 |
| SULTAN AZLAN SHAH |
Sejak selepas Pilihanraya Umum Ke 12 bulan Mac 2008 lalu, maka negara dilanda satu `trend’ di kalangan parti pembangkang untuk mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi parti pembangkang, memang sudah kebiasaan mereka untuk mempertikaikan apa sahaja hak-hak orang Melayu di negara ini sejak dahulu lagi, tapi kini mereka semakin galak dan aktif untuk mengeluarkan kenyataan yang menguris dan mencabar kesabaran orang Melayu.
Ini kerana sikap dan tindakan parti gabungan Barisan Nasional sendiri seperti MCA,MIC dan Gerakan yang sentiasa menekan rakan dalam BN iaitu UMNO.
MIC memulakan langkah dengan membela kumpulan Hindraf, disusuli dengan tindakan parti Gerakan melalui Ketua Wanitanya Timbalan Menteri Penerangan yang menyatakan bahawa orang Melayu juga pendatang ke negara ini.
Dan terbaru pula Naib Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan yang meminta kuota 30% bumiputera dalam syarikat-syarikat senarai awam diketepikan.
Tidak kurang juga pemimpin-pemimpin Melayu dalam parti pembangkang mahu pun dalam parti UMNO sendiri yang menghulur titi mengenai isu orang Melayu untuk dititi oleh orang bukan Melayu menghentam orang Melayu kembali.
Berikutan semakin lantang suara-suara sumbang yang mempertikaikan hak-hak orang Melayu, bahasa rasmi bahasa Melayu dan agama rasmi agama Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, maka titah ucapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah amat mengembirakan dan mengiburkan seluruh hati orang Melayu di negara ini. Institusi raja-raja Melayu adalah benteng terakhir yang amat diharapkan sebagai pelindung kepada hak-hak orang Melayu apabila parti UMNO kini sentiasa diancam dan diugut oleh rakan-rakan mereka dalam BN untuk bertolak ansur tentang apa juga mengenai orang Melayu.
Saya perturunkan sepenuhnya teks titah ucapan Sultan Perak ketika menerima memorandum daripada Gabungan Malaya Perak (GPM) di Istana Iskandariah. Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober.
Diperturunkan di sini berita mengenai hal tersebut untuk renungan kita semua – Pengarang.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahi Rahmanir Rahim, BETA merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas ikrar taat setia yang dilafazkan oleh rakyat Beta yang dikasihi sebentar tadi.
Kemerdekaan negara ini dicapai melalui perundingan dan persefahaman antara tiga pihak, Raja-Raja Melayu, Parti Perikatan dan Kerajaan Inggeris. Persekutuan Tanah Melayu yang mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957 membentuk sistem berkerajaan dan bernegara berpayungkan Raja.
Semasa menerima Ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Malaya pada 30 Jun 1979, Beta telah memperingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu ingat, dan jika tidak ingat, maka kita seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang kaum itu, mestilah ada suatu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita.
Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka... Perkataan 'Negeri-Negeri Melayu Bersekutu' dan 'Negeri Melayu Tidak Bersekutu' dan 'Persekutuan Tanah Melayu' masih wujud dalam undang-undang kita.
Dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.
Secara tersirat, pengekalan institusi Raja di negara ini adalah satu penerusan mengekalkan identiti sebuah kerajaan berpaksikan Melayu di tanah air warisan bangsa. Perlembagaan Merdeka digubal berlatar belakangkan senario kebangkitan semangat nasionalisme Melayu.
Dalam luapan semangat menuntut kemerdekaan, orang Melayu bimbang akan kedudukan mereka dalam negara merdeka yang komposisi warga negaranya terdiri dari pelbagai kaum. Orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan secara perbandingan dengan kaum-kaum lain. Bahawa orang Melayu memerlukan jaminan - memerlukan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai peribumi tidak terancam.
Kebimbangan orang-orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkan di dalam Perlembagaan Merdeka, klausa-klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu.
Sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh Raja-Raja serta bidang kuasa Raja Pemerintah merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang- orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja.
Institusi Raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping melakukan keadilan kepada warga keseluruhannya. Institusi Raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian.
Raja-Raja memahami bahawa Perlembagaan Merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya. Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan. Negara aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah.
Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kegelinciran di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan. Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan mengguris hati dan emosi orang- orang Melayu.
Oleh itu, warga dan rakyat yang Beta kasihi, hendaklah berfikiran secara rasional, tindakan-tindakan politik secara berlebihan dan keterlaluan hendaklah dihentikan segera. Kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan hendaklah diutamakan. Keamanan negara, kerukunan warga tidak harus dikorbankan kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.
Semoga negara dan warga terus diberikan perlindungan dari Allah Subhanahu Wataala dan barang dijauhkan negara dan bumi ini dari ditimpa sebarang musibah.
Wabillahi taufik, walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|