amerika Syarikat, England dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu , serta pengalaman baginda dalam pentadbiran negeri ; menjadikan baginda kelihatan penuh dengan keyakinan diri, samada semasa berada di atas Takhta di Negeri Sembilan, maupun semasa berada di atas takhta  SPB Yang Dipertuan Agung Malaysia Ke-10.

Kenangan saya terhadap Almarhum Baginda adalah semata-mata dalam dunia Kriket, kerana saya meminati sukan Kriket , dan baginda adalah pemain Kriket yang handal di zamannya, dan menjadi bintang Kriket di kalangan anak-anak  Raja Melayu khususnya dan bagi kalangan rakyat negara ini seluruhnya . Menurut catatan sejarah Kriket di Malaysia, Almarhum baginda Tuanku Jaafar berjaya memimpin Pasukan Perak untuk memenangi pertandingan bagi merebut Perisai Raja-raja Malaya bagi tahun 1953 dan 1954.  
 
Pada penghujung tahun 1992 para peminat Kriket di negara ini, khususnya yang berada di Ibu Negara,  berkumpul di National Press Club (Kelab Wartawan Kebangsaan) di Jalan Tangsi, dipintu masuk ke Taman Bunga Kuala Lumpur kira-kira jam 8.30 malam, bagi menghidupkan semula  Persatuan Kriket Melayu yang ditubuhkan sebelum Merdeka iaitu awal 1950an, tetapi telah berkubur di akhir 1970an.
Sebuah Jawatankuasa Penaja ditubuhkan untuk merangka perlembagaan dan menguruskan pendaftaran dan sebagainya. Saya antara yang terpilih menganggotai AJK penaja itu.

Oleh kerana saya yang mencadangkan agar presiden pertubuhan sukan ini diserahkan kepada Tuanku Jaafar, maka mesyuarat itu memberi mandat kepada saya dan Rosmanizam Abdullah (yang dipilih untuk menjadi Setiausaha Penaja)  untuk mengadap serta menyembahkan keputusan mesyuarat tersebut kepada Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan, setelah surat rasmi dihantar terlebih dahulu bagi memaklumkan keputusan itu . Bagaimanapun surat daripada kami  dibalas oleh pihak Istana Seri Menanti dengan jawapan Tuanku menolak jawatan Presiden tetapi hanya menerima kalau sebagai Penaung sahaja.

Kami membuat rayuan dan syukur Alhamdulillah surat kedua kami yang merayu memohon ampuni perkenan baginda untuk menimbang semula keputusan pertama baginda itu , akhirnya diperkenankan oleh Tuanku dalam Warkah baginda bertarikh 8 Disember 1993 . Berikutan itu saya dan Rosmanizam diperkenankan untuk mengadap baginda bagi membincangkan hal bersangkutan PKMM yang baru ditubuhkan itu, termasuk tarikh mesyuarat agung pertama dan program-program beriku  

Pengalaman saya semasa urusan menerima Pingat dari Al Sultan Kelantan di Istana Kubang Kerian Kota Bharu, sebelumnya amat berguna bagi kami berdua semasa mengadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan itu , terutama adat istiadat dalam istana dan bahasa pertururan serta berpakaian.

Perlu dicatitkan di sini, bahawa, ketika urusan ini dibuat Tuanku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ini adalah sedang menjawat Timbalan Yang Dipertuan Agung Malaysia.

Saya menghubungi Saudara Rosmanizam Abdullah pagi ini (28 Dis 2008), yang masih ibertugas di Kumpulan Utusan Melayu dan masih lagi menjadi Setiausaha PKMM, bagi  mengesah kan urutan peristiwa penubuhan semula PKMM ini , untuk menulis catitan Balasungkawa saya buat Almarhum Baginda. 

Baginda Almarhum Tuanku Jaafar diangkat menjadi Presiden PKMM secara rasmi dalam Mesyuarat Agung pertamanya pada 20 Mac 1994, di Istana Hinggap Seremban Negeri Sembilan, dan saya terpilih menjadi salah seorang Ahli Majlis (Exco), manakala rakan saya Rosmanizam Abdullah sebagai Setiausaha Turut dipilih menjadi Ahli Majlis adalah isteri saya Norbaya Musa , yang merupakan satu-satunya Exco wanita dalam PKMM itu.

Semasa saya mula menulis memori bersama almarhum Tuanku ini di beranda bilik tidur rumah kami, (maklum hari minggu) , isteri saya menghampiri saya dengan muka sedih, meminta dicatitkan Titah Tuanku Jaafar kepadanya berbunyi; “ Norbaya , kita belum ada lagi pengadil kriket wanita, ambil kursus pengadilan kriket , dan , kena jadi pengadil kriket wanita pertama Malaysia….saya mahu Norbaya bentuk pasukan kriket wanita..” berikutan itu saya dan Norbaya ikuti Kursus Kepengadilan Kriket bersama-sama anjuran Persatuan Kriket Malaysia (MCA) yang dipimpin oleh Tengku Imran Ibni Tuanku Jaafar.

Ada kenangan lucu bersama almarhum Tuanku Jaafar ini, di mana baginda betul-betul ketawa apabila Saudara Rosmanizam menceritakan kisah saya runtuh katil dan terhempas ke lantai semasa tidur di rumah sepupu saya di Sungai Petani Kedah. Kisah saya itu sebenarnya tidaklah lucu semasa saya menceritakan kepada Rosman itu, tetapi ia menjadi sangat lucu bila Rosman mewarnakan cerita itu dengan menggunakan isyarat-isyarat dengan mengenyitkan mata serta tangan,  yang diiringi oleh ketawanya yang menampakkan peristiwa itu lucu, membuatkan pendengar dan Tuanku sendiri memahaminya secara  maksud lain atau ‘double meaning’ , lalu mereka semua ketawa kuat-kuat termasuk Tuanku sendiri.

Sejak itu , apabila saya agak jauh dari Tuanku  dalam satu-satu majlis kriket , Tuanku akan memanggil dan  bertanyakan Saudara Rosmanizam dengan bahasa jenaka titah baginda ; “ Rosmanizam, tak Tanya Che Yazid , dia tak jatuh katil lagi? ” Dan semua yang ada di sekeliling akan ketawa terbahak-bahak kerana  Saudara Rosmanizam menjawab dengan jenaka ; “ Patek agak , ada lagi Tuanku , nanti patek risik ”

Bila saya dengar mereka ketawa, saya segera menghampiri Tuanku dan menambah ; “ Oh patek dah beringat Tuanku…bila pergi kerumah saudara mara dengan Norbaya , patek  tak tidur atas katil lagi ..takut terhempas lagi, patek tidur atas lantai saja..” dan diikuti ketawa ramai-ramai lagi yang mendengar di situ khususnya Tuanku. Isteri saya Norbaya , walaupun tersipu-sipu malu, tetapi turut tergelak sama, yang menjadikan kami ahli-ahli PKMM begitu mesra dan sangat rapat antara satu dengan lain.
 
Satu dari kenangan yang sukar dilupakan ialah setiap kali Mesyuarat  Agung , atau apa-apa acara rasmi PKMM saya diminta menjadi pengerusi atau pangacara majlis, samada di padang Kriket seperti di Dataran Merdeka dan sebagainya, ataupun dalam Dewan Mesyuarat seperti dewan di Istana Hinggap Seremban, dewan mesyuarat Istana Negara dan sebagainya..

Tuturkata almarhum baginda yang  bertanyakan kami dengan penuh minat tentang tugas dan cara berkerja  kami sebagai wartawan, ketika membuat liputan berita samada di dalam atau luar negara , masih teriyang-iyang di telinga kami cara almarhum baginda bertanya dan baginda mengangguk-angguk setiap kali kamai menerangkan sesuatu.

Bagaimanapun, kerana tekanan kerja di tempat kerja saya masa itu, di Kumpulan Akhbar Utusan Melayu, dan juga program-program yang agak banyak di Persatuan Wartawan Malaya (PWM) yang saya sendiri pimpin , saya terpaksa meninggalkan semua kegiatan dalam PKMM ini mulai tahun 2000 iaitu selepas enam tahun penuh kegembiraan dalam PKMM ini !.

Saya telah memaklumkan kepada Tuanku Presiden PKMM itu atas musyaqah saya dan isteri dari terus berada dalam PKMM ini . Ini adalah kerana program PKMM semakin banyak , tentulah memerlukan Ahli Majlis memberikan tumpuan yang sepenuh-penuhnya, kalau tidak ia akan mengecewakan warga kriket di negara ini khususnya Tuanku Presiden sendiri.
Ditambah lagi masa ini saya terpaksa pulang ke Kelantan di setiap hujung minggu kerana bapa saya mula sakit-sakit dan . Baginda kelihatan memahami serta mengizinkan kami berdua.

Gurau senda Negarawan Terulung ini, Almarhum Tuanku Jaafar , akan sentiasa terpahat dalam ingatan kami  yang menjadikan kenangan bersejarah yang amat indah untuk dikenang sentiasa . 
 
Ya Allah Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih ,cucurilah rahmatMu ke atas roh hambamu Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Amin ya Rabbal Alamin .
 

 
< Prev   Seterusnya >
 
Joomla Templates by Joomlashack